Penduduk Punggol, Cik Sarah Alynna, 23 tahun, yang bakal mengundi buat kali pertama, menjangkakan persaingan sengit antara Parti Pekerja (WP) dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Punggol untuk memikat hati penduduk di kawasan itu.
“Masing-masing membawa dasar yang berbeza, dan saya menghormati kededuanya. Namun, yang lebih penting, kita perlu fikirkan bagaimana mereka boleh menyumbang dan membantu penduduk,” kata Cik Sarah.
“Antara faktor penting yang perlu dipertimbangkan ialah dasar-dasar yang ditawarkan untuk memperbaiki kehidupan penduduk, visi mereka bagi masa depan, serta integriti calon dan parti yang bertanding.”
Cik Sarah mungkin satu contoh yang menunjukkan sekilas aspirasi dan keprihatinan pengundi muda di Punggol yang akan mengundi pada Hari Mengundi pada 3 Mei nanti.
Selama bertahun, Punggol dikenali sebagai bandar ‘paling muda’ di Singapura – lebih separuh daripada 120,000 pengundi di kawasan undi itu dianggarkan berusia antara 21 tahun dengan 45 tahun.
Menyusuli laporan Jawatankuasa Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac, Punggol kini menjadi GRC tersendiri, apabila bahagian yang sebelum ini menjadi sebahagian GRC Pasir Ris-Punggol digabungkan dengan SMC Punggol West untuk dijadikan GRC Punggol.
Secara keseluruhan, GRC Punggol menggabungkan 96,825 pengundi daripada GRC Pasir Ris-Punggol yang lama dengan 26,732 pengundi daripada SMC Punggol West, menjadikan jumlah keseluruhan 123,557 pengundi.
Beberapa pengamat politik baru-baru ini, berkata Punggol bukan sahaja antara kawasan undi yang menarik perhatian kerana ia baru dibentuk dan mempunyai bilangan besar penduduk muda, malah kerana ia menjangka persaingan sengit antara PAP dengan WP, dan kerana barisan calon yang ditampilkan kededua parti pada Hari Penamaan Calon.
Pasukan PAP di sana dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang dipindahkan dari GRC Chua Chu Kang pada Hari Penamaan Calon.
Beliau, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, disertai Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary, 52 tahun; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, 45 tahun; dan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling, 48 tahun.
Mereka bakal bersaing dengan pasukan WP yang diketuai peguam kanan, Encik Harpreet Singh, 59 tahun; pengarah kanan di sebuah firma teknologi pengiklanan, Cik Alexis Dang, 39 tahun; penasihat undang-undang, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar, 43 tahun; dan pengurus kanan urusan korporat dan pemasaran, Encik Jackson Au, 35 tahun.
Penolong Profesor di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah berkata kedua-dua pasukan yang dihantar PAP dan WP ke sana mantap.
Namun beliau menyifatkan pasukan WP itu sebagai “pasukan A minus” kerana ia terdiri daripada calon kurang berpengalaman dan masih baru dalam arena politik.
“Keempat-empat calon itu semuanya hebat bagi saya namun pengalaman di Parlimen tetap menjadi faktor penting bagi pengundi,” ujar Dr Walid.
Mengulas tentang pemilihan calon WP bertanding di GRC Punggol, Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril berkata langkah tersebut mencerminkan pertimbangan strategik parti itu.
“Menarik kenapa calon-calonnya dikerahkan ke kawasan Punggol. Sebelum ini, Punggol jarang diperkatakan sebagai kerusi panas, berbanding Sengkang yang memang diketahui sebagai kawasan saingan.
“Ini menunjukkan bahawa Parti Pekerja melihat ada potensi cerah di Punggol,” jelasnya yang menyifatkan profil pengundi di Punggol menyerupai Sengkang – kawasan yang dikatakan lebih terbuka kepada sokongan terhadap pembangkang.
Memberi pendapat, Cik Nur Amirah Horlis, 29 tahun, berkata: Meskipun kedua-dua parti di GRC Punggol membawa visi dan pendekatan berbeza, keputusan pengundi juga dipengaruhi oleh keyakinan terhadap parti secara keseluruhan dan dasar-dasar yang ditawarkan.”
Beliau menyenaraikan beberapa faktor penting lain yang perlu dinilai, seperti rekod prestasi calon, dasar-dasar yang diperjuangkan, dan keupayaan untuk memahami keperluan penduduk.
Cik Nur Amirah antara penduduk Punggol lebih muda yang dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini di tengah-tengah kempen GE2025.
Seorang lagi penduduk Punggol yang mengikuti rapat persaingan sengit itu ialah pengurus IT, Encik Roydi Ahat, 47 tahun.
“Bagi saya, persaingan itu agak sengit sebab kedua-duanya mempunyai sejarah dan rekod masing-masing. Walaupun calon WP adalah muka baru, saya percaya rekod mereka dalam organisasi lain boleh diambil kira.
“Namun, perlu diingat bahawa PAP juga telah lama berkhidmat di kawasan ini, maka situasi ini memerlukan pertimbangan seimbang terhadap kedua-dua pihak,” kata Encik Roydi.
Di samping itu, memilih calon yang mampu membawa perubahan nyata untuk kawasan itu sama penting bagi penduduk Punggol.
Seorang pesara berusia 81 tahun, Encik Ismail Karim, berkata: “Persaingan kali ini sangat sengit. Siapa yang dapat meyakinkan pengundi dengan hujah yang baik, parti itulah yang akan mendapat sokongan.
“Ramai di antara kami mahukan perubahan, tetapi pada masa sama berharap sesiapa yang dipilih dapat membawa kebaikan dan membangunkan kawasan ini dengan lebih baik.”
Dalam pada itu, Cik Noredahyu Alias, 46 tahun, turut berkongsi harapannya untuk melihat perkembangan yang dibawa kededua parti sepanjang kempen GE2025.
“Saya ingin melihat sama ada kededua parti dapat membantu membawa perubahan di kawasan kami. Saya ingin tahu dan mendengar apa yang mereka tawarkan. Jika bagus, barulah kita buat pilihan,” kongsi Cik Noredahyu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg