Polis: Suspek kes gangguan tailong diberkas
SEORANG lelaki berusia 36 tahun diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam kes gangguan tailong.
Dalam satu kenyataan semalam, polis berkata pihaknya telah dimaklumkan kelmarin tentang satu kes berkenaan di mana dua unit di Pasir Ris Street 21 telah disimbah cat merah dan nota pemiutang diletakkan di pintu pagar.
Melalui siasatan dan dengan bantuan rakaman kamera polis, penyiasat dari Divisyen Polis Bedok telah mengenal pasti identiti lelaki tersebut dan memberkasnya pada hari yang sama.
Siasatan awal mendapati lelaki itu disyaki terlibat dalam enam lagi kes serupa di seluruh negara ini.
Lelaki itu dihadapkan ke mahkamah semalam.
Jika disabit kesalahan di bawah Akta Peminjam Wang 2008, pesalah kali pertama gangguan tailong boleh didenda antara $5,000 dengan $50,000 dan dipenjara sehingga lima tahun serta disebat sehingga enam kali.
"Polis tidak akan bertolak ansur terhadap aktiviti gangguan tailong.
"Mereka yang dengan sengaja merosakkan harta benda, menimbulkan kegusaran atau mengganggu keselamatan dan keamanan awam akan ditangkap dan dikenakan tindakan berat mengikut undang-undang," kata polis dalam kenyataannya.
Orang ramai boleh menghubungi Polis di talian 999 atau hotline X-Ah Long (1800-924-5664) jika mereka mengesyaki atau mengenali sesiapa yang mungkin terlibat dalam aktiviti tailong.

