Topic followed successfully
Go to BHkuPengamat: Gencatan senjata AS-Iran tidak bermakna konflik akan berakhir
Pengamat: Gencatan senjata AS-Iran tidak bermakna konflik akan berakhir
Kesan sebenar ke atas tekanan kos belum ketara; warga S’pura perlu terus waspada, sedia buat penyesuaian hadapi ketidaktentuan
Pengamat: Gencatan senjata AS-Iran tidak bermakna konflik akan berakhir
Pasaran sejagat pada awalnya mungkin boleh menghela nafas lega menyusuli persetujuan gencatan senjata antara Amerika Syarikat dengan Iran serta pembukaan semula sementara Selat Hormuz.
Namun, meskipun ia satu perkembangan positif, para penganalisis memberi amaran ia masih terlalu awal dan Singapura belum lagi ‘bebas daripada ancaman’ sepenuhnya, dengan rakyat perlu bersiap menghadapi kos sara hidup yang kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama.
Apatah lagi dengan perkembangan terkini apabila Amerika mengambil langkah menyekat Selat Hormuz selepas rundingan hujung minggu antara kededua Washington dengan Tehran gagal menghasilkan perjanjian damai.
Para penganalisis yang dihubungi Berita Harian (BH) menyifatkan gencatan senjata selama dua minggu yang bermula pada 8 April itu sebagai masih sangat rapuh dan berpotensi gagal bertahan akibat pertembungan ideologi serta ketidaktentuan geopolitik.
“Gencatan senjata tersebut mungkin tidak akan bertahan lama, dan konflik berkenaan masih jauh daripada jalan penyelesaian.
“Tambahan pula, prasarana minyak di beberapa negara pengeluar minyak di Timur Tengah telah mengalami kerosakan dan akan memakan masa beberapa tahun untuk diperbaiki,” kata Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
“Oleh itu, sikap berwaspada, tangkas dan mudah menyesuaikan diri kekal menjadi keutamaan penting,” tambah beliau.
Pada 8 April, Amerika dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu – kira-kira enam minggu selepas konflik itu bermula pada 28 Februari.
Sementara itu, Teheran akan membuka semula Selat Hormuz buat sementara waktu, iaitu laluan penting yang mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak dunia, sebagai sebahagian daripada gencatan senjata.
Menyusuli pengumuman gencatan senjata itu, harga minyak sejagat menjunam ke bawah paras AS$100 ($127) setong – minyak mentah Brent, penanda aras sejagat, turun lebih 13 peratus kepada sekitar AS$94 setong; minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) merosot hampir 15 peratus kepada sekitar AS$96 setong.
Bagaimanapun ekoran tindakan terkini Amerika menyekat laluan Selat Hormuz, telah menyebabkan harga minyak meningkat semula, sekali gus meningkatkan krisis tenaga sejagat yang menggegarkan pasaran.
Pada 13 April pada tengah hari waktu Singapura, harga minyak mentah Brent, melonjak 7.3 peratus kepada AS$102.14 setong.
Minyak mentah West Texas Intermediate pula meningkat 8.6 peratus kepada AS$104.85.
BILAKAH HARGA MINYAK, ELEKTRIK AKAN TURUN?
Meski terdapat penurunan harga minyak sejagat awal dari ini, para penganalisis berkata kesan penurunan itu tidak akan dirasai serta-merta oleh pengguna di Singapura.
Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank, Encik Saktiandi Supaat, berkata harga bahan api, seperti petrol dan diesel, cenderung berubah dengan agak cepat, iaitu dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu, memandangkan ia bertindak balas terhadap perubahan harga minyak sejagat dan persaingan runcit.
“Oleh itu, jika harga minyak kekal rendah, sedikit penurunan pada harga pam mungkin dapat dilihat dalam masa terdekat,” kata beliau.
Walau bagaimanapun, kos elektrik akan berubah secara lebih beransur-ansur, tambahnya.
Penganalisis politik, Dr Nawab Osman, menjelaskan pelarasan harga elektrik di Singapura biasanya mempunyai sela masa satu suku tahun.
“Kesan penuh daripada penurunan harga minyak kemungkinan besar hanya akan dirasai pada suku ketiga 2026,” ujar beliau.
Sependapat, Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, menyatakan tarif elektrik bagi suku April hingga Jun 2026 telah meningkat disebabkan harga tinggi sebelum ini.
Jika harga minyak kekal di bawah paras AS$100, barulah ia akan dicerminkan dalam semakan tarif bagi tempoh Julai hingga September nanti.
PERLU TERUS JIMAT CERMAT
Selain harga minyak dan elektrik, antara persoalan utama lain adalah bilakah tekanan kos seperti makanan, pengangkutan dan utiliti akan reda?
