Seramai 131 penumpang dan 12 kru pesawat Singapore Airlines (SIA), SQ321, yang mengalami gelora udara yang kuat hingga satu jiwa terkorban, telah tiba di Singapura pada pagi Rabu (22 Mei) dalam satu penerbangan bantuan, menurut syarikat penerbangan SIA.
Mereka yang tiba di lapangan terbang Changi sekitar 5.05 pagi dari Bangkok, Thailand telah disambut oleh Ketua Eksekutif SIA, Encik Goh Choon Phong.
SIA berkata dalam satu kemas kini di Facebook yang lagi 79 penumpang dan enam anggota kru pesawat itu masih berada di Bangkok. Ini termasuk mereka yang menerima penjagaan perubatan dan anggota keluarga yang menarik penerbangan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, pengangkutan ke rumah atau tempat penginapan mereka yang tiba itu sudah diaturkan bagi mereka yang menuju ke Singapura.
SIA juga telah menempahkan semula penerbangan bagi penumpang yang menuju ke destinasi lain dari Singapura di samping mengaturkan penginapan hotel atau akses ke kawasan rehat untuk mereka yang menanti penerbangan seterusnya.
Pesawat SQ321 itu sedang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Heathrow di London menuju Singapura telah dilencongkan ke Bangkok untuk pendaratan cemas ekoran keadaan gelora udara kuat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg