SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Peniaga pasar serap kenaikan kos barang dapur, akan naikkan harga jika konflik TT berlarutan

Peniaga pasar serap kenaikan kos barang dapur, akan naikkan harga jika konflik TT berlarutan

Harga barangan dapur di Pasar Geylang Serai naik sejak perang cetus; harga makanan laut antara kenaikan harga paling ketara

Peniaga pasar serap kenaikan kos barang dapur, akan naikkan harga jika konflik TT berlarutan

Singapore, harga minyak, pasar, peniagan, kos barang, konflik Timur Tengah, middle east konflik, harga minyak
Sejak meletusnya peperangan di Timur Tengah, harga minyak yang meningkat telah mengakibatkan kos bagi barangan pasar seperti daging ayam, lembu, kambing, ikan dan sayur-sayuran turut meningkat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Harga barangan dapur seperti ayam, daging, sayur-sayuran, dan makanan laut, di Pasar Geylang Serai telah meningkat sejak konflik di Timur Tengah tercetus lebih sebulan lalu.

Menurut beberapa peniaga yang ditemui Berita Harian (BH) pada 7 April, meskipun mereka belum menaikkan harga jualan barangan tersebut, mereka mungkin tidak mampu untuk terus menyerap kenaikan kos tersebut jika perang itu berlarutan.

Berdasarkan tinjauan rambang BH di pasar itu, kos makanan laut seperti ikan antara yang mengalami kenaikan harga paling ketara.

Menurut peniaga kedai ikan Bluewave Logistics & Seafood, Encik Mohammad Hazim Mohammad Rafee, 33 tahun, harga minyak bot menjejas kos menghantar ikan yang diimport dari Indonesia ke Singapura.

Dalam menjelaskan jenis ikan yang mengalami kenaikan harga, beliau berkongsi bahawa harga ikan yang terkenal dalam kalangan pembeli Melayu seperti ikan merah dan ikan kerisi meningkat dengan ketara.

Beliau berkongsi:

“Sejak minggu pertama Hari Raya, dengan kenaikan harga minyak, kos ikan bagi sekilo naik sebanyak antara $4 dengan $5.

“Apabila kos naik, kami peniaga pun terpaksa menaikkan harga jualan untuk elak kerugian.

“Sebelum musim perang, kos ikan kerisi buat sekilo ialah $9 tapi sekarang ia berharga $13. Kami tiada pilihan selain menjual ikan ini pada harga $14 untuk meraih untung sedikit.

“Malah, kos ikan merah yang dahulunya bawah $20 untuk seekor saiz sedang kini sudah naik kepada $23,” jelas beliau.

Pekerja di gerai bersebelahan dengan Bluewave Logistics & Seafood, Encik Yasin Abu, 45 tahun, berkata kos pengangkutan seharian turut meningkat.

“Sejak tiga minggu lepas, kos pengangkutan untuk menghantar ikan kami telah meningkat daripada $60 kepada sekitar $75, akibat harga petrol yang melonjak kebelakangan ini,” kata Encik Yasin, yang bekerja di Pasar Geylang Serai selama dua tahun.

Menurut peniaga kedai ikan Bluewave Logistics & Seafood, Encik Mohammad Hazim Mohammad Rafee, harga minyak bot yang meningkat menjejas harga ikan seperti ikan kerisi dan ikan merah yang diimpot dari Indonesia. Kos ikan sekilo telah meningkat sebanyak antara $4 dengan $5.
Menurut peniaga kedai ikan Bluewave Logistics & Seafood, Encik Mohammad Hazim Mohammad Rafee, harga minyak bot yang meningkat menjejas harga ikan seperti ikan kerisi dan ikan merah yang diimpot dari Indonesia. Kos ikan sekilo telah meningkat sebanyak antara $4 dengan $5. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Harga bagi daging kambing turut mencatatkan kenaikan yang tinggi.

Encik Abdillah Abdul Malik bersama ayahnya, Encik Abdul Malik Abdul Rahim, peniaga di Geylang Serai sejak 1973, berkata kos daging kambing telah meningkat sejak perang di Timur Tengah bermula.

“Kos melonjak daripada $12 sekilo kepada sekitar $14 hingga $15 sekilo.

