Topic followed successfully
Go to BHkuHarga flat jualan semula HDB turun pertama kali dalam 7 tahun
Harga flat jualan semula HDB turun pertama kali dalam 7 tahun
Harga susut 0.1% pada suku pertama 2026; harga rumah privet naik 0.3%
Harga flat jualan semula HDB turun pertama kali dalam 7 tahun
Harga jualan semula flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) jatuh buat kali pertama dalam tempoh hampir tujuh tahun.
Pada suku pertama 2026, harga turun sebanyak 0.1 peratus berbanding suku sebelumnya.
Ini merupakan penurunan pertama sejak suku kedua 2019 dan ia berlaku berikutan lima suku berturut-turut dengan pertumbuhan harga lebih perlahan atau tiada kenaikan langsung, berdasarkan data awal daripada HDB pada 1 April.
Jumlah urusan flat jualan semula adalah sebanyak 6,179 unit setakat 30 Mac, turun 4.5 peratus berbanding 6,473 transaksi yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025.
HDB berkata: “Prospek ekonomi makro semakin tidak menentu.
“Isi rumah hendaklah terus berhemat semasa membeli hartanah dan mengambil pinjaman gadai janji.”
HDB bakal menawarkan sekitar 6,900 flat di Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Merah, Sembawang dan Woodlands dalam Bina Ikut Tempahan (BTO) yang akan datang pada Jun.
Sementara itu, harga rumah privet pula meningkat dengan lebih perlahan pada suku pertama 2026, naik 0.3 peratus berbanding tiga bulan sebelumnya, berdasarkan anggaran awal yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 1 April.
Ini menyusuli kenaikan 0.6 peratus pada suku keempat 2025, dan pertumbuhan harga setahun penuh sebanyak 3.3 peratus pada 2025.
Harga rumah privet bukan berhalaman naik 1 peratus berbanding suku sebelumnya.
Ini merupakan pemulihan selepas harga jatuh 0.2 peratus pada suku sebelumnya.
Mengikut daerah, harga rumah tidak berhalaman meningkat secara menyeluruh.
Di Kawasan Tengah Utama (CCR) yang mewah, harga naik 0.4 peratus, berbanding penurunan 3.5 peratus sebelum ini.
Harga di Baki Kawasan Tengah (RCR) meningkat 0.9 peratus, selepas mencatatkan kenaikan 0.7 peratus pada tiga bulan sebelumnya.
Harga di Luar Kawasan Tengah (OCR) meningkat 1.3 peratus, daripada kenaikan 1 peratus pada tiga bulan sebelumnya.
Sementara itu, harga rumah privet berhalaman turun 1.8 peratus berbanding suku sebelumnya, daripada kenaikan 3.4 peratus sebelum ini.
Anggaran awal itu disusun berdasarkan harga transaksi yang dinyatakan dalam kontrak yang dikemukakan untuk pembayaran duti setem, serta data unit yang dijual oleh pemaju sehingga pertengahan Mac.
Statistik itu akan dikemas kini pada 24 April, apabila URA mengeluarkan set penuh statistik hartanah bagi suku pertama 2026.

