Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Platform kenderaan sewa privet tawar bantuan kepada pemandu syarikat Autobahn yang terjejas

Jan 7, 2026 | 7:21 PM
Singapore, ride-hailing, Autobahn
Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), Persatuan Teksi Nasional (NTA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali platform mahu membantu pemandu kembali bekerja secepat mungkin. - Foto fail

Syarikat Grab, ComfortDelGro (CDG) dan Strides Premier menawarkan kenderaan mereka dengan syarat yang menguntungkan kepada pemandu kereta sewa persendirian yang terjejas apabila kereta mereka disita oleh pemiutang Autobahn Rent A Car.

Ketiga-tiga pengendali platform tersebut telah meniadakan deposit keselamatan untuk pemandu terbabit, selain menawarkan syarat lain seperti insentif tambahan untuk mengganti kehilangan pendapatan dan sewa percuma selama tiga hari pertama.

Inisiatif itu diumumkan pada 7 Januari sebagai tindak balas bersama daripada Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Teksi Nasional (NTA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), serta pengendali platform, lapor The Straits Times (ST).

Pada 6 Januari, ST melaporkan Autobahn Rent A Car, yang membekalkan kereta kepada pemandu sewa persendirian, telah menggantung operasinya.

Syarikat itu mempunyai 1,700 kenderaan.

Kedua-dua persatuan, LTA dan pengendali platform berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa keutamaan mereka adalah membantu pemandu yang terjejas.

Ia bagi membolehkan mereka kembali bekerja secepat mungkin memandangkan pemandu terbabit kehilangan sumber pendapatan apabila kereta mereka baru-baru ini disita oleh pemiutang Autobahn Rent A Car.

Permohonan syarikat itu ke Mahkamah Tinggi bagi perlindungan daripada pemiutang telah ditolak pada 26 Disember 2025. 

Bersama syarikat-syarikat berkaitan, Autobahn Rent A Car dilaporkan mempunyai hutang melebihi $300 juta, dengan pemiutang termasuk institusi kewangan dan bank utama.

Sebahagian besar liabiliti itu adalah untuk perjanjian sewa beli kenderaan.

NPHVA, yang merupakan anggota Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC), mewakili pemandu kenderaan sewa persendirian, manakala NTA ialah persatuan bagi semua pemandu teksi di Singapura.

Penasihat NPHVA dan NTA serta Penolong Setiausaha Agung NTUC, Cik Yeo Wan Ling, berkata:

“Kami sedar keadaan ini telah menimbulkan kesulitan besar bagi pemandu terjejas, dan kami telah menghubungi sebahagian daripada mereka.

“Pemandu bergantung kepada kenderaan mereka untuk mencari rezeki, dan kami memandang serius soal sumber pendapatan mereka.

“NPHVA dan NTA akan terus bekerjasama dengan LTA dan pengendali platform untuk melindungi dan menyokong pemandu kami.”

Ketiga-tiga pengendali platform, yang mempunyai unit penyewaan kenderaan sendiri, telah meniadakan deposit bagi pemandu yang terjejas bagi mengurangkan kos awal sewaan kenderaan.

Langkah sokongan lain termasuk insentif tambahan oleh CDG dan Grab untuk membantu pemandu menggantikan pendapatan yang hilang, serta Strides Premier pula menawarkan sewa percuma selama tiga hari pertama.

NTUC turut menawarkan bantuan kepada anggota yang terjejas berkaitan isu kontrak dengan Autobahn Rent A Car.

Dalam kenyataan bersama, LTA berkata ia menerima maklumat sesetengah kereta daripada syarikat itu tidak mempunyai insurans motor yang sah, kerana polisi insurans tidak diperbaharui atau dibatalkan.

Insurans sah dan cukai jalan adalah wajib.

Melalui peguamnya, syarikat penyewaan kereta itu pula berkata pada 6 Januari ia menggantung operasinya kerana keterbatasan operasi dan pembatalan insurans kenderaan.

Di laman Facebooknya, NPHVA berkata ia sedang menganjurkan sesi pertemuan bagi pemandu yang terjejas.

“Kami sedar keadaan ini telah menimbulkan kesulitan besar bagi pemandu terjejas, dan kami telah menghubungi sebahagian daripada mereka. NPHVA dan NTA akan terus bekerjasama dengan LTA dan pengendali platform untuk melindungi dan menyokong pemandu kami.”
Cik Yeo Wan Ling, Penasihat Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Teksi Nasional (NTA), yang juga Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg