Topik diikuti
Pergi ke BHkuPergeraq lancar buku imbau laluan sepanjang dua dekad
Pergeraq lancar buku imbau laluan sepanjang dua dekad
Meski berdepan cabaran dekati generasi muda, persatuan komited perkasa guru ngaji, manfaat teknologi moden dan lahirkan rantaian pendidik baru
Pergeraq lancar buku imbau laluan sepanjang dua dekad
Selama dua dekad, Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pendidikan Al-Quran di Singapura, bukan sahaja menerusi usaha membasmi buta huruf Al-Quran dalam kalangan masyarakat, malah melahirkan generasi baharu guru mengaji, yang terus menyebar ilmu kepada masyarakat.
Sempena ulang tahun ke-20 penubuhannya, persatuan itu telah meraikan perjalanan panjang mereka menerusi majlis khas yang turut menyaksikan pelancaran buku berjudul, ‘PERGERAQ - Kisah Dua Dekad’, di Red Velvet Ballroom, kendalian The Landmark Restaurant, Village Hotel Bugis, pada 17 Mei.
Presiden Pergeraq, Ustaz Achmed Fahdly Mohd Kamsari, berkata pencapaian dua dekad persatuan ini menjadi bukti persatuan tersebut masih kekal relevan dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam di Singapura.
“Alhamdulillah, selama 20 tahun Pergeraq masih lagi relevan kepada masyarakat.
“Kami masih lagi boleh berkhidmat kepada mereka yang belum tahu membaca Al-Quran dan masih lagi memerlukan bimbingan asas,” ujarnya.
Menurut beliau, misi persatuan itu kini bukan sahaja tertumpu kepada usaha membantu masyarakat mempelajari Al-Quran, malah turut memperkasakan guru Al-Quran dengan teknik pengajaran serta penggunaan teknologi lebih moden.
Mengimbau kembali perjalanan persatuan itu sejak ditubuhkan, beliau menyifatkan antara pencapaian paling penting lagi bermakna adalah tatkala melihat pelajar yang pernah mengikuti kursus bersama Pergeraq kini kembali menyumbang sebagai guru mengaji.
“Ada dalam kalangan mereka yang asalnya pelajar, kemudian menjadi guru mengaji bertauliah dan kini pula mendidik anak murid mereka sendiri.
“Selepas itu, anak murid mereka pula mahu menjadi guru Al-Quran. Itu antara pencapaian yang sangat bermakna bagi kami,” jelasnya.
Namun, perjalanan selama 20 tahun itu bukan tanpa cabaran.
Menurut beliau, antara cabaran terbesar yang dihadapi ketika ini adalah usaha mendekati generasi muda yang masih kurang mengenali peranan Pergeraq dalam masyarakat.
“Kami dapati generasi muda hari ini mungkin belum begitu mengenali Pergeraq. Jadi cabaran kami adalah bagaimana untuk berhubung dengan mereka dan terus menarik minat mereka mendalami ilmu Al-Quran,” katanya.
Buku, ‘PERGERAQ - Kisah Dua Dekad’, menghimpunkan catatan sejarah, perjalanan dakwah dan sumbangan Pergeraq sepanjang dua dekad lalu.
Menurut Ustaz Achmed Fahdly, penerbitan buku itu bukan sekadar mendokumentasikan sejarah pertubuhan berkenaan, malah sebagai penghargaan kepada pendidik Al-Quran terdahulu dan masa kini.
Beliau berkata antara pesanan utama yang ingin disampaikan menerusi buku itu ialah perubahan besar boleh bermula daripada langkah kecil yang dilakukan secara istiqamah dan ikhlas.
“Kadang-kadang usaha yang kecil tetapi dilakukan secara konsisten boleh meninggalkan kesan besar kepada masyarakat,” katanya.
Mengulas mengenai harapan persatuan itu untuk masa depan, beliau berkata Pergeraq mahu terus memperluaskan program pendidikan Al-Quran agar dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Kami mahu memperkukuhkan lagi pendidikan Al-Quran untuk semua peringkat usia.
“Kami juga mahu melahirkan lebih ramai guru Al-Quran yang bermutu serta memperbanyakkan program untuk belia dan keluarga,” katanya.
Persatuan itu juga sedang melihat cara memanfaatkan teknologi serta media sosial seperti TikTok dan Instagram bagi mendekati masyarakat dengan pendekatan yang lebih sesuai untuk generasi masa kini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong perjalanan Pergeraq sejak penubuhannya.
“Tanpa pengasas, para guru, sukarelawan, penderma dan masyarakat yang menyokong Pergeraq selama ini, mungkin kita tidak akan sampai ke tahap ini,” tambahnya.
