Sudah menjadi lumrah bagi Cik Norlela Sen berulang-alik mendapatkan air perigi dengan melalui jalan bercerun hampir setiap hari ketika menetap dan membesar di Kampong Tongkang Pechah.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini, Cik Norlela berkata sehingga usianya 12 tahun, beliau berganti-ganti dengan adik-beradik mengambil air perigi untuk kegunaan harian di rumah.
Guru kanan di sebuah sekolah rendah berusia 61 tahun itu, berkata: “Saya masih ingat lagi saya angkat air (dalam baldi) dari perigi ke rumah.
“Bukannya rumah saya atau rumah lain tidak ada paip bekalan air. Namun bagi kami, kemudahan air ini ada berhampiran, jadi tak perlu paip.”
Cik Norlela menambah kampungnya mempunyai tiga perigi, sesuatu yang beliau sifatkan sebagai satu kemewahan, memandangkan biasanya sesebuah kampung ada satu sahaja perigi.
Dengan ini, penduduk kampung, antara lain, dapat menggunakan ketiga-tiga perigi bagi tujuan berbeza seperti mandi, membasuh baju dan air minuman, katanya.
Pengalaman beliau merupakan salah satu daripada pelbagai ragam yang dikongsi bekas penduduk Kampong Tongkang Pechah – terletak di tebing Sungei Punggol, meliputi estet Seletar Hills dan Fernvale – yang dihimpunkan sebagai sebahagian daripada Projek Tongkang Pecah.
Projek itu diasaskan anaknya, Encik Rustam Shariq Mujtaba, 28 tahun, penganalisis data, pada separuh kedua 2023 bagi mengetahui sejarah kampung ibunya.
Dalam satu temubual awal bersama BH, Encik Rustam menjelaskan hasil kajian lanjut membongkar sejarah lain di kawasan sekitar kampung ibunya.
Ini sekali gus membuka ruang meneroka dengan lebih mendalam sejarah kawasan timur laut Singapura, yang belum dikaji secara meluas.
Cik Norlela amat terharu dan bangga dengan usaha yang dilakukan anaknya itu, memandangkan ia menyelongkar kisah kampung tersebut sejak lewat 1930-an, sebelum penduduknya diminta berpindah pada lewat 1970-an, bagi pembangunan semula daerah tersebut.
“Banyak telah dikatakan tentang semangat kampung tetapi bagi saya apa sebenarnya semangat kampung ini adalah, antara lain, keselamatan, ikatan perhubungan (sesama penduduk) dan kebebasan (untuk lakukan apa sahaja),” ujarnya.
Beliau menukil contoh adat berbalas hadiah atau makanan semasa sambutan upacara seperti Hari Raya, dengan hampir seluruh penduduk kampung saling bertukar makanan.
Sehingga hari ini, adat ini masih diamalkan oleh beliau, tetapi ia dilakukan dalam kalangan tujuh adik beradiknya.
Satu lagi aspek yang beliau ketengahkan adalah kebebasan untuk melakukan apa sahaja ketika kecil – beliau lahir dan dibesarkan di kampung itu sehingga berusia 12 tahun, apabila beliau sekeluarga berpindah ke flat di daerah timur laut Singapura untuk pembangunan semula kawasan.
Ini memandangkan beliau tidak perlu fikirkan tentang kerja sekolah atau kelas tambahan kerana beliau melakukan kegiatan luar bersama kanak-kanak lain, sejurus pulang dari sekolah, katanya.
Ini sesuatu yang tidak dapat dialami lagi dalam konteks Singapura kini, yang lebih berteraskan pembelajaran akademik.
Malah, melalui pengalamannya membesar di kampunglah, tercetus inspirasi dan aspirasi untuk menceburi bidang yang dapat membantu individu lain.
“Saya ingat satu pengalaman yang membentuk aspirasi saya. Waktu sudah lewat dan ibu saya melahirkan adik di rumah.
“Untuk ke klinik terdekat bagi memanggil bidan, jaraknya amat jauh dan pengangkutan adalah melalui basikal.
“Dari situ tersemai semangat untuk membantu masyarakat, tidak kira menjadi bidan atau selainnya, tetapi saya ingin salurkan bantuan,” kata Cik Norlela.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg