Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu larikan diri selepas langgar penunggang basikal, didakwa pandu dengan bahaya

Nov 28, 2025 | 6:27 PM
Seorang penunggang basikal berusia 67 tahun cedera parah akibat satu kemalangan pada 24 November dan meninggal dunia di hospital.
Seorang penunggang basikal berusia 67 tahun cedera parah akibat satu kemalangan pada 24 November dan meninggal dunia di hospital. - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA

Seorang pemandu yang melarikan diri selepas satu kemalangan dengan penunggang basikal guna kuasa (PAB) telah didakwa atas beberapa kesalahan termasuk memandu dengan bahaya yang mengakibatkan kematian.

Muhammad Mustaqim Ismail, 35 tahun, didakwa meninggalkan kereta yang dipandunya sebelum melarikan diri dari tempat kejadian kemalangan di simpang Tampines Avenue 7 dengan Tampines Street 42.

Kemalangan pada 24 November sekitar 2.30 petang itu menyebabkan penunggang basikal berusia 67 tahun mengalami kecederaan serius. Beliau kemudiannya meninggal dunia di hospital, lapor The Straits Times (ST).

Pada 28 November, Mustaqim dikenakan lapan tuduhan termasuk memandu tanpa lesen yang sah dan membawa kenderaan bermotor tanpa kebenaran pemilik.

Beliau juga berdepan tuduhan gagal melaporkan kemalangan kepada polis dalam tempoh 24 jam.

Menurut kertas tuduhan, Mustaqim didakwa gagal mematuhi isyarat lampu merah di Tampines Avenue 7, yang mengakibatkan pelanggaran dengan penunggang basikal, Encik Taha Moon, yang mempunyai hak laluan ketika bergerak dari Tampines Street 42.

Beliau juga dituduh gagal memberikan bantuan kepada penunggang basikal selepas kemalangan.

Mustaqim ditangkap pada 26 November, dua hari selepas kemalangan berlaku.

Di mahkamah pada 28 November, pihak pendakwa memohon supaya Mustaqim tidak dibenarkan jaminan kerana berisiko tinggi melarikan diri.

Namun, tertuduh memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin, dengan alasan dia takut dan trauma selepas kemalangan.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk bertindak kerana ini kali pertama saya mengalami perkara ini. Saya tiada niat jahat terhadap mangsa atau keluarganya.

“Saya berasa sangat menyesal ke atas mangsa,” tambahnya.

Mahkamah diberitahu bahawa Mustaqim pernah disabitkan bersalah kerana memandu dengan lalai pada September 2022. Butiran kesalahan itu tidak dibacakan di mahkamah.

Jaminan tidak diberikan kepada Mustaqim pada 28 November. Kesnya ditangguhkan untuk satu sidang praperbicaraan pada 2 Januari 2026.

Kemalangan di Tampines berlaku hanya tiga hari selepas insiden langgar lari di Upper Thomson Road menuju MacRitchie Viaduct yang menyebabkan seorang lagi penunggang PAB cedera.

Penunggang basikal berusia 27 tahun itu dikenalpasti sebagai penghantar makanan.

Data Polis Trafik yang diterbitkan pada Ogos menunjukkan bahawa lebih ramai orang terbunuh atau cedera dalam kemalangan jalan raya pada separuh pertama 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Terdapat 78 kemalangan maut dari Januari hingga Jun, meningkat daripada 70 pada separuh pertama 2024.

Jumlah kemalangan yang mengakibatkan kecederaan juga meningkat daripada 3,437 pada separuh pertama 2024 kepada 3,740 dalam enam bulan pertama 2025.

Mereka yang disabit bersalah kerana memandu secara bahaya yang mengakibatkan kematian boleh dipenjara sehingga lapan tahun dan digantung lesen memandu. Pesalah berulang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan digantung lesen memandu.

Bagi kes gagal berhenti selepas kemalangan, pesalah boleh dipenjarakan sehingga tiga bulan, didenda sehingga $1,000, atau kedua-duanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg