Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk pendapatan rendah di Bedok pilih keperluan di ‘minimart’ percuma
Penduduk pendapatan rendah di Bedok pilih keperluan di ‘minimart’ percuma
Kedai Masyarakat Food From the Heart ke-6 dijangka beri manfaat sekitar 500 penduduk
Penduduk pendapatan rendah di Bedok pilih keperluan di ‘minimart’ percuma
Sejak berhenti kerja tiga tahun lalu, pada 2023, Cik Zaiton Ahmad, 71 tahun yang menjalani kehidupan sebatang kara, menerima pelbagai bentuk bantuan, termasuk bantuan makanan yang dihantar terus ke rumahnya.
Namun, sering kali warga emas itu mendapati bahawa sesetengah barangan yang diterimanya, seperti susu pekat dan cendawan dalam tin bukanlah barangan yang benar-benar diperlukannya.
Sebaliknya, beliau lebih memerlukan barangan makanan seperti beras, oat dan minyak makan.
Justeru, apabila mendapat tahu tentang pembukaan sebuah ‘kedai’ yang membolehkan penduduk berpendapatan rendah seperti beliau mengambil hanya barangan dapur yang diperlukan semata-mata, beliau berasa syukur dan tidak sabar untuk ‘membeli-belah’.
Kedai tersebut ialah Kedai Masyarakat yang baru dibuka di Blok 13 Bedok South Road dan merupakan cawangan keenam di Singapura di bawah inisiatif Food From The Heart (FFTH).
Ia berkonsep ‘minimart’ dan membolehkan penduduk berpendapatan rendah mengambil barangan keperluan secara percuma.
Setiap bulan, penerima bantuan boleh mendapatkan sehingga 14 barangan, terdiri daripada 12 barang makanan tidak mudah rosak dan dua jenis sayur-sayuran yang diperoleh daripada sumber tempatan.
Bagi penduduk seperti Cik Zaiton, inisiatif sebegini membuat beliau merasakan bahawa beliau tidak ketinggalan.
“Walaupun saya hidup seorang, ada yang membantu. Saya tidak rasa kesepian kerana apabila saya keluar rumah (untuk ke kedai) saya dapat campur dengan masyarakat,” ujarnya ketika ditemui Berita Minggu (BM) semasa majlis pelancaran Kedai Masyarakat tersebut pada 16 Mei.
Antara makanan yang disediakan di kedai tersebut termasuk serbuk kopi, biskut, minyak masak, susu, telur, sayur, mi segera dan lain-lain lagi.
Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, yang hadir bagi acara pelancaran itu berkata usaha sebegini membolehkan golongan memerlukan mendapat bantuan sambil memelihara maruah diri.
Daripada sekadar menerima apa yang diberi, ia sebaliknya memperkasa golongan ini untuk memilih sendiri apa yang mereka perlukan.
Menambah, beliau, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, berkata:
“Ia membolehkan penduduk memilih pilihan yang lebih sihat, yang datang daripada hasil tempatan, contohnya, mereka boleh mendapatkan telur dan sayur-sayuran daripada ladang tempatan.
“Ini sangat penting, supaya kita bukan sahaja dapat membantu penduduk yang memerlukan, malah pada masa yang sama, menyokong para petani tempatan kita juga.”
Menurutnya, FFTH telah mula bekerjasama dengan Pertubuhan Akar Umbi Bedok sejak Mac 2024 dengan mengagihkan barangan dapur percuma secara bulanan, bagi menyokong keluarga memerlukan di Bedok.
Sejak itu, penduduk yang layak boleh mendaftar melalui Kelab Masyarakat Bedok dan Siglap, dengan program ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk di seluruh kawasan Bedok.
Kedai Masyarakat di Bedok South itu akan beroperasi setiap Selasa, Khamis dan Sabtu, dari 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, dan akan dikendalikan sepenuhnya oleh sukarelawan terlatih sepanjang waktu operasi tersebut.
Untuk mengambil barangan makanan, penerima bantuan perlu ‘membayar’ atau menebus pembelian itu dengan menggunakan kad FFTH semasa proses pembayaran.
Setiap penebusan dijejaki secara digital.
Ini lantas membantu pihak FFTH membuat keputusan yang lebih tepat mengenai jenis dan kuantiti barangan makanan yang diperlukan, supaya dapat mengurangkan masalah kekurangan stok, mengelakkan simpanan stok yang berlebihan, serta mengurangkan pembaziran makanan.
Ketua Pegawai Eksekutif FFTH, Encik Robin C. Lee, berkata:
“Model Kedai Masyarakat membolehkan kami memahami dengan lebih mendalam tentang apa yang sebenarnya diperlukan dan ditebus oleh para penerima bantuan.
“Dengan meneliti corak ini, kami dapat membuat keputusan yang lebih berasas mengenai barangan makanan yang dibekalkan di kedai-kedai kami, supaya sokongan yang diberikan kekal relevan, cekap, dan mampan sepanjang tahun.”
Kedai Masyarakat Food From The Heart
- Kedai Masyarakat @ MOUNTBATTEN Blk 13 Old Airport Road #01-57 Singapore 390013
- Kedai Masyarakat @ BOON LAY Blk 176 Boon Lay Drive #01-366 Singapore 640176
- Kedai Masyarakat @ LENGKOK BAHRU Blk 55 Lengkok Bahru #01-389 Singapore 151055
- Kedai Masyarakat @ PUNGGOL Blk 224A Sumang Lane #01-02 Singapore 821224
- Kedai Masyarakat @ CHONG PANG Blk 141 Yishun Ring Road #01-12 Singapore 760141
- Kedai Masyarakat @ BEDOK Blk 13, Bedok South 460013
Selain daripada penebusan makanan, setiap Kedai Masyarakat turut dilengkapi dengan ruang pengumpulan makanan 24 jam, yang membolehkan penderma dan penduduk menyumbang barangan makanan pada bila-bila masa.
Ini menyediakan cara yang mudah dan santai bagi masyarakat setempat untuk menyokong jiran-jiran yang kurang bernasib baik, sekali gus menghidupkan semangat kejiranan di dalam kawasan perumahan tersebut.
