Topik diikuti
Pergi ke BHku25 kedai terjejas susulan paip bocor di Yishun
25 kedai terjejas susulan paip bocor di Yishun
25 kedai terjejas susulan paip bocor di Yishun
Kebocoran paip air di Yishun menyebabkan banjir pada awal pagi 10 Mei dan menjejas kira-kira 25 kedai di kawasan kejiranan Chong Pang.
Paip bawah tanah itu terletak berhampiran persimpangan Blok 101 Yishun Avenue 5 dan Sembawang Road dan kebocoran itu dilaporkan berlaku sekitar 1 pagi, kata agensi air kebangsaan PUB dalam catatan Facebook.
Ia mengerahkan kru perkhidmatan untuk membaiki kebocoran dan melakukan kerja membaik pulih di kawasan terjejas.
“Tiada gangguan bekalan air untuk rumah dan perniagaan di kawasan itu,” tambah PUB.
Dalam pada itu, PUB sedang bekerjasama dengan Majlis Bandaran Nee Soon untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan sedang menyiasat punca kebocoran itu.
Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, yang juga Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Encik K. Shanmugam, memberitahu wartawan sekitar 25 kedai terjejas.
Beliau yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, menambah pegawai dari majlis bandaran telah berada di kawasan itu sejak 2 pagi.
“Pembersihan mengambil sedikit masa kerana sejumlah besar air telah keluar,” katanya.
Pemilik sebuah kedai perabot menyatakan beliau bimbang barangannya mungkin tidak boleh digunakan jika ia basah dan berlumpur.
“Kami akan bekerjasama dan membantu mereka,” tambah Encik Shanmugam.
Pengerusi Persatuan Pedagang dan Penjaja Bandar Chong Pang, Encik Koh Chye Ghuan, berkata: “Keutamaan kami adalah membantu pemilik membersihkan kedai mereka supaya mereka dapat menyambung semula perniagaan mereka dengan segera.”
Apabila The Straits Times (ST) tiba di tempat kejadian sekitar 12.50 pagi, air dilihat mengalir keluar daripada tanah di kawasan berhampiran Blok 101.
Air juga telah merebak ke tingkat bawah blok tersebut dan Blok 102 bersebelahan dan nampaknya menjejas beberapa kedai di sana.
Kira-kira 10 pekerja dilihat membersihkan lumpur dan serpihan serta memindahkan barangan dari kedai yang terjejas.
