Empat anak muda Melayu diraikan atas pencapaian dan perkembangan mereka dalam pendidikan, dwibahasa serta kehidupan. Di atas kegigihan yang dipamerkan, mereka berjaya merangkul Anugerah Khas Kementerian Pendidikan. Berita Harian (BH) menelusuri kisah mereka.

Jika dahulu Cik Sapiah Yahaya perlu menemani anaknya menaiki bas dan MRT sambil mengajarnya laluan ke destinasi yang dituju.

Kini beliau hanya mampu tersenyum melihat Danish Qastalani Mohamad Shahrin, 17 tahun, melakukan perjalanan itu sendiri.

Ini kerana anak bongsu enam beradik itu merupakan seorang pelajar yang mengalami autisme sejak lahir – yang menyebabkan Danish tidak mampu bertutur dengan yakin.

Justeru meskipun ia hanya menaiki bas ke tempat yang dituju, ia cukup memberi makna yang besar kepada Cik Sapiah, 62 tahun.

Lebih membanggakan ibunya, Danish sudah memulakan latihan vokasional – bekerja sambil belajar – di sebuah hotel di Orchard Road selama lima jam, dua kali seminggu.

Kini dia menjalankan pelbagai tugas, termasuk mengemas meja dan membersihkan kawasan bufet, selain membantu menjaga kebersihan ruang di hotel.

Tidak hairanlah Danish tampil selaku salah seorang penerima Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew (LKY- ESA) di Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 31 Ogos.

Diperkenalkan pada 2017, anugerah itu mengiktiraf pelajar di sekolah pendidikan khas yang dibiayai pemerintah yang berjaya mengatasi pelbagai cabaran dan menjadi teladan kepada rakan sebaya menerusi kemajuan serta sumbangan mereka dalam bidang seperti akademik, vokasional, sukan dan seni.

Ia turut mengiktiraf sumbangan pelajar pendidikan khas kepada masyarakat sekolah dan masyarakat secara lebih meluas.

Kini Danish lebih yakin semasa bertutur dan tidak segan menunjukkan keterujaannya apabila berkongsi tentang perkara yang diminatinya.

“Sebagai seorang ibu, saya sangat bangga. Saya kagum kerana dia mampu melakukan lebih baik daripada apa yang saya jangkakan,” kata Cik Sapiah, yang merupakan seorang pesara.

Namun, sepanjang temu ramah itu, Danish kurang berbicara semasa diaju soalan oleh wartawan.

Sebaliknya Danish hanya berkata:

“Saya amat berbangga dengan diri saya sendiri dan betapa jauh perjalanan ini, dan saya gembira kerana tahu yang saya telah membuat ibu bangga.

“Saya ingin terus belajar, perbaiki diri dan kerja keras untuk mencapai impian bekerja dalam bidang kecergasan.”

Menurut Cik Sapiah, beliau yang membimbing anaknya mengenali dan meluahkan perasaan serta menangani salah faham dengan orang lain.

Pengajaran itu penting bagi mempersiapkan Danish menghadapi keadaan sebenar dalam kehidupan seharian, tambah beliau.

“Kalau dia marah atau sedih, saya akan bertanya apa yang berlaku dan menggalakkan dia untuk luahkan perasaannya.

“Kalau adanya salah faham dengan kawan, saya ajar dia supaya meluahkan perasaannya dan, kalau perlu, minta bantuan guru.

“Walaupun Danish memerlukan sokongan tambahan, saya tetap mahu memberinya peluang untuk mencuba seperti orang lain.

“Kalau orang lain boleh lakukannya, saya tahu dia juga boleh. Kalau percubaan pertama tidak berjaya, kita cuba lagi,” katanya.

Perjalanan Danish diketengahkan Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, yang hadir selaku tetamu terhormat di majlis tersebut.

“Perjalanannya (Danish) menunjukkan perkembangan yang berterusan. Dengan sokongan guru dan keluarganya, Danish membina keyakinan untuk berkomunikasi dengan orang lain dan mencuba pengalaman baharu,” kata Encik Janil, dalam ucapannya.

Menurut Cik Sapiah, perkembangan Danish didorong oleh bimbingan berterusan daripada keluarga dan guru yang bekerjasama membantunya membina keyakinan dan berdikari.

“Guru akan lakukan bahagian mereka dan saya akan lakukan bahagian saya di rumah. Kami bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Pada masa akan datang, Cik Sapiah berharap majikan dan masyarakat akan memberi peluang kepada individu seperti anaknya itu untuk memasuki alam pekerjaan dan membuktikan kemampuan mereka.

“Saya harap orang ramai boleh menerima anak-anak seperti mereka untuk bekerja bersama.

“Sebagai seorang ibu, saya sangat bangga dan kagum dengan apa yang mampu dilakukannya,” ujar beliau.