Topik diikuti
Pergi ke BHkuPresiden Tharman temu Sultan Selangor, Menteri Besar; bincang peluang bidang kerjasama
Presiden Tharman temu Sultan Selangor, Menteri Besar; bincang peluang bidang kerjasama
Presiden Tharman temu Sultan Selangor, Menteri Besar; bincang peluang bidang kerjasama
Hari ketiga lawatan negara Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Malaysia pada 14 Julai menyaksikan beliau mengadakan pertemuan selama hampir sejam dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, di Istana Alam Shah di Klang.
Tuan Presiden turut bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta barisan pegawai kanan kerajaan negeri Selangor lain, diiringi delegasi Singapura yang menyertai lawatan itu.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya pada 14 Julai berkata semasa dua pertemuan itu, kedua-dua pihak telah membincangkan beberapa potensi bidang kerjasama, termasuk dalam pendidikan teknikal dan vokasional, penyesuaian iklim dan tebatan banjir, serta pertumbuhan syarikat pemula atau start-up.
Tuan Presiden turut mengalu-alukan lebih banyak pertukaran antara Selangor dengan Singapura.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia yang diterbitkan pada 1 Julai, Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia, menyumbang lebih 26 peratus daripada keseluruhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Malaysia pada 2025.
Satu hantaran Facebook oleh Pejabat Diraja Selangor pada 14 Julai menyatakan bahawa Tuan Presiden dan Sultan Sharafuddin telah mengadakan perbincangan merangkumi pelbagai aspek ekonomi dan pembangunan Selangor dan Singapura.
Datuk Seri Amirudin pula, dalam satu hantaran Facebook pada 14 Julai, berkata Singapura dan Selangor menghadapi cabaran serupa – meliputi isu penuaan dan kadar kelahiran yang menurun.
Beliau pernah melakukan lawatan ke Singapura pada Jun di bawah Program Felo S R Nathan, dan bertemu Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, bagi membincangkan rancangan dan keutamaannya untuk pembangunan Selangor.
Tuan Presiden merumuskan hari ketiga lawatan negara beliau itu dengan menghadiri acara jamuan malam anjuran Kelab Perniagaan Kuala Lumpur, yang menghimpunkan peneraju dalam pelbagai industri di Malaysia.
Dalam ucapannya kepada sekitar 90 hadirin di acara tertutup itu, Tuan Presiden, antara lain, menyentuh tentang cabaran dalam dunia yang berpecah-belah, kata MFA.
Ini selain keperluan untuk mengekalkan hubungan bersama negara-negara kuasa besar, sedang Singapura dan Malaysia mengukuhkan hubungan dengan rantau lain.
Tuan Presiden turut menekankan tentang keperluan memperbaharui kerjasama pelbagai hala, sambil meningkatkan penyepaduan Asean dan kerjasama dua hala.
Tuan Presiden kemudian mengadakan sesi dialog bersama hadirin, kata MFA.
Lawatan negara ke Malaysia ini merupakan yang pertama buat Tuan Presiden, yang turut diiringi oleh isterinya, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam.
Secara berasingan, dalam satu hantaran Facebook oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar, pada 14 Julai, Puan Jane Ittogi telah mengunjungi Pusat Perkhidmatan Autisme di Bangi dan Balai Seni Negara di Kuala Lumpur, dengan ditemani Pemaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Tuan Presiden dijangka mengadakan sesi sarapan bersama beberapa pemimpin ahli perniagaan sebelum berangkat pulang ke Singapura pada 15 Julai, kata MFA.