Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengurus masjid saran Muslim baharui niat, tambah amalan baik pada 2025

Salah satu kebaikan hulur sumbangan kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu
Jan 10, 2025 | 5:30 AM
Lakaran terbaru Masjid Alkaff Kampung Melayu.
Lakaran terbaru Masjid Alkaff Kampung Melayu. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Tahun baru sering kali menjadi waktu untuk kita merenung kembali dan menetapkan azam baru. Ia adalah peluang untuk menilai kembali perjalanan hidup, memperbaiki kekurangan, dan merancang masa depan yang lebih baik.

Dalam Islam, setiap usaha ke arah kebaikan adalah sebahagian daripada takwa, iaitu melaksanakan perintah Allah swt dan menjauhi larangan-Nya. Dengan azam yang tulus, setiap langkah kecil mampu membawa perubahan besar.

Peralihan tahun dari 2024 kepada 2025 juga merupakan peluang yang baik untuk memperbaiki diri. Berikut adalah beberapa panduan Islam agar usaha memperbaiki diri ini menjadi lebih bermakna:

Menghargai Kebaikan Kecil

Jangan meremehkan kebaikan kecil, sama ada yang dilakukan sendiri ataupun oleh orang lain. Rasulullah saw bersabda: “Jangan memandang remeh kebaikan walaupun hanya memberi senyuman kepada saudaramu. Itu adalah sebahagian daripada kebaikan.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Baginda juga mengingatkan: “Siapa yang membantu saudaranya dalam keperluan mereka, Allah akan membantunya dalam keperluannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Contoh, kita boleh memulakan hari dengan mengucapkan salam kepada jiran, membantu rakan sekerja yang memerlukan, atau memberikan sokongan moral kepada ahli keluarga. Kebaikan yang dilakukan secara konsisten paling dicintai Allah. Rasulullah saw bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Mengatasi Halangan untuk Berbuat Baik

Kadangkala, kita berasa berat untuk melakukan kebaikan. Rasa malu, takut dikritik atau ego boleh menjadi penghalang. Namun, perubahan hanya boleh bermula apabila kita memaksa diri untuk melakukan kebaikan.

Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11: “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”

Imam Ibnul Qayyim berkata: “Jika kita memaksa diri melakukan satu kebaikan, Allah akan memudahkan kebaikan lain untuk kita.”

Sebagai langkah awal, mulakan dengan perbuatan kecil seperti menolong orang tua menyeberang jalan, membuang sampah di tempat yang betul atau menyertai kegiatan sukarela. Manfaatkan peluang yang ada di sekitar kita untuk memulakan langkah kecil ke arah perubahan.

Keyakinan pada Ganjaran Allah

Langkah pertama adalah mempercayai bahawa setiap perbuatan baik akan mendapat ganjaran. Firman Allah dalam Surah An-Nisa, ayat 40: “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya seseorang walau sebesar debu. Dan jika ada amal kebaikan sebesar zarah, Allah akan menggandakannya dan memberi ganjaran yang besar dari sisi-Nya.”

Ganjaran ini boleh dirasai di dunia atau mungkin hanya diperoleh di akhirat kelak. Jangan biarkan keraguan menghalangi usaha kita untuk berbuat baik. Pastikan juga amalan yang dilakukan selaras dengan ajaran Al-Quran dan sunah. Rujuklah kepada pakar agama agar amalan kita diterima oleh Allah.

Mengambil Peluang Untuk Berbuat Baik

Tahun baru ini adalah masa yang tepat untuk memanfaatkan peluang yang tersedia. Selain sumbangan kewangan, luangkan masa dan tenaga untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Contohnya, menyertai program gotong-royong di kawasan kejiranan atau membantu mengajar anak-anak di kelas tambahan.

Salah satu langkah praktikal adalah dengan menyumbang kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Sumbangan ini bertujuan memperbaiki kemudahan masjid agar lebih selesa dan selamat untuk pengunjung. Ini adalah contoh amal jariah yang pahalanya berterusan walaupun kita telah tiada.

Kesimpulan

Tahun baru 2025 adalah waktu yang tepat untuk memperbaharui niat dan memperbanyak kebaikan. Jadikan takwa sebagai pedoman utama untuk melangkah ke hadapan.

Mulakan dengan langkah kecil tetapi bermakna, dan teruskan usaha memperbaiki diri serta menyumbang kepada masyarakat.

Selamat menyambut tahun baru 2025 dengan semangat memperbaiki diri dan menambah kebaikan!

Penulis merupakan Pengurus di Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu: 

1. Pemindahan bank  ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.org.sg.

2. Hantarkan cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN : S94MQ0017D.  Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Langsung ke pejabat masjid dari hari Isnin hingga Khamis, 2 petang hingga 6 petang.

* Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut. 

* Ikutlahlah Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg