Polis tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan angka edaran SPH Media yang dikatakan ditokok tambah, selepas siasatan mendapati tiada asas untuk sebarang pertuduhan jenayah.

Dalam kenyataan pada 29 April, polis berkata siasatan itu meneliti pekerja dan pengarah – bekas dan semasa – di SPH Media.

Kesalahan yang disiasat termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pemalsuan akaun dan penipuan di bawah Seksyen 477A dan 417 Kanun Keseksaan.

“Siasatan menunjukkan tiada asas untuk membawa sebarang pertuduhan jenayah. Polis, yang berunding dengan Jabatan Peguam Negara, tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas SPH Media memfailkan laporan polis pada 21 Jun 2023, susulan cadangan yang dibuat oleh jawatankuasa audit dan risiko badan tersebut dalam semakannya mengenai angka edaran yang dikatakan dibesar-besarkan.

Angka itu terdedah dalam audit yang dijalankan antara September 2020 dengan Mac 2022, dengan firma guaman Allen & Gledhill mendapati SPH telah meningkatkan jumlah edaran hariannya sebanyak 82,600 menggunakan data dari Ogos 2021.

Jumlah itu menyumbang kira-kira 10 peratus daripada purata edaran harian yang dilaporkan.

Tindakan telah diambil melibatkan beberapa kakitangan kanan, dengan empat meninggalkan syarikat itu pada Januari 2023 selepas audit mengenal pasti isu tersebut.

Berikutan siasatan polis, jurucakap Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) berkata “tiada tindakan lanjut” akan dibuat oleh MDDI.

“SPH Media sejak November 2023 telah melaksanakan metodologi baharu untuk menghitung bilangan edaran, yang telah disokong oleh panel pakar di Persatuan Dunia bagi Akhbar dan Penerbit Berita (WAN-Ifra).

“SPH Media juga telah menambah baik pengurusan dalaman struktur perjanjian dan prosedur kelulusan harga, dan memperkenalkan langkah untuk meningkatkan ketepatan dan pematuhan data,” tambah kenyataan itu.

SPH Media, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari yang sama, berkata di dalam syarikatnya, kes itu telah ditutup sejak akhir 2023 selepas semua hasil penemuan dalaman dan jurang yang timbul ditangani.

“Kami gembira untuk melupakan insiden ini, dan berharap dapat berkhidmat kepada audiens kami dengan lebih baik,” tambah SPH Media.