“Kos logistik yang lain, termasuk kos plastik dan pengangkutan juga meningkat sekitar 20 peratus. Kami juga mengalami kerugian sekitar $2 sekilo setelah membuang lemak yang tidak boleh dijual setiap hari,” jelas Encik Abdillah, 31 tahun.

Buat sementara ini, beliau menyerap kerugian akibat konflik, dengan hanya meningkatkan harga jualan daripada $18 sekilo kepada $20 sekilo.

Namun, beliau mungkin akan meningkatkan harga jualan sebanyak $1 susulan amaran daripada pembekal daging kambing bahawa harga akan terus meningkat.

Peniaga The Chop Shop, Encik Muhammad Abdul Malik, juga berusaha sedaya upaya menyerap kos yang perlu dibiayai pelanggan akibat kenaikan kos.

Beliau, yang telah berniaga selama 11 tahun, menjelaskan bahawa peniaga dalam satu kumpulan sembang (chat group) menerima notis mengenai kenaikan harga daging kambing melalui aplikasi perbualan dengan lebih kerap sejak perang bermula.

“Sebelum perang bermula, saya hanya menerima hantaran tentang kenaikan kos kira-kira sebulan sekali. Kini, peniaga menerima amaran setiap minggu.

“Setiap hantaran menunjukkan kenaikan kos sekitar 20 hingga 30 peratus, dan kami hanya diberikan dua atau tiga hari sebelum setiap kenaikan harga berkuat kuasa,” jelas Encik Muhammad.

Encik Abdillah Abdul Malik (kanan), berusia 31 tahun, bersama ayahnya, Encik Abdul Malik Abdul Rahim (kiri), berusia 66 tahun, cuba sedaya-upaya untuk menyerap sebahagian peningkatan kos daging kambing akibat konflik di Timur Tengah.
Encik Abdillah Abdul Malik (kanan), berusia 31 tahun, bersama ayahnya, Encik Abdul Malik Abdul Rahim (kiri), berusia 66 tahun, cuba sedaya-upaya untuk menyerap sebahagian peningkatan kos daging kambing akibat konflik di Timur Tengah. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Peniaga The Chop Shop, Encik Muhammad Abdul Malik (kanan), menambah bahawa ia sukar untuk menjangkakan sama ada kenaikan harga oleh pembekal disebabkan oleh peningkatan harga bahan api susulan konflik di Timur Tengah, atau faktor-faktor lain.
Peniaga The Chop Shop, Encik Muhammad Abdul Malik (kanan), menambah bahawa ia sukar untuk menjangkakan sama ada kenaikan harga oleh pembekal disebabkan oleh peningkatan harga bahan api susulan konflik di Timur Tengah, atau faktor-faktor lain. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sementara itu, kos bagi daging lembu secara purata telah meningkat sedikit.

Kedai daging Osman & Ghani telah mengalami kenaikan kos sekitar 50 sen sekilo, manakala kedai Daging D’Aaliya pula melaporkan kenaikan sekitar 30 sen sekilo.

Bagi kedai daging Haji Abu Bakar Fresh and Frozen, pemiliknya, Encik Mohamed Shahid Yusof, 37 tahun, berkata kenaikan kos daging import dari Brazil adalah sebanyak 60 sen.

Kenaikan yang ketara itu lebih terasa apabila beliau membeli 10 karton daging lembu daripada pembekal dan menyedari kenaikan harga sebanyak $150.

Pemilik kedai daging Haji Abu Bakar Fresh and Frozen, Encik Mohamed Shahid Yusof, mengalami kenaikan sebanyak 60 sen bagi daging yang diimport dari Brazil. Walaupun kenaikan kos merupakan perkara yang lumrah dalam perniagaan daging, beliau menyifatkan kenaikan kos kali ini lebih mendadak dan lebih terasa impaknya dek peperangan yang sedang terjadi.
Pemilik kedai daging Haji Abu Bakar Fresh and Frozen, Encik Mohamed Shahid Yusof, mengalami kenaikan sebanyak 60 sen bagi daging yang diimport dari Brazil. Walaupun kenaikan kos merupakan perkara yang lumrah dalam perniagaan daging, beliau menyifatkan kenaikan kos kali ini lebih mendadak dan lebih terasa impaknya dek peperangan yang sedang terjadi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Walaupun kenaikan kos merupakan perkara yang lumrah dalam perniagaan daging, Encik Shahid menyifatkan kenaikan kos kali ini lebih mendadak dan lebih terasa impaknya dek peperangan yang sedang berlangsung.

