Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penipuan pesanan pukal palsu kembali; sekurangnya 45 kes sejak Mei

Sep 26, 2025 | 6:44 PM
MUHAMMAD SHAZAIN FAIHA MUSLIM FOOD PARADISE, Kiki Florist
Gerai di Pasar Tiong Bahru (kiri) dan Kiki Florist di Bukit Timah Road ditipu dengan pesanan pukal palsu – masing-masing untuk 150 pek beriani dan 150 jambangan bunga kecil serta empat yang besar. - Foto MUHAMMAD SHAZAIN FAIHA MUSLIM FOOD PARADISE/FACEBOOK, KIKI FLORIST

Sejak Mei, polis telah menerima sekurang-kurangnya 45 laporan mengenai penipuan pesanan pukal palsu, menandakan kembalinya kes seperti itu.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, berkata demikian di Parlimen pada 26 September.

Beliau memaklumkan bahawa penipu telah menyamar sebagai kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) atau guru sekolah, lapor The Straits Times (ST).

Encik Goh menjawab soalan Encik Alex Yeo (Potong Pasir) tentang niat pelaku.

Encik Goh berkata: “Jenis penipuan ini bukan sesuatu yang baru, tetapi sejak Mei 2025, polis telah melihat kemunculan semula kes penipuan seperti ini.”

Beliau berkata, dari Mei hingga 15 September, polis menerima sekurang-kurangnya enam laporan mengenai penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai anggota SAF.

Anggota Parlimen (AP), Encik Jackson Lam (GRC Nee Soon), bertanya sama ada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) bekerjasama dengan agensi lain untuk membangunkan alat atau saluran selamat bagi pemilik perniagaan mengesahkan kesahihan pesanan.

Encik Goh berkata polis tidak dapat melindungi semua perniagaan daripada penipuan dan menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada.

“Jika ragu-ragu, sila hubungi talian bantuan ScamShield di 1799,” tambahnya.

Penipuan pesanan pukal palsu telah menjadi tumpuan media baru-baru ini selepas beberapa restoran menjadi mangsa.

Antara yang terlibat adalah kedai nasi lemak, kedai bunga, dan kedai bakeri.

Secara keseluruhan, perniagaan-perniagaan itu kehilangan sekurang-kurangnya $32,000 kepada penipu yang bekerja untuk sindiket.

Menurut Encik Goh, penjenayah sentiasa mencipta cara baru untuk menipu mangsa, justeru orang ramai dan perniagaan perlu lebih bijak dan berwaspada terhadap jenis penipuan seperti itu.

Beliau berkata: “Kami menggesa perniagaan mengesah identiti pelanggan, elak pembayaran awal kepada pembekal baru, dan bayar hanya selepas barang diterima.”

Beliau menegaskan agensi pemerintah tidak akan minta perniagaan buat pembayaran bagi pihak mereka kecuali ada kontrak bertulis.

Dalam penipuan seperti itu, penjenayah akan menghubungi perniagaan menggunakan nombor tempatan yang mereka peroleh daripada seorang ‘keldai’, dan membuat pesanan pukal yang perlu dipenuhi dalam tempoh singkat.

Penipu biasanya mendakwa akan membuat bayaran selepas mengambil pesanan, atau berjanji membayar pendahuluan menjelang tarikh pengambilan.

Apabila tiba masa, mereka akan minta barang tambahan yang sukar disediakan dan mengugut untuk membatalkan pesanan jika tidak dipenuhi. 

Mereka mendakwa mengenali pembekal – juga merupakan rakan sindiket – yang boleh menyediakan barangan tambahan, namun mangsa perlu membuat bayaran terlebih dahulu.

Dalam keadaan terdesak, peniaga akan menghubungi pembekal tersebut dan membuat bayaran.

Namun, barangan tersebut tidak akan tiba, dan pesanan pukal itu tidak akan diambil.

Encik Goh berkata, setakat 19 September, enam suspek yang terlibat dalam penipuan seperti itu telah ditahan.

Tiga individu berusia antara 16 dengan 31 tahun ditangkap pada 15 dan 16 September selepas serbuan dilakukan di sekitar Middle Road, Woodlands Street 81 and Cantonment Road.

Beberapa hari kemudian, polis mengumumkan penahanan tiga lagi suspek – dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 17 dengan 28 tahun.

Pada 17 September, seorang wanita Sri Lanka telah didakwa atas kaitannya dengan penipuan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg