Topic followed successfully
Go to BHkuPelanggan, pekerja gerai kerjasama jaga kebersihan kedai kopi
Pelanggan, pekerja gerai kerjasama jaga kebersihan kedai kopi
Perjanjian dimeterai pupuk tanggungjawab bersama perkukuh piawaian kebersihan awam
Pelanggan, pekerja gerai kerjasama jaga kebersihan kedai kopi
Para pelanggan boleh menjangkakan pengalaman makan di kedai kopi yang lebih bersih dan selesa berikutan kerjasama pelanggan bersama pekerja gerai makan dalam mengekalkan piawaian kebersihan di kedai kopi merata Singapura.
Ini hasil daripada perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai oleh Majlis Kebersihan Awam (PHC) bersama Persatuan Peniaga Bar dan Restoran Kopi Foochow di bangunan Foochow yang terletak di kawasan Lavendar pada 31 Mac.
Di bawah MOU tersebut antara usaha yang dijalankan ialah penampalan pelekat serta bunyi lagu iklan promosi atau jingle di lebih 400 kedai kopi, bagi memberi peringatan visual selain audio tentang penjagaan kebersihan kedai kopi.
Malah usaha menampal pelekat tersebut telah pun bermula pada 30 Mac.
Bercakap kepada pihak media selepas menandatangani MOU tersebut, Pengerusi Persatuan Peniaga Bar dan Restoran Kopi Foochow, Encik Hong Poh Hin berkata:
“Kedai kopi telah menjadi sebahagian daripada fabrik sosial Singapura yang diraikan sekian lama.
“Kami berbesar hati untuk menandatangani MOU yang merasmikan kolaborasi ini.
“Melalui MOU ini, kita akan bekerjasama bagi mengukuhkan piawaian kebersihan awam dan memupuk rasa bertanggungjawab bersama dalam memastikan kebersihan kedai kopi kita.”
Inisiatif itu diadakan sebagai sebahagian daripada persediaan awal bagi kempen ‘Jadikan Singapura Bersih’ yang bakal dilancarkan pada 19 April.
Salah seorang pembantu gerai kedai kopi FoodHub di 150 Towner Road, yang terletak di kawasan Kallang/Whampoa, Encik Muhammad Hanafi Kamsan, 33 tahun, berkata usaha terbaru itu telah meningkatkan ketangkasan beliau dan para pekerja lain dalam memastikan kebersihan di gerai dan sekitar kedai kopi itu.
Pembantu gerai Fusion Western Cuisine itu berkongsi:
“Ini merupakan satu usaha yang baik bagi menjaga kedai kopi yang dikunjungi ramai pelanggan.
“Saya dan para pekerja lain akan terus mengambil pendekatan ‘bersihkan selepas guna’.
“Jadi selepas masak dan selepas hidang makanan, kita akan bersihkan kawasan itu serta merta.
“Dengan adanya pelekat peringatan ini juga, ia akan terus menjadi peringatan kepada kami (pembantu gerai) dan pelanggan agar sentiasa sedar dan peka untuk menjaga kebersihan kedai kopi.”
Menurut Pengarah Eksekutif PHC, Dr Christina Liew, pihaknya akan menugaskan beberapa sukarelawan untuk memantau dan mengingatkan pelanggan di beberapa kedai kopi, agar menjaga kebersihan, demi memastikan kelancaran usaha dalam menggalakkan tanggungjawab menjaga kebersihan secara kolektif.
“Para sukarelawan itu akan memerhatikan kebersihan kawasan kedai kopi tersebut serta memberi peringatan mesra kepada para pelanggan agar membersihkan kawasan selepas guna,” jelas beliau.
Selain daripada usaha penjagaan kebersihan di kedai kopi, orang ramai boleh menjangkakan lagi banyak program oleh PHC pada 2026.
Malah, pihak PHC akan memperluaskan kolaborasi dengan banyak lagi rakan kerjasama bagi memacu banyak lagi usaha sepanjang 2026.


