Langkah melanjutkan gencatan senjata Amerika Syarikat-Iran beberapa jam sebelum ia luput sehingga ke tarikh yang tidak pasti telah memberi kelegaan sementara yang diperlukan untuk dunia dan Singapura.

Namun, tindakan itu tidak bermakna konflik telah sampai ke penghujungnya.

Sebaliknya, ia adalah huraian rapuh yang boleh terus menimbulkan cabaran dan menjejas ekonomi sejagat sekiranya kemelut itu berlarutan.

Demikian menurut beberapa penganalisis yang dihubungi Berita Harian (BH).

Ini bermakna Singapura perlu mempersiapkan diri untuk berdepan dengan tempoh kebimbangan yang berpanjangan, kos sara hidup yang terus melambung dan keperluan masyarakat untuk memiliki daya tahan.

Dalam hal ini, beberapa pengamat berpandangan, pemerintah Singapura berada dalam kedudukan yang baik untuk memberikan sokongan kepada rakyat dalam mengharungi cabaran.

Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata walaupun gencatan senjata yang dilanjutkan itu dialu-alu masyarakat antarabangsa, perang Amerika ke atas Iran tidak akan berakhir dalam masa terdekat kerana ia merupakan konflik geopolitik yang sengit.

Meskipun dunia kekal optimis kerana dapat melihat sedikit kelegaan sementara disebabkan oleh gencatan senjata yang berlaku secara bergilir-gilir dan pembukaan dan penutupan Selat Hormuz yang berulang-alik, beliau menambah perang hanya akan berakhir apabila Amerika benar-benar “melepaskan diri”.

Ini, katanya, bererti Amerika perlu melupakan idea untuk perubahan rejim dan sebaliknya memberi tumpuan pada jalan diplomatik bagi memastikan Iran tidak menghidupkan semula program senjata nuklearnya.

“Kita harus bersedia di Singapura untuk menghadapi cabaran yang sukar sebagai penduduk domestik kolektif, mengekalkan perjanjian sosial kita yang utuh dan menumpukan pada penjimatan tenaga sambil mempelbagaikan eksport tenaga kita,” kata Dr Mustafa.

Menurutnya, walaupun gencatan senjata yang dilanjutkan dialu-alu oleh masyarakat antarabangsa sebagai langkah baharu ke arah mengurangkan ketegangan, penstabilan semula ekonomi sejagat sangat bergantung pada kejayaan penyelesaian damai dan pembukaan semula Selat Hormuz.

Dr Mustafa berkata: “Realiti yang malang ialah perang pencerobohan dan taktik melulu Presiden Donald Trump akan disambut dengan tentangan yang kuat oleh rakyat Iran dan tindak balas bersenjata sengit yang berterusan oleh Pengawal Revolusi Iran.”

Menyuarakan sentimen serupa bahawa gencatan senjata tidak menandakan akhirnya permusuhan, Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, menyifatkannya sebagai langkah “membeli masa” (penangguhan) untuk kedua-dua pihak memulihkan diri dan menyusun semula strategi.

Dengan sebahagian Selat Hormuz masih ditutup di tengah-tengah sekatan, beliau memberi amaran Singapura mesti terus bersedia menghadapi peningkatan kos dan kebimbangan keselamatan.

“Bagi rakyat Singapura, kita mungkin perlu bersatu sebagai satu negara untuk tidak membiarkan konflik sejagat menjejas perpaduan sosial.

“Dalam masa penderitaan, kita harus terus membantu antara satu sama lain, saling menjaga, dan berwaspada terhadap percubaan untuk mempolarisasi dan meningkatkan sentimen perpecahan,” kata Encik Imran.

Berkenaan perang dan konflik Amerika-Iran di Timur Tengah, beliau menambah keadaan sejagat mungkin berlarutan dan Singapura akan menghadapi situasi yang lebih tidak menentu pada masa hadapan.

Sehubungan itu, Encik Imran menyeru negara ini agar memperkukuh perpaduan sosial, mempelbagaikan pasaran dan memperkukuh hubungan serantau – baik bagi sektor rakyat mahupun pemerintah.

“Singapura perlu terus mengimbangi keperluan domestiknya dengan tuntutan kuasa global. Kita perlu berhati-hati dalam berpihak untuk mengekalkan ekonomi yang lincah.

“Ini memerlukan kita untuk mencari tapak baharu untuk keperluan tenaga kita. Ini juga masanya untuk meningkatkan pelaburan di rantau kita dan memperkukuhkan hubungan dan diplomasi serantau,” kata Encik Imran.

Bagi Profesor Madya Eugene Tan Kheng Boon daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU), gencatan senjata itu “jauh daripada perjanjian untuk menamatkan perang” tetapi hanya sekadar perjanjian untuk terus berbincang dan rundingan lanjut.

Beliau menambah bahawa kekurangan kepercayaan yang mendalam antara Amerika dengan Iran merupakan cabaran besar kepada gencatan senjata dan sebarang perjanjian damai berikutnya.

“Gencatan senjata itu mungkin merupakan permulaan kepada berakhirnya konflik atau, lebih buruk lagi, redanya permusuhan.

Dalam erti kata lain, jika gencatan senjata berhenti berlaku, perang yang disambung semula mungkin akan menjadi lebih teruk.

“Perlu diingatkan bahawa kedua-dua Trump dan kepimpinan Iran mempunyai alasan yang kukuh untuk mahu pertempuran dihentikan, tetapi masa depan Selat Hormuz tidak mungkin dapat diselesaikan dengan cepat,” kata Dr Tan.

Beliau menekankan bahawa penutupan Selat Hormuz yang berpanjangan boleh mencetuskan kekurangan tenaga fizikal yang sebenar dan akut di seluruh Asia.

Ia bukan sahaja akan membawa kepada kenaikan harga, bahkan juga kepada peningkatan dalam krisis tenaga dan kos sara hidup di Asia, tambahnya.

“Pengakhirannya masih jauh daripada kelihatan dan kita boleh menjangkakan peningkatan kos sara hidup akan berterusan selama berbulan-bulan, jika tidak, bertahun-tahun.

“Tetapi kita harus yakin bahawa Singapura berada pada kedudukan yang baik untuk membantu rakyatnya – pemerintah telah komited untuk membantu rakyat Singapura menghadapinya dan kita mempunyai sumber fiskal serta tahap kesediaan yang tinggi,” kata Dr Tan.