SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Peniaga kejar masa kumpul $68j perbaharui pajakan pusat kereta terpakai terbesar S’pura

Peniaga kejar masa kumpul $68j perbaharui pajakan pusat kereta terpakai terbesar S’pura

Diberi tempoh 15 Mei bagi lanjut guna tapak hingga 2040 atau perlu kosongkan premis jelang 18 Jul
Apr 4, 2026 | 8:10 PM

Peniaga kejar masa kumpul $68j perbaharui pajakan pusat kereta terpakai terbesar S’pura

pajakan pusat kereta
Automobile Megamart (AML) di Ubi merupakan pusat kereta terpakai khusus yang terbesar di Singapura, menempatkan 121 bilik pameran dan pejabat. - Foto ST

Kesemua 76 pemilik unit di Automobile Megamart (AML) di Ubi mempunyai masa hingga 15 Mei ini untuk membayar $68 juta bagi memperbaharui pajakan tapak tersebut hingga 2040.

Jika gagal berbuat demikian, mereka perlu mengosongkan premis tersebut menjelang 18 Julai, lapor The Straits Times.

Terletak di kawasan industri Ubi berhampiran Pangkalan Udara Paya Lebar, kompleks lapan tingkat itu merupakan pusat kereta terpakai khusus yang terbesar di Singapura, menempatkan 121 bilik pameran dan pejabat.

Kebanyakan penghuninya ialah peniaga kereta baru dan terpakai, serta perniagaan berkaitan seperti penyewaan dan pembiayaan kenderaan.

Pajakan selama 30 tahun bagi tanah yang menempatkan AML itu telah diberikan kepada sekumpulan peniaga kereta pada 1996.

Bangunan tersebut dibuka secara rasmi pada 2000.

Jika pembaharuan pajakan itu berjaya, para penghuni boleh kekal di sana hingga akhir 2040.

Tarikh akhir 15 Mei itu merupakan lanjutan empat minggu terakhir yang diberikan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA) selepas beberapa pusingan lanjutan sebelum ini.

Di beberapa peringkat proses pembaharuan, para pemilik tidak dapat mencapai persetujuan sebulat suara, menyebabkan tawaran pembaharuan pajakan terbatal sekali sebelum SLA menyemaknya dan mengeluarkan tawaran kedua.

SLA menyatakan ia telah bekerjasama dengan pemilik AML sejak Mac 2024 mengenai pembaharuan pajakan itu, yang akan tamat pada 18 Julai 2026.

Ia mengeluarkan tawaran pembaharuan pada 16 Jun 2025, dan selepas itu para pemilik meminta beberapa lanjutan untuk mempertimbangkannya.

Tawaran itu terbatal pada 20 November 2025, apabila para pemilik gagal mencapai persetujuan sebulat suara.

SLA kemudian mengeluarkan tawaran pembaharuan pajakan kedua pada 7 Januari 2026, yang perlu diterima oleh pemilik menjelang 17 Februari.

Tawaran kedua itu adalah $1.9 juta lebih tinggi, menurut pemilik AML.

Atas permintaan mereka, SLA kemudian melanjutkan tarikh akhir selama dua bulan sehingga 17 April.

Lanjutan terakhir diberikan berikutan mesyuarat pada 20 Mac antara SLA dengan wakil pemilik, yang menyatakan beberapa unit telah bertukar tangan baru-baru ini.

Para wakil berkata sebahagian pemilik baru memerlukan masa untuk mendapatkan pembiayaan bagi pembaharuan pajakan tersebut.

Tawaran pembaharuan pajakan itu kini mesti diterima menjelang 15 Mei dan premiumnya dibayar sepenuhnya, kata SLA.

Penguasa itu menyatakan jika pembaharuan pajakan tidak diteruskan, para pemilik dan perniagaan akan mempunyai masa untuk mengosongkan dan mengembalikan unit tersebut kepada keadaan asal sebelum pajakan tamat.

Pajakan tanah komersial biasanya bertahan selama 30, 60 atau 99 tahun, dengan pembaharuan tertakluk kepada kelulusan SLA berdasarkan penilaian bagi setiap kes.

Menurut laman web SLA mengenai dasar pajakan, dasar am pemerintah adalah membiarkan pajakan tamat tanpa pembaharuan.

Tanah tersebut kemudian boleh diambil semula dan diperuntukkan lagi bagi memenuhi keperluan sosioekonomi yang berubah dengan pantas.

Jumlah keseluruhan bil pembaharuan pajakan akan dikongsi antara unit-unit yang terlibat.

Pembahagian itu bergantung pada faktor seperti saiz dan lokasi unit masing-masing.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg