Beberapa penduduk Melayu di kawasan undi Kembangan di bawah GRC Marine Parade-Braddell Heights (MP-BH) menyatakan walaupun mereka yakin Anggota Parlimen (AP) bukan Melayu sedia ada mampu untuk memenuhi keperluan mereka, mereka berharap kehadiran pemimpin Melayu dapat mewakili dan menyuarakan kebimbangan mereka dengan lebih baik.

Semasa ditemui Berita Harian (BH), beberapa penduduk di kawasan itu menegaskan kepentingan wujudnya kefahaman budaya dan agama yang lebih mendalam, untuk mengemudi dan menangani isu-isu khusus berkaitan masyarakat Melayu/Islam.

Sentimen sedemikian turut diketengahkan oleh penganalisis yang menekankan bahawa penduduk boleh terus rasa diwakili dan kebimbangan mereka ditangani, menerusi barisan kepimpinan akar umbi Melayu secara kolektif.

Sementara itu, kehadiran penasihat dan wakil Melayu membawa nilai simbolik yang lebih besar, memandangkan pusat budaya utama bagi masyarakat Melayu/Islam, seperti Geylang Serai, terletak dalam GRC tersebut.

Isu berhubung perwakilan Melayu di kawasan undi itu timbul sebagai topik perbualan selepas Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Desmond Lee, menyatakan bahawa tiada pilihan raya kecil akan diadakan susulan peletakan jawatan politik mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Encik Lee yang juga Menteri Pendidikan berkata pada 20 Julai bahawa AP sedia ada akan menjaga kebajikan penduduk Kembangan.

Pasukan AP GRC itu diterajui Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming; Cik Tin Pei Ling; dan Cik Diana Pang.

Encik Lee menambah perancangan lanjut tentang bagaimana pasukan tersebut akan diperkukuh akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, salah seorang penasihat akar umbi yang baru-baru ini dilihat di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Mountbatten ialah peguam dan Penasihat M³@Punggol, Encik Ahmad Firdaus Daud.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 26 Julai, aktivis PAP itu berkongsi beliau telah meluangkan masa di Kelab Masyarakat Mountbatten berinteraksi dan berbual dengan pemimpin akar umbi Melayu dan bakal pemimpin dari seluruh negara.

Kelab Masyarakat itu terletak di Jalan Satu, sebahagian daripada SMC Mountbatten, namun ia dikendalikan oleh Majlis Bandaran MP-BH.

Menjawab pertanyaan BH mengenai kehadirannya di situ, Encik Ahmad Firdaus berkata kelab masyarakat berkenaan menjadi lokasi sesi anjuran Persatuan Rakyat (PA) yang menghimpunkan pemimpin akar umbi dan bakal sukarelawan.

“Tujuan sesi ini adalah untuk berkongsi tentang peranan yang dimainkan PA dan bagaimana kami memerlukan lebih ramai wakil akar umbi masyarakat Melayu.

“Kelab Masyarakat Mountbatten menjadi tuan rumah bagi sesi tersebut,” katanya.

Encik Ahmad Firdaus turut menekankan tumpuan beliau terhadap Punggol, sambil berkata tiada pengumuman dibuat untuk menandakan wakil baharu bagi GRC MP-BH.

“Saya rasa belum ada sebarang pengumuman tentang siapa yang mungkin akan datang untuk membantu empat AP sedia ada berkhidmat kepada penduduk di Kembangan, atau jika ada sebarang perancangan sedemikian.

“Tumpuan saya adalah untuk berkhidmat kepada penduduk Punggol sebagai Penasihat Kedua kepada pertubuhan akar umbi Punggol GRC dan Penasihat M³@Punggol,” kongsi beliau kepada BH.

Semasa tinjauan BH di Pusat Penjaja Makanan dan Pasar Eunos Crescent pada pagi 27 Julai, beberapa penduduk yang ditemui berkongsi kepentingan wujudnya perwakilan bagi penduduk Melayu/Islam, serta manfaatnya.

Encik Muhammad Yahya, yang menetap di Eunos sejak 2000, berkata kehadiran AP Melayu memudahkan penduduk menyuarakan isu khas yang dihadapi golongan Melayu/Islam.

“Terdapat sebilangan penduduk Melayu di sini, khususnya golongan warga emas, yang lebih selesa berbual dalam bahasa Melayu.

“Jadi, kehadiran AP Melayu mampu memudahkan penduduk meluahkan kebimbangan serta mengurus keperluan seharian,” kata pesara berusia 76 tahun itu.

Isterinya, Cik Kamisah Salleh, 70 tahun, berkongsi sentimen itu, sambil menambah bahawa kehadiran AP Melayu di kawasan itu juga boleh memberi “ketenangan dan perasaan diwakili bagi penduduk Melayu/Islam di situ”.

Seorang lagi penduduk daerah Eunos sejak 1997, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Al-Atiq, berkata:

“AP Melayu boleh membawa banyak kemudahan tambahan dalam cara menyantuni rakyat Melayu/Islam.