Namun begitu, Encik Shahid dan beberapa kedai daging di pasar Geylang Serai, termasuk Kedai Daging Osman & Ghani dan kedai Daging D’Aaliya, belum mengenakan kenaikan harga kepada para pembeli.

“Kami ada perancangan untuk menaikkan harga bagi daging lembu dalam masa terdekat jika peperangan ini berlarutan,” kata Encik Shahid.

Encik Shamsul Mohd Ali dari Kedai Daging Osman & Ghani, berusia 66 tahun, mungkin akan henti memberi diskaun kepada pelanggan setia di sebalik meningkatkan harga jualan beliau.

Peniaga Kedai Daging Osman & Ghani, Encik Shamsul Mohd Ali, yang berusia 66 tahun, mungkin terpaksa menghentikan pemberian diskaun kepada pelanggan setia di sebalik kenaikan harga jualannya jika harga daging lembu terus meningkat akibat konflik di Timur Tengah.
Peniaga Kedai Daging Osman & Ghani, Encik Shamsul Mohd Ali, yang berusia 66 tahun, mungkin terpaksa menghentikan pemberian diskaun kepada pelanggan setia di sebalik kenaikan harga jualannya jika harga daging lembu terus meningkat akibat konflik di Timur Tengah. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Harga ayam turut meningkat, dengan kedai ayam Hashim Abbas mengalami kenaikan kos ayam segar daripada $8 kepada $10 seekor.

Pemilik kedai itu, Encik Hashim Abbas, 76 tahun, berkongsi beliau menaikkan harga bagi seekor ayam sebanyak $2.

Penjual ayam selama 16 tahun, Cik Roslina Onn, pula berkata kos bagi ayam beku pula hanya meningkat 10 sen sekilo sejak perang bermula.

Pemilik kedai ayam Hashim Abbas, Encik Hashim Abbas, berkongsi kedainya mengalami kenaikan kos daripada $8 kepada $10 bagi seekor ayam segar. Oleh itu, beliau terpaksa menaikkan harga jual bagi seekor ayam sebanyak $2 bagi meraih keuntungan tipis.
Pemilik kedai ayam Hashim Abbas, Encik Hashim Abbas, berkongsi kedainya mengalami kenaikan kos daripada $8 kepada $10 bagi seekor ayam segar. Oleh itu, beliau terpaksa menaikkan harga jual bagi seekor ayam sebanyak $2 bagi meraih keuntungan tipis. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Cik Roslina Onn (kiri) dan kembarnya, Cik Rosliza Onn (tengah), cuba sedaya upaya untuk mengekalkan harga jualan ayam beku dan segar, walaupun mengalamai kenaikan bagi kos.
Cik Roslina Onn (kiri) dan kembarnya, Cik Rosliza Onn (tengah), cuba sedaya upaya untuk mengekalkan harga jualan ayam beku dan segar, walaupun mengalamai kenaikan bagi kos. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kedai yang menjual barangan kering seperti sayur juga tidak lepas terkena terkesan akibat kenaikan harga.

Namun, hanya beberapa barang tertentu sahaja seperti minyak, bawang Bombay dan lada kering yang diimport dari luar negara mengalami kenaikan harga.

Pemilik generasi kedua kedai Anwar Mini Market, Encik Taufiq Anwar Deen, 39 tahun, berkata:

“Kos minyak masak sebotol naik $2. Kalau satu karton, kos sudah naik sebanyak $40.

“Kos lada kering dari India dahulu satu kilogram $54. Kini sejak perang, sudah naik kepada $58.”

Menurut beliau, harga sayur-sayuran dijangkakan akan terus meningkat lebih tinggi daripada biasa menjelang musim hujan pada Jun nanti sekiranya perang masih berlarutan.

