Topik diikuti
Pergi ke BHkuPesta hujung minggu rai sejarah, warisan Kg Gelam
Pesta hujung minggu rai sejarah, warisan Kg Gelam
Pengunjung pesta di kawasan Kampong Gelam disambut dengan persembahan muzik pukulan genderang atau ‘percussion’ tradisional Melayu bertenaga tinggi oleh kumpulan NADI Singapura Percussion, yang menggabungkan rentak gendang bergemuruh dengan koreografi berirama dan sentuhan tenaga kontemporari.
Persembahan itu merupakan sebahagian daripada Pesta Kampong Gelam (KGF) yang diadakan buat julung-julung kalinya pada 12 dan 13 September.
KGF dianjurkan oleh Taman Warisan Melayu (TWM) dengan kerjasama pihak berkepentingan di kawasan Kampong Gelam, termasuk kumpulan masyarakat, perniagaan dan institusi kebudayaan bagi meraikan sejarah serta warisan kawasan itu menerusi pelbagai persembahan, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan TWM pada 12 September.
Turut hadir bagi menyerikan sambutan itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Antara yang turut membuat persembahan ialah artis veteran tempatan, Art Fazil dan J. Mizan.
Pesta yang berlangsung dua hari itu bertemakan ‘Through the Eras’ atau ‘Merentasi Zaman’, dan menelusuri evolusi Kampong Gelam daripada sebuah kawasan maritim pada zaman awal kepada pusat kerajaan, perdagangan dan masyarakat.
Ia turut mengetengahkan peranan penting yang dimainkan Kampong Gelam dalam kegiatan perdagangan, penerbitan, ibadah haji dan budaya popular sebelum berkembang menjadi kawasan budaya dan ruang kreatif seperti yang dikenali hari ini.
Menurut Pengurus Kanan, Penglibatan dan Kerjasama Masyarakat TWM, Encik Syawal Yusoff, pesta ini dianjurkan bagi meluaskan usaha dalam menghidupkan dan memperkaya ruang budaya, bukan sahaja di dalam kawasan muzium, malah ke seluruh kawasan sekitar TWM.
“Daripada pengunjung festival yang hadir secara khusus sehingga orang ramai yang kebetulan melalui kawasan tersebut, semua berpeluang menikmati persembahan yang disusun, pameran daripada kumpulan komuniti, siri jejak berpandu serta bengkel praktikal.
“Kami berharap pengalaman tersebut dapat memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap Kampong Gelam sebagai sebuah daerah yang kaya dengan warisan hidup,” kata Encik Syawal kepada Berita Minggu (BM).
Selain itu, pengunjung berpeluang mengenali kebudayaan masyarakat Nusantara melalui reruai warisan yang dikendalikan masyarakat Arab, Banjar, Bawean, Batak, Bugis, Jawa, Minang dan juga Orang Kallang.
Terdapat juga bengkel seperti ‘Kebaya in Conversation’ oleh Baju by Oniatta serta pameran tekstil ‘Batak Ulos’ yang julung kali diadakan oleh kumpulan Batak Singapura Collective.
Kawasan permainan interaktif turut disediakan untuk kanak-kanak mencuba permainan tradisional seperti congkak, capteh dan batu seremban.