“Ia lebih mudah untuk mereka memahami keperluan dan masalah khas masyarakat Melayu/Islam dengan lebih terperinci.”

Beliau, yang bertugas sebagai pemandu teksi, menambah bahawa kawasan itu juga mempunyai ramai Melayu, terutamanya kerana berhampiran dengan Geylang Serai.

Beberapa penduduk juga menyambut baik sekiranya lebih ramai wakil Melayu dikerahkan ke kawasan berkenaan susulan peletakan jawatan Dr Faishal.

Bekas jurutera berusia 60 tahun, Encik Abdul Halim Ismail, berkata:

“Dr Faishal memang aktif turun padang untuk mendekati penduduk, jadi saya rasa adalah perkara lumrah untuk penduduk Melayu tercari-cari kehadiran serta kepimpinan AP Melayu.”

Penganalisis yang dihubungi BH berpendapat langkah mengekalkan perwakilan Melayu di GRC MP-BH amat penting untuk beberapa sebab.

Zamil Penyelidik Kanan, Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, berkata kehadiran wakil Melayu baharu atau bakal pelapis Dr Faishal di GRC itu, boleh memulihkan perwakilan minoriti yang khusus, mengekalkan jambatan budaya penting untuk masyarakat Melayu/Islam, serta meneruskan semula rangkaian hubungan akar umbi setempat, susulan peletakan jawatan Dr Faishal.

“Kehadiran perwakilan khusus Melayu di peringkat akar umbi dalam sesebuah GRC memastikan kepimpinan masyarakat yang peka terhadap budaya, menyediakan saluran langsung untuk menyuarakan kebimbangan golongan minoriti, serta memenuhi rangka kerja tadbir urus berbilang kaum yang dihasratkan melalui skim GRC,” kata Dr Faizal.

Dari segi penglibatan masyarakat dan kepercayaan pula, AP minoriti tempatan boleh memahami unsur budaya dan agama dengan lebih baik, sekali gus membantu merapatkan jurang komunikasi antara pertubuhan akar umbi dengan masyarakat Melayu/Islam, tambahnya.

“Ini memudahkan pemberian nasihat untuk masyarakat dan pengendalian yang lebih berempati terhadap isu khusus berkaitan kebajikan sosial atau keluarga yang unik bagi isi rumah minoriti,” katanya.

Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) turut sependapat dengan manfaat mengerahkan wakil Melayu di kawasan undi itu.

“Menyusuli jurang yang wujud setelah Dr Faishal meletakkan jawatannya, ia sememangnya kritikal dan mendesak untuk PAP bukan sahaja mengerahkan seorang atau lebih wakil Melayu ke GRC MP-BH dengan segera.

“Malah memastikan wakil yang dikerah berupaya mendekati serta meraih kepercayaan dan keyakinan, bukan sahaja daripada pengundi Melayu tetapi juga pengundi lain,” kata Profesor Tan.

Beliau turut akur bahawa sesiapa yang dikerahkan ke GRC itu juga perlu berkhidmat kepada masyarakat luas, dan bukan sahaja masyarakat Melayu/Islam.

Sementara itu, langkah mengerahkan wakil Melayu di GRC itu juga penting untuk memastikan kawasan simbolik masyarakat Melayu itu terus diwakili dengan baik.

Profesor Tan berkata:

“PAP tiada pilihan selain mengerahkan seorang atau lebih penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Melayu ke GRC berkenaan.

“Terdapat nilai simbolik yang besar pada GRC tersebut memandangkan ia merangkumi Geylang Serai, yang dilihat dan dianggap sebagai nadi sosial, sivik dan budaya bagi masyarakat Melayu.”

Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, juga menekankan bahawa kawasan Kembangan dan Geylang Serai mempunyai penduduk Melayu yang ketara serta merupakan kawasan Melayu yang simbolik.

Secara umumnya, beliau berpendapat keperluan penduduk Melayu secara umum boleh dilakukan oleh AP Melayu sedia ada, termasuk Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Namun, tenaga pemimpin akar umbi Melayu boleh dikerahkan untuk membantu keperluan penduduk dalam memenuhi keperluan seharian, termasuk Sesi Bertemu Penduduk.

Beliau menarik perhatian bahawa tugas menyokong penduduk Melayu dalam hal seharian tidak semestinya perlu bergantung kepada satu wakil sahaja.

“Ini boleh dilakukan dengan menggembleng tenaga dan kekuatan kepimpinan akar umbi Melayu secara bersama.

“Kita tidak harus bergantung kepada seorang tokoh sahaja.

“Ini juga akan memberi penilaian sekuat mana jentera akar umbi Melayu dan jika kurang, untuk AP Melayu lainnya memikirkan bagaimana memperkuatkannya.

“Apa yang paling penting adalah keperluan penduduk terjaga dan mereka merasakan ada pemimpin Melayu di akar umbi yang boleh mereka dekati dan meminta bantuan, untuk masalah seharian berkaitan kawasan itu,” jelas Encik Imran.