Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis tahan 9 lelaki dipercayai pandu, tunggang kenderaan dibatal pendaftaran
Polis tahan 9 lelaki dipercayai pandu, tunggang kenderaan dibatal pendaftaran
Seorang lelaki 25 tahun ditahan selepas elak pemeriksaan rutin
Polis tahan 9 lelaki dipercayai pandu, tunggang kenderaan dibatal pendaftaran
Polis telah menahan seorang pemandu berusia 25 tahun yang disyaki memecut dan melawan arus, selepas cuba mengelak daripada pemeriksaan rutin di Sembawang pada awal Februari.
Dalam kenyataan pada 28 April, polis mengesahkan penahanan itu atas kesalahan memandu secara berbahaya selain tetap memandu meskipun tidak dibenarkan berbuat demikian.
Siasatan turut meliputi penggunaan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya di samping pemanduan tanpa perlindungan insurans.
Lelaki itu adalah antara sembilan individu, berusia 19 hingga 32 tahun, yang disiasat kerana memandu atau menunggang kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya sepanjang Januari dan Februari, ujar polis.
Kesemua sembilan individu itu ditangkap atas pelbagai kesalahan lalu lintas dari 30 Januari hingga 12 Februari, dan kenderaan mereka turut disita.
Pada 3 Februari, pegawai Polis Trafik (TP) telah memberi isyarat supaya lelaki berusia 25 tahun itu menghentikan keretanya di Sembawang Drive.
Dia enggan berhenti, sebaliknya melarikan diri, serta menyebabkan kerosakan pada sebuah kenderaan polis.
Lelaki itu juga melanggar lampu merah dan membuat pusingan U secara haram.
Dalam kejadian berasingan pada 6 Februari, dua lelaki, berusia 19 dan 20 tahun, ditahan kerana disyaki menunggang motosikal berlainan yang tidak lagi berdaftar untuk digunakan di jalan raya, di Tampines Street 21.
Seorang remaja lelaki 17 tahun merupakan pembonceng salah sebuah motosikal tersebut.
Semasa pemeriksaan, pegawai TP kemudian mendapati ketiga-tiga mereka menaiki sebuah kereta yang juga disyaki telah dibatalkan pendaftarannya.
Siasatan awal menunjukkan lelaki berusia 20 tahun itu telah memandu kereta yang telah dibatalkan pendaftarannya itu, serta salah sebuah motosikal tersebut, manakala lelaki berusia 19 tahun dan remaja itu telah menunggang motosikal yang sebuah lagi.
Kedua-dua lelaki dewasa itu ditahan kerana memandu tanpa lesen sah.
Remaja 17 tahun itu disiasat kerana memandu kenderaan bermotor ketika berusia di bawah 18 tahun.
Dalam kejadian lain pada 30 Januari, pegawai TP menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang memandu kereta yang disyaki telah dibatalkan pendaftarannya dan tanpa lesen memandu sah di Hougang Street 52.
Siasatan lanjut mendedahkan dia memiliki sebuah lagi kereta yang telah dibatalkan pendaftarannya, yang dipandu oleh lelaki berusia 24 tahun yang juga tidak memiliki lesen sah.
Kedua-dua lelaki itu ditangkap kerana memandu tanpa lesen sah.
Polis menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang kes disyaki melibatkan kenderaan yang dibatalkan pendaftarannya atau pemandu tanpa lesen.
“Kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya berisiko kepada semua pengguna jalan raya kerana ia tidak mempunyai perlindungan insurans dan mungkin tidak memenuhi piawaian keselamatan.
“Apabila dikendalikan oleh pemandu yang tidak berlesen atau di bawah umur, risiko ini meningkat,” tegas mereka.
