Pelajar NYP kini boleh ‘reka’ diploma sendiri menerusi inisiatif Go Beyond. Bermula tahun akademik baru April ini, para pelajar di Politeknik Nanyang (NYP) akan mempunyai kebebasan untuk mencorak perjalanan pendidikan mereka menerusi inisiatif terbaru, Go Beyond.
Inisiatif yang dilancarkan semalam itu membolehkan pelajar mengumpul kredit diploma melalui pelbagai peluang pembelajaran yang disepadukan terus ke dalam kurikulum sedia ada.
Ini bermakna, pelajar boleh memilih pengkhususan atau pengalaman luar bilik darjah tanpa perlu menambah waktu pembelajaran atau mengorbankan aktiviti kokurikulum (CCA) mereka.
Di bawah skim Go Beyond, pelajar boleh memilih daripada tiga laluan pembelajaran yang dipertingkatkan:
Laluan Profesional: Pelajar boleh mengejar sijil pengiktirafan industri melalui kerjasama dengan lebih 100 rakan kongsi seperti Microsoft dan ST Engineering. Latihan amali juga ditawarkan sehingga tempoh satu tahun di syarikat terkemuka seperti UOB dan GovTech.
Laluan Antarabangsa: Membuka peluang kepada pelajar untuk belajar atau bekerja di luar negara melalui rangkaian lebih 60 universiti global di 17 buah negara, termasuk Korea Selatan, Jepun, dan Jerman. Pelajar boleh memohon latihan amali di organisasi antarabangsa seperti Hong Kong Disneyland.
Laluan Universiti: Direka khusus bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Pelajar boleh mengambil modul di universiti tempatan (AU) seperti NUS, NTU, dan SMU yang memberikan mereka kelebihan dari segi pengecualian modul atau tawaran kemasukan awal.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengetua NYP, Encik Russell Chan, menekankan bahawa inisiatif ini bertujuan untuk memenuhi aspirasi pelajar yang pelbagai.
“Pelajar kami datang daripada profil yang rencam, dengan aspirasi dan keperluan tersendiri. Ada yang ingin membina portfolio kerjaya sebelum tamat pengajian, manakala yang lain mahu membina rangkaian antarabangsa atau mendapat kelebihan untuk pengajian universiti,” kata beliau.
Beliau menambah: “Ideanya ialah kami menyediakan pilihan yang sejajar dengan apa yang penting bagi mereka... Diploma anda, bina mengikut cara anda sendiri.”
Selain fleksibiliti akademik, NYP turut menyepadukan kemahiran masa depan ke dalam semua diplomanya. Sejak Oktober 2025, literasi asas dalam Kecerdasan Buatan (AI) generatif telah menjadi sebahagian daripada kurikulum untuk memastikan graduan kekal relevan dengan permintaan pasaran kerja masa kini.
Bagi ibu bapa dan calon pelajar yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Go Beyond, NYP akan mengadakan Rumah Terbuka bermula esok, 8 hingga 10 Januari 2026.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg