PENYAMBUNGAN semula projek pembinaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi memberi petanda paling ketara tentang keyakinan dan komitmen Singapura untuk mengukuhkan semula status hab penerbangannya serta kedudukannya sebagai pintu gerbang ke pasaran Asia Tenggara dan selanjutnya.
Semasa diumumkan beberapa tahun lalu, T5 yang digantung pembinaannya, disifatkan sebagai berupaya memberikan negara ini kelebihan di sisi pesaingnya ekoran jumlah pengunjung yang bertambah.
Menurut pengamat, jangka waktu terkini pembinaan T5 yang dianggarkan jelas mencerminkan bahawa kegiatan industri penerbangan akan lebih rancak selepas tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran telah mengatakan bahawa T5 akan mula dibina dalam masa dua hingga tiga tahun ini atau bermakna, seawal 2024.
Berkongsi pemerhatiannya, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat, berkata:
"Jangka masa diberikan adalah isyarat bahawa kegiatan industri akan cergas dengan ketara selepas tahun depan.
"Permintaan terpendam daripada pembukaan semula sempadan akan menyokong kedudukan Singapura sebagai hab penerbangan pada tahun ini hingga tahun depan, selagi tiada kelembapan signifikan dalam kegiatan global.
"Sedang trafik udara dijangka kembali berkembang, kesediaan dan selesainya pembinaan T5 menjadi genting dalam mengekalkan kedudukan Singapura dalam dunia penerbangan global yang kompetitif, sedang rantau Asia dan China menyaksikan pertumbuhan pesat sebagai titik penting dalam pertumbuhan global dan aktiviti."
Pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, pula berkata usaha menyambung semula pembinaan itu menunjukkan bahawa pertumbuhan permintaan udara tidak akan lenyap hanya kerana pandemik.
"Terdapat beberapa teori semasa awal pandemik bahawa peralihan kepada teknologi digital didesak oleh pandemik dan jarak selamat, akan menggantikan keperluan orang ramai untuk bergerak - tanpa mengira keprihatinan kesihatan - sehinggakan pertumbuhan perjalanan udara dan fizikal akan mendatar atau berubah hala, selepas pandemik.
"Namun, data dari negara membuktikan teori-teori ini perlu disemak semula.
"Umumnya, pengguna dan perniagaan sudah menerima penyambungan semula perjalanan perniagaan dan senggang.
"Meskipun pergerakan belum pulih ke tahap sebelum pandemik, tentunya kini sudah ada keyakinan bahawa laluan pertumbuhannya tidak mungkin dijejas selamanya oleh pandemik," tekan beliau.
Apabila T5 siap kelak, Dr Theseira meramalkan dua trend utama yang mendorong pertumbuhan perjalanan udara sejak beberapa tahun lalu, iaitu kelas pertengahan semakin meningkat di negara membangun dan negara berpendapatan sederhana, serta perkembangan model perniagaan penerbangan tambang rendah akan berterusan, khususnya di Asean - tempat terletaknya Changi sebagai hab udara serantau - sekali gus menyokong operasi T5 nanti.
Mengenai cabaran dijangkakan dalam penyambungan semula projek ini, Encik Saktiandi berpendapat:
"Apa sahaja projek pembinaan bagi beberapa tahun mendatang mungkin dijejas oleh masalah kekurangan pekerja dari luar negara, di samping cabaran rantai bekalan bahan binaan.
"Selain itu, risiko permintaan dan penularan wabak lain pada masa depan jika ada, juga boleh menjejas jadual pembinaan."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg