PM Wong mulakan siri lawatan ke kawasan undi seluruh S’pura
PM Wong mulakan siri lawatan ke kawasan undi seluruh S’pura
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan melawat kawasan undi di serata Singapura dalam beberapa bulan mendatang, bermula dengan Tampines pada 15 Jun.
Ditemui di Festival Pembelajaran Tampines 2024 di Tampines Community Plaza, Encik Wong berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada usahanya di peringkat masyarakat untuk mendekati dan mendengar pendapat warga Singapura.
Ditanya sama ada beliau akan menyelesaikan siri lawatan ke semua Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) sebelum pilihan raya umum akan datang, Encik Wong menyatakan bahawa kunjungannya “tidak terikat kepada jadual politik”.
Ditemui media, beliau berkata:
“Saya baru mulakan kunjungan pengenalan saya ke luar negara. Saya rasa ia sama atau lebih penting bagi saya untuk turut melawat kawasan kita sendiri di Singapura. Jadi kunjungan hari ini ke Tampines merupakan permulaan dalam siri kunjungan kawasan undi yang saya akan adakan dalam beberapa bulan akan datang.
“Tujuan sebenar saya adalah untuk mendekati dan mendengar warga Singapura secara langsung.”
Encik Wong menekankan kunjungan sebegini sememangnya sesuatu yang biasa dilakukan secara tetap tetapi perbezaannya kini ialah beliau perlu berusaha lebih untuk mendekati masyarakat merentas kawasan undi berbeza.
Ini juga satu wadah bagi warga Singapura mengenali dirinya sebagai perdana menteri baru.
“Jika anda mempunyai maklum balas mengenai dasar, idea tentang memperbaiki kejiranan anda, saya ingin mendengar idea ini daripada anda dan mendengarnya secara langsung,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan projek dan inisiatif masyarakat sambil menegaskan pentingnya kerjasama untuk memajukan Singapura.
Ditanya perasaannya sebulan sejak beliau menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri, Encik Wong tersenyum dan dengan nada positif berkata:
“Lebih banyak kerja, lebih banyak tekanan, kurang privasi. Tetapi saya akan melakukan yang terbaik untuk membiasakan dan menyesuaikan diri dengan realiti baru ini.”
Menyentuh tentang sambutan orang ramai terhadapnya, Encik Wong berkata ia memberangsangkan dengan masyarakat menunjukkan keinginan kuat untuk bekerjasama dengan pemerintah dalam membawa Singapura terus maju ke hadapan.
“Itulah sebabnya saya mahu membina momentum ini... mempunyai idea dan aspirasi adalah satu perkara yang sangat baik tetapi saya ingin melihat bagaimana kita boleh mengubah idealisme dan aspirasi itu menjadi kerjasama dan perkongsian lebih kukuh, antara pemerintah dengan pihak berkepentingan berbeza serta kumpulan masyarakat,” ujarnya.
Lawatan Encik Wong ke Festival Pembelajaran Tampines untuk bertemu penduduk Tampines disusuli sesi dialog bersama kumpulan kecil terdiri daripada pemimpin akar umbi serta relawan masyarakat dan pertubuhan berbeza.
Menurut Encik Wong, sesi yang berlangsung di Kelab Masyarakat Tampines East itu bertujuan membincangkan pelbagai isu, antaranya menyentuh tentang keluarga, ibu bapa, kanak-kanak serta kemampanan.
Beliau berkata beliau akan sedaya upaya memastikan pendekatannya bersifat organik, dengan lawatannya diadakan tidak kira ke pasar, pusat penjaja atau acara tertentu yang dianjurkan.

