SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Peluang pilih baju Raya baru bawa senyuman kepada 100 kanak-kanak

Peluang pilih baju Raya baru bawa senyuman kepada 100 kanak-kanak

Projek Membina Kasi Balik jaya kumpul $10,000 bagi sokong keluarga memerlukan sempena Lebaran
Mar 30, 2026 | 5:27 PM

Peluang pilih baju Raya baru bawa senyuman kepada 100 kanak-kanak

baju Raya, Membina Kasi Balik, kanak-kanak kurang berkemampuan
Sekitar 240 peserta menghadiri majlis iftar kemasyarakatan sempena Projek Membina Kasi Balik 2026 yang menghimpunkan keluarga, sukarelawan dan rakan kerjasama pertubuhan tidak mengaut untung, Membina Community, pada 14 Mac di Pusat Seni Aliwal yang turut dihadiri tetamu kehormat iaitu Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Jika edisi pertama Projek Membina Kasi Balik merupakan usaha kecil-kecilan membantu 10 kanak-kanak kurang berkemampuan, edisi ketiganya pada 2026 berkembang pesat dan menghimpunkan 100 kanak-kanak yang berpeluang memilih sendiri baju Raya mereka di kedai Kurta Boys Singapore, di 122 Arab Street.

Ini dilakukan sebelum mereka menghadiri satu majlis iftar kemasyarakatan bersama keluarga, sukarelawan dan rakan masyarakat anjuran bersama dua badan tidak mengaut untung, Membina Community dan Antica Foundation, di Pusat Seni Aliwal pada 14 Mac lalu.

Membina Community memperkasa belia yang berisiko dan daripada keluarga kurang bernasib baik, menerusi program pementoran, sokongan akademik, dan program mendekati masyarakat.

Ia diasaskan oleh individu dengan latar belakang serupa, menyediakan ruang selamat, latihan kepimpinan dan program menyeluruh dalam membangun daya tahan dan menjana peluang peningkatan diri.

Antica Foundation pula tertumpu pada usaha menyepadukan bekas pesalah dan menyokong warga emas.

Seramai 60 sukarelawan tampil membantu dalam acara berkenaan yang turut dihadiri tetamu terhormat iaitu Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Dr Maliki Osman, selaku Presiden Antica Foundation, juga hadir sebagai tetamu khas dalam majlis berkenaan.

Melalui projek itu, sebanyak $10,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai dan rakan kerjasama yang percaya dengan usaha murni menyokong kanak-kanak daripada keluarga memerlukan pada musim Lebaran.

Pengalaman memilih baju Raya di Kurta Boys pula merupakan sesuatu yang menggembirakan dan membangun keyakinan diri penerima bantuan.

Salah seorang penerima, Putri Adinda Aisyah, 11 tahun, cukup gembira dengan rezeki diberi peluang memilih busana Lebaran pada hari itu.

“Saya rasa gembira. Baju yang saya dapat baharu dan cantik.

“Saya boleh gunakan ketika menziarahi saudara-mara.

“Saya juga teruja kerana dapat buat kawan baharu dalam acara ini dan juga beramah mesra dengan abang dan kakak sukarelawan bagi projek ini,” ujarnya.

Ibunya, Cik Norma Supandi, 52 tahun, tukang jahit sambilan, menjelaskan Program Membina Kasi Balik, banyak membantunya membuat persiapan Hari Raya untuk enam anaknya.

Selain beliau, seorang penerima bantuan yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Ahmad Syafiq, 31 tahun, penghantar makanan; dan Cik Siti Nuraisyah Abdullah, 31 tahun, suri rumah; menjelaskan dirinya bersyukur dengan adanya program seperti itu yang membantu dalam meringankan tugas dan kos membuat persiapan Hari Raya.

“Kami baru berpindah ke rumah sewa. Lantas itu, banyak penyesuaian perlu dibuat.

“Apabila ada bantuan sebegini, ia amat bermakna. Sekali gus, ia memberi kegembiraan buat anak kami yang sebelum ini hanya mampu meninjau pakaian baharu dari luar kedai.

“Biasanya, kedai sebegini menjual busana yang agak mahal. Anak-anak hanya mampu tengok sahaja.

“Tapi kali ini, mereka dapat pilih sendiri warna dan gaya yang mereka suka,” ujarnya.

Menurut beliau, memilih sendiri pakaian penting agar anak-anak berasa selesa dan dapat menikmati kemeriahan Hari Raya seperti rakan sebaya lain.

“Kami mahu mereka rasa selesa dengan apa yang mereka pakai dan gembira menyambut Hari Raya,” tambahnya. 

Pengerusi Membina Community, Cik Husna Hussain, berkata kerjasama tersebut bermula daripada perbualan antara rakan masyarakat yang berkongsi matlamat sama.

“Inisiatif ini bukan sekadar memberi baju Raya, tetapi memberi peluang kepada kanak-kanak membuat pilihan sendiri. Ia membina keyakinan diri dan rasa teruja dalam diri mereka,” ujarnya.

Menurut Cik Husna, pengalaman kecil seperti itu juga boleh memberi kesan emosi besar kepada kanak-kanak.

“Apabila kanak-kanak diberi peluang memilih dan dilayan dengan penuh hormat, mereka akan rasa dihargai dan dilihat,” tambahnya.

Sambulan daripada keluarga dan kanak-kanak juga amat menggalakkan, ujar beliau, dengan ramai ibu bapa berkongsi pengalaman tersebut membawa kegembiraan kepada anak-anak serta meringankan beban kewangan keluarga.

“Kami berharap usaha seperti ini dapat terus berkembang sebagai projek bersama masyarakat dalam menyokong lebih banyak keluarga secara bermakna,” katanya.

Seorang sukarelawan, Encik Ahmad Dzafir Ukasyah Abdul Hamid, 20 tahun, pelajar tahun ketiga jurusan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer di Politeknik Ngee Ann (NP), berkata penglibatannya didorong oleh semangat mulia Ramadan dalam memberi kembali kepada masyarakat.

“Ramadan adalah masa untuk muhasabah dan membantu orang lain. Saya mahu pastikan setiap kanak-kanak dapat rasai kegembiraan musim ini,” katanya.

Beliau berharap usaha tersebut dapat memberi kesan yang berpanjangan dalam masyarakat.

“Kami mahu pastikan tiada kanak-kanak yang akan rasa ‘tidak cukup’ pada Hari Raya. Ini merupakan usaha membina kebersamaan dalam masyarakat,” tambahnya.

Inisiatif itu juga mencerminkan bagaimana kerjasama antara pertubuhan masyarakat, sukarelawan dengan rakan kerjasama, dapat mewujudkan pengalaman bermakna buat keluarga sepanjang Ramadan dan Syawal.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg