Topik diikuti
Pergi ke BHku‘MangoBossKu’ ditangkap atas dakwaan ugutan jenayah
‘MangoBossKu’ ditangkap atas dakwaan ugutan jenayah
Ditahan susuli penyebaran meluas video tunjukkan pemilik sebuah restoran popular diugut dan dipaksa berbogel
‘MangoBossKu’ ditangkap atas dakwaan ugutan jenayah
Seorang pempengaruh dalam talian telah ditangkap atas dakwaan ugutan jenayah.
Menurut laporan akhbar The Straits Times (ST), difahamkan bahawa Mohammad Hussin Said, yang juga dikenali di media sosial sebagai MangoBossKu, ditangkap pada 4 Mei di kedai cuci kereta kendaliannya di Yishun.
Beberapa saksi berkata Hussin, yang terkenal dengan gerai jualan makanan di pelbagai bazar, telah ditemu bual oleh pegawai polis berpakaian biasa.
Kejadian ini menyusuli penyebaran meluas video selama 56 saat di aplikasi perbualan WhatsApp, dengan ia turut dibincangkan di media sosial.
Video itu menunjukkan pemilik sebuah restoran popular diugut dan dipaksa berbogel.
Mangsa, yang juga seorang pempengaruh media sosial, dituduh “terlalu rapat” dengan isteri individu yang merakam video tersebut.
Hussin dikatakan ditangkap selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Divisyen Polis Bedok.
Polis mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
Mangsa, yang tidak dinamakan, berkata video itu dirakam pada sekitar November 2025, tetapi ia tidak dikongsi dalam talian ketika itu.
Beliau kemudian membuat laporan polis selepas video itu mula tersebar baru-baru ini.
“Pihak berkuasa telah dimaklumkan (mengenai video itu). Saya sudah membuat (laporan polis) dan keadaan terkawal,” ujar mangsa.
Hussin dan isterinya menceburi perniagaan makanan pada 2019 dan sejak kebelakangan ini tertumpu pada penjualan kunafa, makanan pencuci mulut asal Timur Tengah.
Ini di samping pencuci mulut berasal dari Amerika Latin, quesillo, minuman berperisa di pelbagai acara termasuk bazar Ramadan.
Perniagaannya berkembang dan menarik lebih ramai pengikut apabila Hussin mula menggunakan media sosial untuk menghasilkan video promosi, termasuk adegan pemasaran berbentuk konfrontasi – gimik bagi menarik perhatian pelanggan.
Malahan taktik itu menjadi bahan perbincangan hangat ketika bazar Ramadan 2024 dan dilaporkan Berita Harian.
Dalam temu bual bersama media, Hussin mendakwa memperoleh pendapatan kasar hampir $500,000 semasa bazar Ramadan 2023 di Geylang Serai.
Dalam pelbagai catatan dalam talian sebelum ini, dia turut mengakui sabitan kesalahannya ketika masa lampau, dengan menyatakan bahawa “mempunyai rekod jenayah lampau bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan... tetapi anda belajar daripada kesilapan”.
Menurut laporan ST, ketika dihubungi, Hussin menafikan sebarang pengetahuan tentang video itu dan mendakwa bahawa beliau tidak ditangkap.
Beliau berkata beliau telah ditemu bual oleh pihak polis, tetapi tidak mendedahkan sebarang butiran.
“Saya tidak pernah menerbitkan atau menularkan sebarang video. Saya tidak tahu siapa yang membocorkan video itu,” tambahnya.
