Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong, PM Jepun saling ucap tahniah sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik
PM Wong, PM Jepun saling ucap tahniah sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik
PM Wong, PM Jepun saling ucap tahniah sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, saling mengucapakan tahniah pada 26 April sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, dalam suratnya kepada Cik Takaichi, berkata hubungan antara Singapura dengan Jepun telah meningkat hingga menjadi kerjasama yang teguh dan dalam pelbagai bidang.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama ekonomi kedua-dua negara telah menjadi tonggak utama, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pelaburan dan teknologi Jepun telah banyak menyumbang kepada pembangunan awal Singapura.
Tambahnya, kedua-dua negara itu kini merupakan antara rakan dagang dan pelabur terbesar satu sama lain selepas Perjanjian Kerjasama Ekonomi Jepun-Singapura ditandatangani pada 2002.
Encik Wong juga merujuk kepada lawatannya ke Jepun pada Mac 2026, yang disifatkannya sebagai satu mercu tanda penting.
Beliau menarik perhatian bahawa Jepun merupakan penyokong setia ‘Asean Centrality’ – di mana negara Asean berperanan membentuk masa depan yang diinginkannya sendiri - dan integrasi serantau.
Sebagai negara penyelaras bagi hubungan dialog Asean-Jepun, Singapura akan terus memperkukuh Kerjasama Strategik Menyeluruh Asean-Jepun, terutamanya menjelang Singapura menjadi pengerusi Asean pada 2027, katanya.
“Kita harus memanfaatkan sinergi antara Pandangan Asean Tentang Indo-Pasifik (AOIP) dengan Strategi Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP) Jepun untuk memajukan kerjasama praktikal yang menyokong seni bina serantau yang terbuka dan inklusif,” kata Encik Wong.
Beliau berkata kedua-dua Singapura and Jepun akan terus bekerjasama menerusi platform seperti Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP).
Usaha kerjasama ini akan membantu menegakkan sistem antarabangsa berasaskan peraturan serta memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ini, tambah Encik Wong.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan anda dan kerajaan anda untuk membawa kerjasama kita ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam suratnya kepada Encik Wong yang diterbitkan di laman web Kementerian Ehwal Luar Jepun, Cik Takaichi berkata Jepun dan Singapura telah menjadi rakan kerja yang bekerjasama menangani cabaran serantau dan global sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 26 April 1966.
Beliau akur bahawa Singapura merupakan negara pertama bagi Jepun memeterai perjanjian kerjasama ekonomi.
Tambahnya, kedua-dua negara telah bekerjasama untuk menegakkan dan memperjuang perdagangan bebas, termasuk menerusi CPTPP.
Merujuk kepada lawatan Encik Wong ke Jepun pada Mac 2026, Cik Takaichi berkata kedua-dua pemimpin telah mengenal pasti lima bidang kerjasama yang menjadi keutamaan.
Beliau berharap dapat berusaha ke arah itu menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Singapura dan Jepun pada 2036.
Encik Wong dan Cik Takaichi mengumumkan pada 18 Mac bahawa kedua-dua negara telah meningkatkan hubungan mereka kepada kerjasama strategik, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.
Kerjasama strategik itu akan memperdalam asas hubungan substantif dan pelbagai aspek antara kedua-dua negara, serta memperluas kerjasama dalam lima bidang, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas kedua-dua pemimpin dan delegasi mereka bertemu di Pejabat Perdana Menteri di Tokyo.
