Pada usia 15 tahun, Cik Rahimah Mohamed Rais, terpaku melihat jururawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) merawat arwah neneknya yang mengalami serangan jantung pada 1999.

Mengimbau detik itu yang masih segar dalam ingatannya, beliau berkata:

“Keadaan itu sangat menakutkan dan saya rasa tidak berdaya, tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

“Namun, apa yang benar-benar memberi kesan kepada saya ialah ketenangan dan keyakinan jururawat yang merawatnya ketika itu, khususnya tatkala mengamati cara mereka mengendalikan keadaan dan memberi ketenangan kepada keluarga saya.”

Justeru, peristiwa itu mendorongnya untuk mendaftar dalam kursus Sijil Nitec dalam Kejururawatan pada usia 18 tahun sekitar 2002.

Menyedari hasratnya untuk terus menyumbang dengan lebih bermakna dan meningkatkan kemahirannya dalam kerjaya tersebut, Jururawat Berdaftar Utama di Hospital Besar Sengkang (SKH) itu, kemudian mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam Diploma Bekerja dan Belajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam bidang kejururawatan (WSDip).

Beliau mengikuti program WSDip itu di ITE Kolej Timur pada 2024.

Menariknya, Cik Rahimah, 42 tahun, merupakan antara jururawat berdaftar yang menjadi kohort pertama program WSDip itu, yang baru dilancarkan di Bangunan Kolej Perubatan pada 30 September 2024.

Iltizam beliau terhadap pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional telah diiktiraf apabila Cik Rahimah merupakan salah seorang penerima Anugerah Pelatih Contoh Lee Kuan Yew 2026 pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang, di ibu pejabat ITE, yang terletak di Ang Mo Kio Drive, pada 19 Mei.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui wadah Microsoft Teams pada 18 Mei, ibu dua anak berusia 10 dan 14 tahun itu berkata, anugerah tersebut mencerminkan sokongan yang diberi oleh keluarga, pensyarah, dan pihak hospital sepanjang perjalanannya memburu ilmu dan kerjaya.

“Ia memberi inspirasi kepada saya untuk terus memberikan yang terbaik pada setiap masa, sentiasa memperbaiki diri, dan menyumbang secara positif kepada kerjaya serta penjagaan pesakit,” ujar beliau.

Menyentuh tentang keputusan mengikuti program WSDip itu, Cik Rahimah berkata inilah masa yang sesuai untuk dirinya terus berkembang dalam bidang kejururawatan.

Apatah lagi memandangkan beliau telah berkhidmat sebagai jururawat selama 22 tahun.

“Buat masa ini, saya rasa saya ada banyak idea dan sumbangan yang boleh saya lakukan, namun, ia agak terhad kerana peranan saya sekarang sebagai jururawat berdaftar utama.

“Dengan tanggungjawab yang lebih besar nanti, saya percaya saya boleh menyumbang dengan lebih banyak kepada hospital dan juga masyarakat,” katanya.

Di sebalik komitmen terhadap kerjaya dan pengajian, Cik Rahimah mengakui cabaran terbesar adalah mengimbangi tanggungjawab sebagai jururawat, pelajar dan ibu dua anak.

Namun, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan berterusan daripada SKH, pensyarah, dan keluarga, terutama suaminya, Encik Muhammad Erwin Osman, 46 tahun, penyelia peringkat kedua proses kimia, yang membantunya mengambil alih kerja rumah pada tempoh dua bulan pembelajaran di sekolah.

“Suami memahami saya perlu fokus ketika berada di sekolah, jadi beliau mengambil alih tanggungjawab menguruskan anak-anak di rumah. Bagi kami, ini adalah kerja berpasukan.

“Pada hari-hari di mana suami saya tidak dapat membantu, ibu bapa saya akan mengambil alih dan membantu dalam menguruskan anak-anak,” jelasnya.

Meskipun perlu menyesuaikan diri dengan jadual program WSDip yang membahagikan tempoh pembelajaran kepada dua bulan di ITE Kolej Timur dan empat bulan latihan bersama SKH, Cik Rahimah tetap giat menyumbang kepada usaha mempertingkat mutu penjagaan pesakit di hospital.

Ini seperti melibatkan diri dalam beberapa inisiatif, termasuk mengetuai bersama projek, ‘Memperkasa Pesakit: Memahami Ubat Tahan Sakit Yang Dipreskripsi Kepada Anda’.

Projek tersebut, yang telah menerima Anugerah Pengiktirafan Khas Pesakit Sebagai Rakan Kongsi Penambahbaikan sempena Hari Mutu dan Inovasi SingHealth Duke-NUS 2025, melibatkan pembangunan panduan bergambar ubat-ubatan bagi membantu pesakit warga emas lebih peka tentang preskripsi dan pengambilan ubat mereka.

Selepas menamatkan program WSDip itu pada September 2027, Cik Rahimah berhasrat meneruskan pengajian ke peringkat ijazah serta Diploma Lanjutan dalam Kejururawatan pada masa hadapan.

Beliau yang bakal menggalas peranan sebagai jururawat yang sudah didaftarkan, atau registered nurse (RN), berkata:

“Dari segi kerjaya, saya akan lebih bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar dalam membuat keputusan klinikal, perancangan penjagaan dan pengurusan ubat-ubatan.

“Saya juga ingin terus berkembang secara profesional.”

“Buat masa ini, saya rasa saya ada banyak idea dan sumbangan yang boleh saya lakukan, namun, ia agak terhad kerana peranan saya sekarang sebagai jururawat berdaftar utama. Dengan tanggungjawab yang lebih besar nanti, saya percaya saya boleh menyumbang dengan lebih banyak kepada hospital dan juga masyarakat.”
Cik Rahimah Mohamed Rais, penerima Anugerah Pelatih Contoh Lee Kuan Yew 2026, mengenai keputusannya mengikuti program Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) dalam Kejururawatan.