Menerusi satu kerjasama sulung dengan bursa mata wang kripto, Pasukan Polis Singapura (SPF) berjaya mencegah kerugian bernilai lebih $2.86 juta daripada menimpa 90 mangsa penipuan di Singapura.

Operasi selama sebulan yang bermula pada 16 Mac itu menyaksikan perkongsian antara Pusat Antipenipuan (ASC) dengan Cawangan Siasatan Siber (CIB), bersama bursa mata wang kripto seperti Coinbase, Coinhako dan StraitsX.

Pegawai daripada ASC dan CIB telah menjalankan analisis blok rantai tahap maju dengan menggunakan peralatan daripada peneraju industri, TRM Labs dan Chainalysis.

Menerusi analisis tersebut, mereka berjaya mengenal pasti mangsa daripada pelbagai kategori penipuan, termasuk penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah, pelaburan, pekerjaan, dan penipuan cinta.

Kesemua mangsa kemudian dimaklumkan melalui panggilan telefon dan pertemuan secara bersemuka sebelum suspek sempat mengeluarkan mata wang kripto tersebut, sekali gus menghalang kerugian kewangan lebih besar.

Menurut pihak polis, operasi itu berjaya hasil “pertukaran maklumat pantas antara polis dengan bursa mata wang kripto yang terlibat, yang membolehkan pengecaman mangsa serta campur tangan dilakukan dengan segera”.

“Pendekatan kerjasama ini merupakan satu kemajuan penting dalam usaha antipenipuan di Singapura, selain menunjukkan bagaimana kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang dengan sektor swasta boleh memanfaatkan teknologi canggih bagi melindungi orang awam daripada penipuan yang semakin rumit.

“Operasi ini menyerlahkan komitmen pihak polis terhadap pencegahan penipuan secara proaktif dan kepentingan kerjasama masa nyata dengan bursa mata wang kripto serta agensi penguatkuasaan dalam memerangi jenayah siber,” kata polis lagi.

Sejak Februari, mangsa penipuan dalam sekurang-kurangnya 98 kes dilaporkan rugi sekitar $8.5 juta akibat perbuatan penipu yang menyamar sebagai pegawai daripada Kementerian Undang-Undang (MinLaw), menurut laporan The Straits Times (ST) pada 23 April.

Jumlah kerugian akibat penipuan menurun sebanyak 17.9 peratus kepada kira-kira $913.1 juta pada 2025, berbanding sekitar $1.1 bilion pada 2024, berdasarkan taklimat tahunan polis mengenai penipuan dan jenayah siber pada 2025.

Namun, kerugian melibatkan mata wang kripto terus membentuk peratusan besar daripada keseluruhan kerugian penipuan, iaitu sekitar $182.2 juta atau sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian pada 2025.

Sindiket penipuan mengeksploitasi mata wang kripto kerana sifat urus niaganya yang tidak boleh dibatalkan serta kebolehjejakan terhad, sekali gus menjadikan usaha pemulihan aset oleh pihak berkuasa amat mencabar.

Mangsa penipuan melaporkan Tether, Ethereum, dan Bitcoin sebagai mata wang kripto utama yang mengakibatkan kerugian, merangkumi kira-kira 91.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian penipuan kripto, kata polis dalam taklimat tahunan tersebut.

Pada 2025, lebih 7,000 keldai wang dan penipu telah disiasat, manakala lebih 940 individu telah dikenakan tuduhan oleh polis.

Pihak polis menggesa orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penipuan.

Ini termasuk, memasang ciri keselamatan seperti aplikasi ScamShield dan pengesahan dua faktor (2FA) bagi akaun peribadi termasuk bank, media sosial, dan akaun Singpass.

Kenal pasti tanda-tanda awal penipuan dengan menyemak kesahihan permintaan maklumat peribadi atau pemindahan wang, serta mengesahkan ketulenan senarai barangan dan ulasan dalam talian.

Akhir sekali, maklumkan kepada pihak berkuasa dan orang lain mengenai sebarang cubaan penipuan dengan melaporkannya kepada pihak bank, ScamShield, atau dengan membuat laporan polis.