Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pos TKI tebar sayap kendali bisnes perkahwinan menerusi Wardah Ballroom

Dua dewan di Stevens Road sedia khidmat berbeza untuk majlis mempelai ‘Gen Z’, majlis kahwin tradisional
Jan 5, 2026 | 7:08 PM
Pengarah Urusan Pos TKI, Encik Mohamed Anuar Tahar, menceburi perniagaan khidmat perkahwinan dengan mengusahakan Wardah Ballroom yang terletak bersebelahan Hotel Mercure di Stevens Road.
Pengarah Urusan Pos TKI, Encik Mohamed Anuar Tahar, menceburi perniagaan khidmat perkahwinan dengan mengusahakan Wardah Ballroom yang terletak bersebelahan Hotel Mercure di Stevens Road. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selama 15 tahun lamanya, Pengarah Urusan, syarikat logistik Pos TKI, Encik Mohamed Anwar Tahar, menyimpan hasrat membuka dewan besar bagi acara majlis kahwin atau ‘ballroom’ demi memenuhi permintaan bakal mempelai dan ibu bapa mereka.

Akhirnya, impian Encik Anwar, 60 tahun, yang turut mengendalikan agensi pelancongan, Pos TKI Travel, menjadi kenyataan dengan tersergam indah Wardah Ballroom, yang terletak di 28 Stevens Road, kini.

Wardah Ballroom dibangunkan dengan pelaburan $1 juta.

Satu majlis pelancaran yang turut dihadiri media telah diadakan pada 3 Januari.

Pada 28 Disember 2025, Pos TKI secara rasmi mengambil alih ruang ‘ballroom’ bagi majlis kahwin, acara korporat dan sidang media, yang sebelum ini dikenali sebagai Anggun By Mastura On Stevens.

Ballroom Anggun By Mastura On Stevens, yang diasaskan Cik Mastura Esnain, telah berpindah ke dewan baru, Anggun On Marina One di 5 Straits View, West Tower, Marina One Show Gallery.

Menjelaskan kepada Berita Harian (BH), Encik Anwar melahirkan keyakinan perkembangan syarikatnya dalam sektor logistik dan pelancongan telah membentuk jenama kukuh, Pos TKI, yang dapat dikaitkan dengan mereka yang pernah melanggani khidmat kededua syarikat.

Ia akan membantu memperkenalkan pelanggan kepada perniagaan baru Pos TKI dalam sektor perkahwinan pula.

Syarikat tersebut telah melaburkan hampir $1 juta bagi membangunkan Wardah Ballroom.

Pengarah Urusan Pos TKI, Encik Mohamed Anuar Tahar (tengah), yang baru sahaja membuka dewan perkahwinan, Wardah Ballroom, berucap dihadapan  hadirin semasa majlis pelancaran yang diadakan di 28 Stevens Road pada 3 Januari.
Pengarah Urusan Pos TKI, Encik Mohamed Anuar Tahar (tengah), yang baru sahaja membuka dewan perkahwinan, Wardah Ballroom, berucap dihadapan hadirin semasa majlis pelancaran yang diadakan di 28 Stevens Road pada 3 Januari. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut Encik Anwar, keputusannya menceburi industri perkahwinan didorong oleh minat mendalam terhadap suasana kebersamaan, khususnya apabila orang ramai berkumpul untuk menikmati hidangan dan merai detik bermakna.

“Saya gemar melihat orang ramai berkumpul, menikmati makanan dan meraikan detik penting dalam kehidupan.

“Perasaan itulah yang mendorong saya untuk suatu hari nanti memiliki sebuah dewan perkahwinan,” katanya.

Walaupun baru membuat pelancaran awam pada 3 Januari 2026, Encik Anwar menambah, tempahan sepanjang Januari telah diterima, dengan lokasi strategiknya berhampiran Orchard Road menjadi antara faktor utama yang menarik minat pelanggan.

Wardah Ballroom menampilkan dua dewan berbeza yang direka bagi memenuhi cita rasa perkahwinan yang berlainan.

Dewan Kristal yang terletak di tingkat dua dan mampu menampung sehingga 180 tetamu, disasarkan kepada golongan Generasi Z (18-24 tahun), dengan suasana lebih kontemporari serta pilihan makanan moden seperti ‘churros’ dan minuman ‘moktel’.

Sementara itu, Dewan Almas di tingkat satu pula boleh menampung sehingga 200 tetamu dan direka khas untuk memenuhi cita rasa perkahwinan Melayu yang lebih bersifat tradisional.

Menurut Encik Anwar, antara keistimewaan utama Wardah Ballroom ialah fleksibiliti dalam penyediaan makanan.

Pilihan tidak terhad kepada masakan Melayu sahaja, sebaliknya pelanggan boleh memilih hidangan ‘fusion’ atau Barat mengikut cita rasa masing-masing. 

Wardah Ballroom turut bekerjasama dengan jenama makanan dan minuman popular seperti Overrun dan Tiger Folks, khususnya bagi menarik minat pasangan muda yang mengutamakan pengalaman merasa makanan dalam majlis perkahwinan.

Sebagai tambahan kepada sentuhan ‘premium’, Wardah Ballroom menyediakan kaunter pencuci mulut khas yang menawarkan sehingga 30 jenis pencuci mulut, termasuk coklat yang boleh diukir dengan nama tetamu atau monogram pasangan.

Cenderamata perkahwinan yang disesuaikan dengan monogram pasangan turut disediakan sebagai kenangan.

Pakej perkahwinan ditawarkan pada harga antara $5,000 dengan $40,000, bergantung kepada jumlah tetamu. 

Pakej tersebut lazimnya merangkumi katering pengantin, perkhidmatan fotografi dan videografi, cenderamata perkahwinan, kad jemputan, kek serta sistem bunyi.

Pasangan yang menempah Wardah Ballroom juga berpeluang menikmati pakej bulan madu bernilai $2,000 melalui agensi pelancongan bersekutu, Pos TKI Travel, dengan kebebasan memilih destinasi pilihan ke mana-mana sahaja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg