Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk bimbang nasib Northshore Plaza susulan kedai kosong, perniagaan malap
Penduduk bimbang nasib Northshore Plaza susulan kedai kosong, perniagaan malap
HDB sesuaikan sewa kepada kadar pasaran semasa selepas ambil kira kesukaran penyewa
Penduduk bimbang nasib Northshore Plaza susulan kedai kosong, perniagaan malap
Apabila sebuah salun kuku di pusat membeli-belah Northshore Plaza I, Punggol, tiba-tiba ditutup pada Disember 2025, seorang penduduk, Cik Linda Chen, berasa bimbang kerana beliau masih mempunyai kredit bernilai sekitar $900 di kedai itu.
Namun Cik Chen, seorang jururawat, berkata beliau tidak terkejut. Beberapa kedai di pusat membeli-belah kejiranan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) itu telah dibiarkan kosong dalam tempoh yang lama, menimbulkan kebimbangan penduduk.
“Kami terus melihat semakin banyak kedai yang tutup dan kekal kosong dalam jangka masa yang lama,” kata wanita berusia 35 tahun itu, yang tinggal di Northshore Residences I, yang terletak di atas Northshore Plaza I.
Apabila The Straits Times (ST) melawat Northshore Plaza I dan II pada Mac dan April, unit yang diduduki oleh salun kuku, Minutiae, masih kosong. Dua unit bersebelahan juga tiada penyewa.
Secara keseluruhannya, 12 daripada kira-kira 50 ruang runcit di kedua-dua bahagian pusat membeli-belah itu kosong. Kakitangan berkata sesetengah unit kekal kosong selama beberapa bulan hingga lebih setahun sejak pusat membeli-belah itu dibuka pada 2021.
Walaupun pelanggan berkata pusat membeli-belah itu semakin popular apabila lebih ramai penduduk berpindah ke kejiranan itu, beberapa peniaga yang ditemui ST mengaitkan kemerosotan jumlah pelanggan di plaza itu dengan pembukaan pusat membeli-belah Punggol Coast Mall.
Seorang kakitangan di sebuah kedai roti, berkata kunjungan di Northshore Plaza jatuh sekitar 30 peratus selepas Punggol Coast Mall dibuka pada 2025.
“Masih ada orang yang datang untuk ke gedung barangan sukan, Decathlon, dan restoran makanan segera, McDonald’s, tetapi kedai-kedai lain kurang dikunjungi,” katanya.
HDB berkata dua daripada 12 kedai yang kosong itu sedang menjalani pengubahsuaian dan akan mula beroperasi tidak lama lagi.
Bagi unit-unit yang selebihnya, HDB berkata pihaknya sedang dalam “pelbagai peringkat untuk mendapatkan penyewa baru”.
HDB juga berkata ia menyesuaikan sewa susulan maklum balas daripada penyewa.
Sekitar 40 penyewa yang memperbaharui pajakan mereka membayar sewa kira-kira 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada tawaran asal mereka, tambahnya.
Seorang lagi penduduk, Encik Nicholas Foo, berkata sekurang-kurangnya empat kedai makanan dan minuman telah tutup dalam setahun yang lalu, termasuk rantaian hotpot Haidilao, kedai makan, Qi Ji, Sixth Floor Oyster Cake dan Fun Toast.
Perunding berusia 33 tahun itu menambah walaupun terdapat pilihan lain seperti pusat makanan, tidak menyenangkan melihat kedai-kedai yang ditutup.
Dalam pada itu, Cik Chen membeli pakej di salun kuku itu dengan harga kira-kira $3,000 pada 2021 dan memperbaharuinya kira-kira dua tahun lalu (2024).
“Saya dapat merasakan perniagaan itu tidak berjalan dengan baik, jadi saya cuba menghabiskan kredit saya secepat mungkin,” katanya.
“Harga yang mereka kenakan pun tidak murah,” tambahnya.
Semakan terkini menunjukkan unit tingkat dua salun kuku itu diberikan kepada pusat kecantikan dan rawatan, Mary Chia Beauty & Slimming Specialist, yang memiliki Minutiae, pada Mac 2021 dengan harga $7,084 sebulan.
Sewa tender penyewa lain pula ialah antara $4,000 dengan $75,000, menurut dokumen tender HDB.
Walaupun salun kuku yang tutup itu memindahkan kredit berbaki Cik Chen ke cawangan lain di Serangoon, beliau terkejut mendapati kedai itu hanya menyediakan perkhidmatan rawatan muka dan pelangsingan.
“Walaupun saya terpaksa menandatangani pakej lain untuk menggunakan kredit itu, saya bersyukur wang saya tidak hilang begitu sahaja,” katanya.
Minutiae dan Mary Chia Beauty & Slimming Specialist tidak memberi sebarang respons apabila dihubungi.
HDB berkata di bawah aturan sewa berperingkat, penyewa Northshore Plaza tidak membayar sewa pada tahun pertama, diikuti dengan sewa diskaun pada tahun kedua dan ketiga.
Walaupun penyewa sepatutnya membayar sewa penuh pada tahun keempat, HDB menyesuaikan sewa kepada kadar pasaran semasa selepas mengambil kira kesukaran yang dihadapi penyewa.
“Justeru, kebanyakan penyewa melihat kenaikan sewa yang sederhana, kurang daripada 10 peratus berbanding apa yang mereka bayar sebelum ini, dan empat penyewa mendapat pengurangan sewa,” katanya.
