Pesta Warisan Singapura (SHF) 2026 kembali tahun ini dengan tema baru yang memberi peluang bagi ramai menjelajah sejarah Singapura ketika mereka menyelami kehidupan pedagang pada era 1960-an.

Diberi nama A Bump Through Time, peserta berpeluang menjelajah sejarah Singapura menaiki sebuah bumboat atau tongkang menerusi pengalaman teater baharu yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya di pesta tersebut.

Pengalaman tersebut merupakan antara sorotan baharu edisi ke-23 SHF, yang berlangsung dari 1 hingga 24 Mei dengan tema warisan maritim.

SHF2026 dilancarkan secara rasmi pada petang 1 Mei 2026 di ACM Green (ruang hijau di luar Muzium Tamadun Asia).

Turut menyertai majlis pelancaran itu sebagai tetamu terhormat adalah Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo (tiga dari kanan).

Bersama beliau semasa majlis tersebut termasuk (dari kiri) Pengarah Pesta, Encik Muhammad Qazim Abdul Karim; Ketua Pegawai Eksekutif, HeritageSG, Cik Ong Chiew Yen; Konduktor Perkusi, ATAM (Seni Tradisional dan Muzik Anandha) Pte Ltd, Cik Logeshwari Durairaj Eshwari; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Warisan Negara (NHB), Cik Chang Hwee Nee; dan Ketua Pegawai Operasi, HeritageSG, Encik Alvin Ting.

SHF 2026 akan menampilkan lebih 100 program di serata Singapura, dan pesta itu merangkumi persembahan budaya, laluan berpandu, bengkel dan pameran yang meneroka masyarakat serta tradisi yang dibentuk hasil hubungan lama Singapura dengan laut.

SHF2026 dianjurkan oleh HeritageSG, anak syarikat di bawah naungan Lembaga Warisan Negara (NHB).