Harga sayur dan barangan kering juga tidak terkecuali. Menurut pemilik generasi kedua kedai Anwar Mini Market, Encik Taufiq Anwar Deen, hanya beberapa barang tertentu sahaja seperti minyak, bawang Bombay dan lada kering yang diimport dari luar negara mengalami kenaikan harga.
Harga sayur dan barangan kering juga tidak terkecuali. Menurut pemilik generasi kedua kedai Anwar Mini Market, Encik Taufiq Anwar Deen, hanya beberapa barang tertentu sahaja seperti minyak, bawang Bombay dan lada kering yang diimport dari luar negara mengalami kenaikan harga. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pemilik gerai, Encik Rusidi Rashid, juga berkata kos bagi pelbagai sayur-sayuran daripada Malaysia dan Thailand secara puratanya telah meningkat sekitar 20 peratus.

Ia termasuk sayur bayam, daun ketumbar, pudina, sayur sawi, kailan dan sebagainya.

Berbeza bagi telur, kos yang dibeli dan harga jual masih stabil dan tidak terjejas.

Setakat ini, kebanyakan para peniaga di pasar Geylang Serai menjangkakan akan ada kenaikan bagi harga barangan yang dijual mereka dalam masa terdekat.

Namun begitu, ramai peniaga memberitahu BH rata-rata pelanggan mereka memahami situasi yang sedang berlaku.

Beberapa pembeli tidak terlalu merasakan ‘keperitan’ dalam pada harga yang sedang melonjak sikit demi sedikit.

Menurut Encik Zulkifli Ahmad, 71 tahun, kenaikan harga barangan pasar tidak terasa hinggalah beliau membuat perkiraan yang lebih teliti.

“Saya sedia maklum dengan peperangan sekarang ini, semua harga meningkat. Walaupun saya perasan ada kenaikan harga, kesannya tidaklah begitu terasa,” ujar beliau.

Begitu jua bagi seorang lagi pembeli, Cik Rahmah Ahmad, 70 tahun, yang mengatakan beliau sedar akan kenaikan harga barang pasar walaupun tidak ketara.

Dalam berhadapan dengan isu kenaikan harga, para peniaga meluahkan harapan mereka agar pihak pemerintah dapat meningkatkan lagi kesedaran tentang situasi yang mencabar ini.

“Ini demi memastikan rakyat Singapura memahami akan keadaan harga barang pasar yang akan kian terjejas, serupa dengan harga bahan api dan bil elektrik,” luah Encik Muhammad.

Peniaga veteran seperti Encik Abdul Malik kekal tenang.

“Saya yakin bahawa pihak pemerintah akan memberikan sokongan yang sewajarnya jika diperlukan, seperti yang dilakukan dalam situasi serupa seperti pandemik Covid-19 dan Sars,” kata beliau.

Sekilas harga barangan pasar di Pasar Geylang Serai setakat 7 April:

Ayam

– Ayam Beku: $3.20/kg (sebelum konflik) → $3.30/kg (kini)

– Ayam Segar: $8 seekor (sebelum konflik) → $10 seekor (kini)

Daging Kambing

– $12/kg (sebelum konflik) → $14-15/kg (kini)

Daging Lembu

– Kenaikan purata sekitar 30 sen/kg hingga 60 sen/kg (kini)

Ikan

– Ikan Kerisi: $9/kg (sebelum konflik) → $13/kg (kini)

– Ikan Merah: $20/kg (sebelum konflik) → $23/kg (kini)

Sayur-sayuran

– Kenaikan purata sekitar 2 peratus hingga 20 peratus

Telur

Harga tidak berubah

“Saya sedia maklum dengan peperangan sekarang ini, semua harga meningkat. Walaupun saya perasan ada kenaikan harga, kesannya tidaklah begitu terasa.”
Encik Zulkifli Ahmad, pembeli di Pasar Geylang Serai.

“Sejak minggu pertama Hari Raya, dengan kenaikan harga minyak, kos ikan bagi sekilo naik sebanyak antara $4 dengan $5. Apabila kos naik, kami peniaga pun terpaksa menaikkan harga jualan untuk elak kerugian.”
Encik Mohammad Hazim Mohammad Rafee, peniaga kedai ikan Bluewave Logistics & Seafood
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg