SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemerintah sasar 1 dalam 3 pesakit pilih dialisis peritoneal di rumah, subsidi dinaikkan

Pemerintah sasar 1 dalam 3 pesakit pilih dialisis peritoneal di rumah, subsidi dinaikkan

Mar 24, 2026 | 4:36 PM

Pemerintah sasar 1 dalam 3 pesakit pilih dialisis peritoneal di rumah, subsidi dinaikkan

Disokong oleh sumbangan sebanyak $3 juta daripada estet Khoo Teck Puat, program ini bertujuan membantu 300 pesakit mengamalkan bentuk rawatan ini.
Disokong oleh sumbangan sebanyak $3 juta daripada estet Khoo Teck Puat, program ini bertujuan membantu 300 pesakit mengamalkan bentuk rawatan ini. - Foto ST

Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) kini giat menggalakkan dialisis peritoneal (PD) di rumah menerusi program tiga tahun, bekerjasama dengan empat hospital awam untuk memperluas kesedaran.

Disokong oleh sumbangan $3 juta daripada estet Khoo Teck Puat, inisiatif ini menyasarkan 300 pesakit untuk menjalani rawatan PD.

Sejak Februari, NKF telah menempatkan dua jururawat PD di pasukan buah pinggang Hospital Besar Singapura (SGH), membantu pesakit dan keluarga memahami pilihan rawatan di rumah sebelum dialisis menjadi mendesak.

Langkah ini akan diperluas ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).

Usaha ini penting tatkala bilangan pesakit buah pinggang kronik (CKD) dan mereka yang memerlukan dialisis terus melonjak seiring peningkatan populasi warga emas. 

Kini, sekitar 500,000 orang di Singapura hidup dengan CKD, manakala tempoh menunggu untuk pemindahan buah pinggang boleh mencecah sekitar sembilan tahun.

NKF juga telah memperkukuh sokongan sejak dua tahun lalu, termasuk melatih kakitangan di rumah penjagaan seperti Man Fut Tong dan Singapore Christian Home untuk membantu penghuni yang menjalani PD.

Walaupun hemodialisis kekal kaedah utama, PD sering diutamakan kerana menawarkan fleksibiliti dan mutu hidup yang lebih baik.

PD dilakukan setiap hari di rumah, menggunakan lapisan dalam perut yang dipanggil peritoneum untuk menapis bahan buangan, dengan keperluan sumber dan infrastruktur yang lebih rendah.

Berbeza dengan hemodialisis, pesakit perlu berulang-alik ke pusat rawatan tiga kali seminggu, dengan setiap sesi mengambil masa kira-kira empat jam.

NKF kini mengendalikan 45 pusat dengan kadar penggunaan sekitar 90 peratus.

Namun, hanya 20 peratus pesakit memilih PD sebagai rawatan.

Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, menyasarkan peningkatan kepada satu dalam tiga pesakit dalam tempoh tiga tahun.

“Kegagalan buah pinggang mengubah hidup secara fizikal, emosi, dan kewangan. Kami berharap dapat meningkatkan penggunaan PD secara berperingkat bagi pesakit yang sesuai,” katanya pada 23 Mac semasa pelancaran ibu pejabat NKF yang dinaik taraf di Kim Keat.

Pemerintah juga mempertingkat sokongan kewangan, termasuk menaikkan subsidi dialisis dan had bulanan MediShield Hayat daripada $1,100 kepada $1,750. Selain itu, had kelayakan pendapatan dinaikkan daripada $3,600 kepada $4,800 per kapita mulai Julai 2026.

Ini bermakna tujuh daripada 10 isi rumah kini layak menerima subsidi, berbanding enam daripada 10 sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CE) NKF, Cik Yen Tan, berkata pesakit PD di rumah terus disokong melalui program bermasyarakat yang menyediakan latihan, penilaian, dan panduan berterusan.

Bagi Cik Florence Auyeong, 68 tahun, PD ialah pilihan lebih baik kerana kurang membebankan jantungnya.

Rawatan ini membolehkannya mengekalkan gaya hidup dan terus bekerja sebelum bersara.

Beliau berkata kebimbangan mengendalikan rawatan sendiri dapat diatasi dengan bantuan jururawat dan sokongan hospital.

Sementara itu, NKF memperluas usaha pencegahan dengan menawarkan ujian saringan percuma melalui lebih 280 rakan masyarakat, memandangkan CKD sering dikesan lewat.

NKF turut melancarkan semula Pusat Penerokaan Buah Pinggang NKF di Kim Keat, dengan sokongan $1 juta daripada Keppel. Pusat ini menampilkan pameran interaktif untuk meningkatkan kesedaran kesihatan buah pinggang.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg