Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyedia khidmat penjagaan kesihatan wajib kongsi rekod pesakit mulai 2027

Akta Maklumat Kesihatan diluluskan, rangkumi kedua-dua institusi awam dan swasta
Jan 12, 2026 | 8:30 PM
Parlimen, Penyedia penjagaan kesihatan, rekod kesihatan
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How. - Foto MDDI

Proses mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan daripada klinik atau hospital berbeza bakal dipermudahkan berikutan lulusnya rang undang-undang baru yang mewajibkan perkongsian rekod pesakit antara institusi berbeza.

Akta Maklumat Kesihatan, yang diluluskan di Parlimen pada 12 Januari, akan mewajibkan penyedia penjagaan kesihatan dari sektor awam dan swasta untuk berkongsi rekod kesihatan penting pesakit melalui Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) mulai 2027.

Ini termasuk maklumat kesihatan seperti alahan, vaksinasi, diagnosis, ubat-ubatan, keputusan ujian makmal dan imej radiologi.

Antara tujuannya adalah untuk mengurangkan pengulangan ujian perubatan atau pemberian preskripsi yang salah kepada pesakit serta untuk memastikan maklumat kesihatan dikemas kini, tepat dan boleh diakses oleh penyedia khidmat penjagaan kesihatan.

Dalam ucapannya di Parlimen, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, berkata usaha itu akan membolehkan pesakit meraih manfaat daripada khidmat penjagaan yang tepat pada masanya dan lebih menyeluruh.

“Pesakit akan menerima penjagaan daripada pelbagai penyedia penjagaan kesihatan.

“Bukan sahaja di hospital dan poliklinik awam, tetapi juga di rumah atau dalam masyarakat, termasuk di klinik pengamal perubatan am (GP), pusat dialisis, dan melalui perkhidmatan perubatan atau pemulihan di rumah,” kata Encik Tan.

Ditubuhkan pada 2011, NEHR adalah repositori berpusat bagi maklumat kesihatan utama yang digunakan dan disumbangkan oleh semua hospital dan poliklinik awam.

Setakat ini, melalui Healthier SG atau SG Lebih Sihat, kebanyakan klinik GP telah dimasukkan ke dalam sistem itu.

Kebanyakan hospital swasta juga telah dimasukkan ke dalam sistem itu dengan bakinya dalam proses untuk disertakan kelak.

Menurut Encik Tan, segmen penyedia khidmat penjagaan kesihatan tertentu masih belum sepenuhnya berada dalam sistem NEHR, seperti klinik pakar swasta.

Jurang tersebut bakal ditutup oleh akta baru ini.

“Ini akan membolehkan maklumat kesihatan utama pesakit boleh diakses oleh penyedia penjagaan kesihatan mereka apabila mereka beralih merentasi persekitaran penjagaan kesihatan,” kata Encik Tan.

Akta Maklumat Kesihatan juga akan membenarkan institusi penjagaan kesihatan berkongsi maklumat pesakit dengan rakan kongsi berasaskan komuniti yang menyokong pemerintah dengan program dan inisiatif kesihatan kebangsaan pemerintah.

Contohnya, di bawah inisiatif SG Lebih Sihat, kluster penjagaan kesihatan boleh berkongsi maklumat untuk menghubungi warga emas dengan keperluan tertentu dengan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).

Ini akan membolehkan AIC menghubungi warga emas dan membantu menghubungkan mereka dengan penyedia penjagaan kesihatan berkaitan dan perkhidmatan berasaskan komuniti berdasarkan keperluan mereka.

Akta baru itu juga memperkenalkan perlindungan perundangan untuk melengkapi kawalan teknikal sedia ada, seperti audit berkala.

Hanya penyedia dan karyawan penjagaan kesihatan – yang merawat pesakit seperti doktor, jururawat, ahli farmasi dan karyawan kesihatan bersekutu – dibenarkan mengakses rekod NEHR pesakit.

Akses untuk tujuan pekerjaan atau insurans dilarang, kecuali bagi senarai pemeriksaan perubatan tertentu yang dibenarkan undang-undang.

Individu boleh memantau akses rekod NEHR mereka melalui aplikasi HealthHub dan melaporkan sebarang akses yang tidak sesuai kepada Kementerian Kesihatan (MOH).

Pesakit yang mempunyai kebimbangan khusus boleh menetapkan ‘Sekatan Akses’ melalui HealthHub supaya hanya penyedia penjagaan kesihatan terpilih sahaja yang boleh melihat rekod NEHR mereka.

Namun, sebahagian maklumat seperti alahan dan vaksinasi kekal boleh diakses bagi mengurangkan risiko rawatan yang salah.

Dalam kes kecemasan perubatan, doktor masih mempunyai akses kepada NEHR individu meskipun terdapat sekatan akses.

Ini bagi membolehkan rawatan tepat diberikan demi menyelamatkan nyawa pesakit, jelas Encik Tan.

Selain Akta Maklumat Kesihatan, Parlimen turut meluluskan pindaan kepada Akta Tadbir Urus Sektor Awam (PSGA) pada 12 Januari.

Sidang Parlimen diteruskan pada 13 Januari.

Antara topik utama yang akan dibahaskan adalah sama ada Encik Pritam Singh masih sesuai untuk meneruskan peranan sebagai Ketua Pembangkang susulan sabitannya berbohong kepada jawatankuasa Parlimen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg