SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemerintah rancang mula kerja persediaan bagi Long Island

Pemerintah rancang mula kerja persediaan bagi Long Island

URA: Kerja termasuk alih halangan dasar laut, pastikan projek tambak di luar Taman East Coast siap ikut jadual
Mar 30, 2026 | 6:25 PM

Pemerintah rancang mula kerja persediaan bagi Long Island

Singapore, URA, Long Island, tanah tambak, reclaimed land
Lakaran artis bagi projek Long Island, yang akan mewujudkan sekitar 800 hektar tanah untuk pembinaan rumah, sebuah kolam air dan taman pesisiran pantai baru. - Foto URA

Pemerintah sedang merancang untuk memulakan kerja-kerja persediaan bagi Long Island, dan akan melaksanakannya secara berperingkat bagi mengurangkan kesan kepada mereka yang kerap ke kawasan itu.

Kerja-kerja ini, termasuk mengalihkan halangan dalam dasar laut dan mengangkut barangan ke perairan, penting bagi memastikan projek penambakan di luar Taman East Coast ini siap mengikut jadual.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam kenyataannya pada 30 Mac.

Tambakan tanah baru ini, yang pada masa ini dinamakan Long Island, akan meliputi kawasan dari Tanah Merah hingga ke Marina East.

Secara keseluruhan, tiga kawasan tanah ini – dengan keluasan sekitar seganda berbanding Marina Bay – akan ditambak bagi menghasilkan 800 hektar tanah bagi rumah baru, takungan air baru dan sekitar 20 kilometer taman pesisisiran tepi laut.

Projek ini akan melindungi Taman East Coast yang berada pada paras yang rendah, di mana kebanyakan kawasannya secara purata berada pada kurang daripada 5 meter di atas paras air laut.

Ini adalah ramalan ketinggian kenaikan paras air laut di Singapura menjelang akhir abad ini, jika paras laut sedunia, yang lebih tinggi secara purata, berlaku serentak dengan air pasang ekstrem dan ribut kuat.

URA juga memaklumkan beberapa kawasan tepi laut, seperti Taman East Coast, telah mengalami banjir pantai dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat air pasang bermusim yang tinggi.

Kejadian pada Januari 2024 dan Januari 2026 ini ditambah dengan paras laut semakin tinggi dan hujan lebat yang semakin kerap melanda, menekankan keperluan yang mendesak bagi memulakan kerja perlindungan pesisir pantai secara berperingkat, tambah URA.

“Agensi-agensi sedang merancang jadual dan skop kerja persediaan yang spesifik, yang akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengehadkan gangguan kepada pengguna East Coast, sebaik mungkin.

“Agensi-agensi akan terus berbincang dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, dan maklumat lanjut akan diumumkan dalam beberapa bulan mendatang,” kata URA.

Walaupun URA tidak memberi butiran lanjut tarikh mula kerja, kajian tapak di kawasan perairan luar Taman East Coast dijangka selesai pada April.

Pihak berkuasa menegaskan kerja persediaan ini bukan pelan muktamad bagi Long Island dan tidak melibatkan penambakan laut.

Pelan dan reka bentuk projek hanya akan dimuktamadkan setelah dapatan penuh kajian teknikal, langkah mitigasi dan maklum balas daripada penglibatan masyarakat selanjutnya dipertimbangkan.

Sejak November 2023, URA dan agensi lain telah mengumpulkan pandangan daripada lebih 14,000 individu mengenai harapan dan idea mereka bagi Long Island.

Agensi itu menyatakan terdapat persetujuan umum tentang perlunya melindungi East Coast yang rendah daripada ancaman kenaikan paras laut.

URA berkata terdapat cadangan untuk menerapkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dalam pembangunan Long Island.

Ini termasuk mencipta persekitaran yang selesa bagi kehidupan marin dan habitat di kawasan pasang surut itu berkembang.

Ramai juga menggariskan kepentingan mempertahankan ciri rekreasi Taman East Coast.

Memandangkan Taman East Coast merupakan ruang rekreasi penting yang penuh dengan kenangan bagi orang ramai, URA akan menyertakan ruang bagi kegiatan riadah dalam pelan pembinaan Long Island dan kolam air masa hadapan.

Pihak berkuasa berkata pemerintah akan terus menilai daya maju idea ini dan menyertakannya dalam dapatan kajian teknikal yang sedang dijalankan.

Selain itu, agensi-agensi merancang lebih banyak sesi pendekatan dengan pihak berkepentingan dan orang ramai untuk mendalami isu utama, seperti jenis kegiatan yang sesuai di sepanjang pesisir Long Island baru dan kolam air pada masa hadapan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg