Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) bersama tiga hospital awam utama di Singapura melancarkan Renalssance, sebuah program perintis empat tahun bernilai $9 juta yang disokong oleh Lien Foundation.

Inisiatif ini menawarkan penjagaan paliatif kepada pesakit penyakit buah pinggang kronik (CKD) peringkat lanjut, bertujuan mencabar tanggapan bahawa dialisis adalah satu-satunya pilihan.

Dengan menyepadukan penjagaan paliatif lebih awal, Renalssance meredakan gejala, kesakitan, dan tekanan pesakit seiring dengan rawatan perubatan aktif.

Program itu dijangka memanfaatkan lebih 5,260 pesakit, termasuk 1,500 dari setiap hospital dan 760 dari NKF.

Kelima-lima rakan kongsi, iaitu Hospital Universiti Nasional (NUH), Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Tan Tock Seng (TTSH), dalam satu kenyataan bersama pada 1 Jun menegaskan bahawa sokongan awal itu memastikan pesakit CKD mempunyai pilihan jelas untuk memilih penjagaan paliatif, bukannya menjalani dialisis.

Pendekatan ini menawarkan pelan penjagaan holistik, bukan sekadar merawat penyakit, malah, turut memelihara kesejahteraan fizikal, emosi, dan mental mereka.

Walaupun ramai melihat dialisis sebagai satu-satunya jalan tanpa pemindahan organ, ia bukanlah pilihan yang terbaik untuk semua.

Bagi warga emas yang rentan atau mereka dengan penyakit serius seperti barah dan masalah kardiovaskular, dialisis terbukti kurang berkesan dalam melanjutkan jangka hayat. 

Malah, ia boleh mencetuskan komplikasi seperti mual, kekejangan otot, dan sakit kepala, jelas Perunding Kanan Perubatan Renal SGH, Dr Kwek Jia Liang.

Kajian antarabangsa mendedahkan, pesakit berusia 80 tahun ke atas dengan pelbagai penyakit mungkin hanya memanjangkan jangka hayat sekitar dua tahun melalui dialisis.

Ironinya, majoriti masa berharga itu dihabiskan di hospital akibat komplikasi rawatan, tambah beliau.

CKD kini menjejas 14 peratus rakyat Singapura, melebihi purata sejagat 10 peratus, dan dijangka menjangkiti seorang daripada empat orang menjelang 2035.

Pesakit ginjal, Encik Job Loei, 60 tahun, menjalani prosedur kanulasi menggunakan peranti berpandukan ultrasound, satu kemajuan teknologi yang telah diguna pakai oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) untuk meningkatkan perkhidmatannya.
Pesakit ginjal, Encik Job Loei, 60 tahun, menjalani prosedur kanulasi menggunakan peranti berpandukan ultrasound, satu kemajuan teknologi yang telah diguna pakai oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) untuk meningkatkan perkhidmatannya. - Foto ST

Penjagaan paliatif secara tradisi bermula hanya di ambang akhir hayat.

Renalssance hadir untuk mengubah norma itu.

Menerusi daya usaha itu, jururawat dilatih khusus untuk mendekati pesakit CKD lebih awal, membuka ruang perbincangan tentang pilihan rawatan sebelum penyakit mereka memuncak.

Di SGH misalnya, dua jururawat telah memulakan perbualan penting tersebut bersama pesakit.

Dr Kwek menjelaskan: “Kami mengenal pasti pesakit yang dijangka (menghadapi) kegagalan buah pinggang dalam setahun dua.

“Walaupun masih sihat, itulah detik yang paling tepat untuk kita membincangkan setiap pilihan.”

Namun, cabaran tetap wujud.

“Ada pesakit menyoal, ‘Mengapa saya perlu berjumpa anda?’, meskipun fungsi buah pinggang mereka telah susut bawah 20 peratus,” ujar beliau.

Apabila pesakit mencapai peringkat keempat daripada lima peringkat CKD, mereka mula mengalami masalah tidur dan rasa lemah, namun cenderung menganggapnya sebahagian daripada proses penuaan, bukan tanda penyakit yang kian parah.

Pada satu ketika, pesakit dan penjaga akan berdepan dengan keputusan genting sama ada untuk menjalani dialisis.

Dengan adanya Renalssance, pesakit CKD peringkat lanjut di ketiga-tiga hospital kini ditawarkan penjagaan paliatif awal secara tekal, tanpa mengira pilihan mereka untuk dialisis atau penjagaan tanpa dialisis.

Program Renalssance memastikan semua pesakit buah pinggang kronik peringkat lanjut menerima penjagaan paliatif lebih awal, sama ada mereka menjalani dialisis atau memilih rawatan lain.
Program Renalssance memastikan semua pesakit buah pinggang kronik peringkat lanjut menerima penjagaan paliatif lebih awal, sama ada mereka menjalani dialisis atau memilih rawatan lain. - Foto ST

Pendekatan itu berteraskan rawatan yang melegakan penderitaan, menghargai kehendak pesakit, serta menyantuni penjaga demi mengimbangi tuntutan perubatan dengan maruah kehidupan.

Bagi mereka yang memilih dialisis, sokongan paliatif itu akan berjalan seiringan bagi memastikan setiap rawatan tidak mengabaikan aspek kemanusiaan.

Di pusat dialisis NKF pula, kesejahteraan menyeluruh pesakit kini dipantau dengan lebih rapi, membuktikan bahawa penjagaan kesihatan bukan sekadar tentang kelangsungan hidup, tetapi tentang mutu setiap detik yang ada.