Menjelang 2027, semua pelajar daripada Institut Pengajian Tinggi (IHL) di Singapura akan berpeluang mengembangkan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dalam disiplin masing-masing.

IHL telah mengenal pasti kecekapan asas AI, yang akan diterapkan dalam modul wajib bagi semua pelajar baru menjelang tahun akademik 2027.

Satu set kecekapan telah dibangunkan untuk universiti autonomi, manakala satu lagi set dibangunkan untuk politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Mengumumkan langkah tersebut di Siri Penceramah Terkemuka NUS 120 anjuran Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 21 Mei, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata matlamatnya adalah untuk memastikan setiap pelajar di Singapura – tanpa mengira institusi yang mereka hadiri – menerima kecekapan AI asas yang konsisten dan kukuh.

Apa yang penting ialah “penguasaan untuk menggabung dan mengaplikasikan kedua-dua AI serta pengetahuan mendalam mereka secara bermakna dalam disiplin sendiri”, kata Encik Lee.

Pada April, Encik Lee mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa bagi memandu penggunaan AI dalam sektor pengajian tinggi Singapura, serta menyokong usaha Majlis AI Kebangsaan – satu majlis antara kementerian yang membantu Singapura memanfaatkan AI sebagai satu kelebihan strategik.

“Kami merangka langkah ini sebagai satu peningkatan daripada pendedahan AI yang akan diterima oleh pelajar di sekolah menengah dan maktab rendah,” kata Encik Lee di acara yang berlangsung di Bangunan Sea di kampus Kent Ridge NUS.

Set kecekapan tersebut merangkumi pelbagai kemahiran, termasuk memahami had keupayaan AI, dan menggunakannya untuk belajar dengan cara yang memperdalam pemahaman, dan bukan mengambil alih fungsi berfikir.

Pelajar IHL juga akan menggunakan AI untuk menyelesaikan masalah sambil menilai implikasi etika, sosial, dan undang-undangnya secara kritikal.

Pelajar akan tetap diajar perkara asas – iaitu pengetahuan disiplin yang mendalam serta melaksanakan pertimbangan, kata Encik Lee.

“Ini membolehkan mereka mengaplikasikan pengetahuan khusus dalam bidang (masing-masing) apabila menggunakan AI untuk mencipta serta menilai hasil kerja secara kritikal, seterusnya memperkemas atau menolak hasil yang tidak memenuhi keperluan pengguna atau objektif yang ditetapkan,” tambahnya.

Encik Lee berkata IHL telah mula mengemas kini kurikulum mereka bagi menerapkan kemahiran ini.

Sebagai contoh, semua pelajar tahun pertama ITE akan mengikuti modul pembelajaran mengenai kejuruteraan arahan AI (AI prompt engineering), di mana mereka diajar cara merangka soalan tepat bagi mendapatkan maklum balas yang relevan daripada sistem AI.

Di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), AI digunakan untuk mengajar, memperibadikan pembelajaran, dan menyelesaikan masalah dunia sebenar – dalam 40 peratus kursus peringkat sarjana mudanya.

Semua pelajar NTU juga wajib mengambil kursus teras, iaitu Sains dan Teknologi bagi Kemanusiaan, yang menekankan penggunaan AI secara bertanggungjawab.

Meskipun AI disepadukan ke dalam kurikulum, Encik Lee berkata pedagogi perlu memandu bagaimana teknologi diaplikasikan dalam pendidikan, dan bukan sebaliknya.

“Kita perlu (memahami dengan) jelas bahawa AI tidak boleh menggantikan proses pembelajaran manusia yang mendalam di sekolah dan institusi pengajian tinggi kita,” kata Encik Lee.

Encik Lee merujuk kepada pandangan yang diterbitkan dalam The Straits Times (ST) oleh Presiden NUS, Profesor Tan Eng Chye, mengenai bagaimana cabaran dalam menimba ilmu – yang merangkumi usaha membuat kajian, mempersoal, dan mendalami sesuatu perkara – merupakan sebahagian daripada komponen asas dalam proses pembelajaran dan pendidikan.