Hakikatnya, Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata kelegaan mungkin tidak akan dirasai serta-merta berikutan kemungkinan berlakunya stagflasi – keadaan apabila pertumbuhan ekonomi terbantut, kadar pengangguran tinggi dan inflasi tinggi berlaku serentak.
“Hakikat pahitnya adalah ia mungkin memakan masa berbulan-bulan sebelum harga tenaga yang tidak menentu di Singapura kembali stabil, berikutan kejutan luaran yang teruk akibat permusuhan geopolitik serta hambatan ekonomi besar yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan,” kata beliau.
Encik Saktiandi menambah: “Kos berkaitan pengangkutan berkemungkinan akan stabil terlebih dahulu, memandangkan harga bahan api merupakan input langsung.
“Kos utiliti pula akan menyusul kemudian sedang tarif elektrik menyesuaikan diri mengikut masa bagi mencerminkan kos bahan api yang lebih rendah.”
Bagaimanapun, harga makanan pula lebih mencabar kerana ia bukan sahaja dipengaruhi oleh kos tenaga, malah oleh faktor pekerja, sewa, serta rantaian bekalan yang lebih luas, tambah beliau.
Dr Norshahril Saat, Zamil Utama dan Penyelaras di Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas)-Institut Yusof Ishak, pula menekankan kepentingan kepelbagaian sumber.
Walaupun bekalan makanan dan tenaga Singapura buat masa ini stabil dan terkawal, beliau berkata Singapura tidak boleh hanya bergantung kepada satu rantau sahaja untuk bekalan asas.
Beliau turut menyeru masyarakat memainkan peranan dalam mengawal penggunaan tenaga bagi mengurangkan beban kos.
SOKONGAN UNTUK RAKYAT
Namun, di sebalik ketidaktentuan ini, penganalisis menekankan Singapura berada dalam kedudukan yang kukuh untuk membantu rakyatnya.
Dr Mustafa berkata meskipun keadaan geopolitik luar menekan kompak sosial domestik, berita baiknya adalah Singapura mempunyai mekanisme perlindungan dan langkah pencegahan yang teguh untuk menangani pelbagai krisis, maka ia “hanya menunggu masa sebelum keadaan kembali normal di Singapura”.
Dalam usaha membantu negara mengharungi masa mencabar kini, pemerintah telah membentuk sebuah Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC) untuk menyelaraskan tindak balas negara terhadap kesan konflik di Timur Tengah itu.
Pemerintah juga telah mengumumkan pakej sokongan bernilai hampir $1 bilion untuk membantu perniagaan dan isi rumah menguruskan kos tenaga yang meningkat.
Ini termasuk bantuan tunai $200 kepada pekerja platform, pemandu kereta sewa privet dan pemandu teksi yang aktif; tambahan sebanyak $200 bagi Bayaran Khas Kos Sara Hidup untuk sekitar 2.4 juta rakyat Singapura yang layak; dan peningkatan rebat Cukai Pendapatan Korporat bagi Tahun Penilaian 2026 daripada 40 peratus kepada 50 peratus.
Dr Tan berkata walaupun sukar untuk dinyatakan, pengakhiran krisis ini masih jauh daripada jangkauan dan rakyat boleh menjangkakan kos sara hidup yang tinggi akan berlarutan untuk tempoh berbulan-bulan, malah mungkin bertahun-tahun.
“Namun, kita harus berasa yakin bahawa Singapura berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu rakyatnya – pemerintah telah komited untuk membantu rakyat Singapura menghadapi cabaran ini dan kita mempunyai sumber fiskal serta tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
“Terdapat keperluan untuk bekerjasama dengan satu sama lain dan dengan pemerintah untuk mengurangkan kesan krisis ini,” kata beliau.
“
“Oleh itu, sikap berwaspada, tangkas dan mudah menyesuaikan diri kekal menjadi keutamaan yang penting... Namun, kita harus berasa yakin bahawa Singapura berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu rakyatnya – pemerintah telah komited untuk membantu rakyat Singapura menghadapi cabaran ini dan kita mempunyai sumber fiskal serta tahap kesiapsiagaan yang tinggi.“
“Kos berkaitan pengangkutan berkemungkinan akan stabil terlebih dahulu, memandangkan harga bahan api merupakan input langsung. Kos utiliti pula akan menyusul kemudian sedang tarif elektrik menyesuaikan diri mengikut masa bagi mencerminkan kos bahan api yang lebih rendah.”“
“Kesan penuh daripada penurunan harga minyak kemungkinan besar hanya akan dirasai pada suku ketiga 2026.”“
“Hakikat pahitnya adalah ia mungkin memakan masa berbulan-bulan sebelum harga tenaga yang tidak menentu di Singapura kembali stabil, berikutan kejutan luaran yang teruk akibat permusuhan geopolitik serta hambatan ekonomi besar yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan.”
