Pembeli rumah yang ditegur oleh Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) kerana cuba mengelak duti setem telah menarik balik saman terhadap agensi hartanah ERA Realty, ejen hartanahnya, dan firma guaman, atas dakwaan adanya salah maklumat dan kelalaian yang berkaitan dengan transaksi hartanah yang dikenali sebagai “99-1”.
Pembeli berkenaan, Encik Lim Yuan Zhang, telah mengemukakan saman terhadap ketiga-tiga pihak itu di Mahkamah Negara Singapura pada Mei 2025.
Beliau menuntut ganti rugi sebanyak $180,945, iaitu jumlah cukai tambahan dan surcaj yang dikenakan oleh IRAS kerana mengelak membayar duti setem untuk pembelian unit kondominium.
Encik Lim mendakwa ejen hartanah, Encik Jeremy Chan, telah mencadangkan struktur 99-1 semasa pembelian unit pelancaran baru di kondominium Normanton Park yang mempunyai pegangan pajak 99 tahun, lapor The Business Times (BT).
Susunan itu membolehkan bapa Encik Lim membeli 1 peratus hartanah tersebut dan mengambil pinjaman bersama untuk membiayai pembelian unit itu, sambil mengurangkan jumlah Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) yang perlu dibayar untuk memiliki hartanah kedua.
Encik Lim mendakwa Encik Chan telah memberikan maklumat salah mengenai kesahihan transaksi 99-1 sebagai “kaedah yang biasa digunakan dan selamat untuk mengurangkan ABSD yang perlu dibayar” semasa membeli hartanah.
Encik Lim juga berpendapat firma guaman, Anthony Law Corporation (ALC), gagal memberi nasihat atau memberi amaran dengan betul kepada beliau mengenai risiko undang-undang aturan 99-1 itu, dan meneruskan pengurusan transaksi tersebut walaupun dengan risiko yang wujud.
Beliau mendakwa ALC telah lalai secara profesional dan melanggar kedua-dua kontrak dan tanggungjawab fidusiari. Andainya Encik Lim telah diberi nasihat yang betul, beliau berkata beliau tidak akan meneruskan transaksi itu.
Fidusiari merupakan satu tanggungjawab undang-undang dan etika yang mewajibkan seseorang atau pihak bertindak dengan penuh amanah, jujur dan mengutamakan kepentingan pihak lain yang diwakilinya.
ALC salah satu daripada tiga firma yang dikenakan penalti oleh Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada Ogos 2025 atas pelanggaran undang-undang antipengubahan wang haram dalam kes pengubahan wang haram sebanyak $3 bilion di Singapura. Firma itu telah diarah supaya membayar penalti kewangan $100,000.
Dalam saman yang difailkan pada Mei 2025, Encik Lim mendakwa Encik Chan dikatakan telah mendapat kelulusan undang-undang untuk transaksi 99-1 itu, dan akan “memimpin serta mengawasi” pelaksanaannya.
Dipengaruhi oleh kenyataan Encik Chan itu, Encik Lim membayar $49,250 untuk pilihan membeli unit bernilai $985,000 itu pada 18 November 2021.
Bapa Encik Lim membeli 1 peratus kepentingan dalam hartanah tersebut pada 26 Januari 2022, membereskan transaksi 99-1 itu.
Pada Disember 2024, IRAS mengarahkan Encik Lim dan bapanya membayar $164,496 sebagai ABSD serta surcaj $82,248, namun surcaj itu diturunkan kepada $16,449 selepas rayuan Encik Lim kepada IRAS.
Dalam saman itu, Encik Lim mendakwa kenyataan Encik Chan itu adalah penipuan, dengan Encik Chan sama ada tahu ia tidak benar, atau “cuai” dengan perkara yang benar, agar boleh mendapat keuntungan melalui komisen daripada pemaju atau firma guaman itu.
Dalam pembelaan mereka, Encik Chan dan ERA menafikan telah memberi nasihat undang-undang dan cukai berkaitan pembelian hartanah tersebut.
Kedua-dua pihak berkata mereka adalah ejen hartanah yang dilantik oleh pemaju hartanah tersebut, bukannya oleh Encik Lim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg