Pemerintah telah memulakan semakan terhadap pemerhatian awal hasil siasatan Hong Kong berhubung kebakaran di Wang Fuk Court yang berlaku di wilayah itu pada November 2025.
Ia turut sedang mengkaji sama ada peraturan mengenai pembinaan serta penyelenggaraan bangunan kediaman perlu diperkukuh bagi mengurus risiko kebakaran dengan lebih berkesan, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, di Parlimen pada 12 Januari.
Beliau menambah, hasil semakan tersebut akan diumumkan pada masa yang sesuai.
Mengenai kebakaran di Hong Kong itu, Encik Goh berkata:
“Kejadian tragis yang berlaku baru-baru ini mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh memandang ringan soal keselamatan kebakaran.
“Langkah ini (semakan terhadap kebakaran di Wang Fuk Court) bertujuan menguruskan risiko kebakaran dengan lebih berkesan, dan hasil semakan yang sedang dijalankan ini akan diumumkan pada masa yang sesuai.”
Dalam parlimen pertama dalam 2026 itu, beberapa Anggota Parlimen (AP) telah mengemukakan soalan mengenai keselamatan kebakaran di bangunan kediaman susulan kebakaran tragis baru-baru ini di Tai Po, Hong Kong, yang meragut 161 nyawa.
Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) bertanya sama ada semakan pemerintah terhadap Akta Pengurusan dan Penyelenggaraan Bangunan serta Strata 2004 akan mengambil kira pengajaran daripada kebakaran di Wang Fuk Court itu.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, berkata:
“Pihak berkuasa Hong Kong masih menjalankan siasatan berhubung insiden kebakaran di Wang Fuk Court.
“Kementerian Pembangunan Negara juga akan menggabungkan dapatan semakan tersebut ke dalam rangka kerja perundangan dan dasar sedia ada, termasuk Akta Pengurusan Strata Bangunan.”
Sebelum itu, beberapa AP turut menanyakan sama ada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bersedia menangani kebakaran yang berlaku di bangunan tingkat tinggi.
Menjawab, Encik Goh berkata sebanyak 1,051 kebakaran bangunan kediaman direkodkan pada 2025, satu peningkatan daripada 968 kes pada 2024.
Namun, dalam konteks penambahan pada jumlah unit perumahan di Singapura, peratusan kebakaran berbanding stok perumahan telah menurun daripada 0.067 peratus pada 2021 kepada 0.065 peratus pada 2025, dedahnya.
Beliau berkata semua bangunan di Singapura dibina mengikut Kod Kebakaran semasa, yang antara lain mewajibkan pengasingan unit kediaman, atau compartmentalisation, bagi mengehadkan penyebaran api sebelum ketibaan SCDF.
“Peruntukan keselamatan kebakaran lain termasuk laluan tangga keluar yang mencukupi bagi menyokong pemindahan yang pantas, laluan akses jentera bomba, serta paip menegak (rising mains) untuk menyokong operasi pemadaman SCDF,” katanya.
Encik Lee Hong Chuang (GRC Jurong East-Bukit Batok) dan Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) juga bertanyakan cara mempersiapkan orang ramai dengan lebih baik ketika menghadapi kecemasan kebakaran.
Ini terutamanya dengan bangunan tingkat tinggi dan penduduk semakin menua.
Encik Lee turut bertanya mengenai purata masa tindak balas SCDF terhadap kebakaran serta had operasi praktikalnya ketika memadam kebakaran di bangunan tingkat tinggi.
Menjawab soalan tersebut, Encik Goh berkata SCDF mampu memberi respons terhadap kebanyakan insiden kebakaran dan langkah penyelamatan dalam tempoh lapan minit, termasuk kebakaran di bangunan bertingkat tinggi.
“Semua bangunan bertingkat tinggi melebihi 24 meter atau sekitar lapan tingkat perlu ada lif kebakaran yang boleh ditukar kepada operasi manual bagi memudahkan operasi pemadaman SCDF untuk akses segera ke tingkat atas.
“Selain itu, lif kebakaran tambahan juga diperlukan bagi bangunan kediaman bertingkat tinggi untuk tingkat-tingkat tertentu ke atas,” ujar beliau.
Encik Goh juga menyeru pemilik bangunan, majlis bandaran dan perbadanan pengurusan (MCST) agar memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan kebakaran.
“Penting bagi pemilik bangunan untuk mematuhi sepenuhnya Kod Kebakaran serta memastikan semua peruntukan keselamatan kebakaran sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi.
“Dalam hal ini, Majlis Bandaran dan perbadanan pengurusan masing-masing bertanggungjawab mengurus kawasan bersama di estet HDB dan pembangunan kediaman berstatus strata, termasuk memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan kebakaran SCDF,” katanya.
Beliau menambah bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya bahaya dikesan semasa pemeriksaan dan audit SCDF.
Sementara itu, Encik Ng Chee Meng (SMC Jalan Kayu) pula bertanya walaupun langkah keselamatan sedia ada telah dilaksanakan, terdapat tiga kebakaran serius yang mengakibatkan kematian di Singapura pada 2025.
Beliau memberi contoh kebakaran di Toa Payoh, yang mana penduduk menghadapi kesukaran untuk berpindah keluar selepas api merebak dari tingkat 10 ke tingkat 11.
Encik Ng memberi cadangan untuk mengadakan latihan kebakaran di estet perumahan awam untuk mendidik awam.
Encik Goh bersetuju mengenai kepentingan usaha pendidikan awam, sambil menambah bahawa sebahagian besar masalah dapat ditangani sekiranya orang ramai menyedari punca utama kebakaran dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Beliau turut menambah bahawa antara punca utama kebakaran ialah memasak tanpa pengawasan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg