Negara yang melakukan perancangan awal, seperti mempelbagaikan sumber bekalan mereka, berada pada kedudukan lebih baik untuk menangani kejutan luaran seperti gangguan dalam pasaran minyak, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 11 Mei.

“Gangguan dalam pasaran minyak dan gas global telah menunjukkan betapa pantasnya kejutan luaran boleh memberi kesan kepada negara, perniagaan dan isi rumah,” kata beliau sambil merujuk kepada perkembangan terbaru dunia.

Kesan tersebut boleh dirasai melalui kos elektrik dan pengangkutan yang lebih tinggi, peningkatan kos operasi bagi perniagaan, serta harga barangan keperluan harian yang lebih mahal.

Negara yang telah mempelbagaikan sumber bekalan, memperkukuh sistem mereka dan membuat penyelarasan di peringkat nasional “berada pada kedudukan lebih baik untuk menangani kejutan sedemikian”, tambah Encik Gan.

Perancangan awal yang sama juga diperlukan bagi tindakan iklim.

“Meskipun tindakan iklim mula goyah di sesetengah negara, kesan perubahan iklim tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan semakin perlahan.

“Fizik perubahan iklim tidak akan terhenti hanya kerana perhatian global beralih ke arah lain. Ini sebabnya Singapura mesti kekal pada landasan yang ditetapkan,” katanya.

Berucap dalam majlis pelancaran Ayuh Hijau SG 2026 yang diadakan di Sekolah Rendah Naval Base, Encik Gan menekankan kepentingan daya tahan dalam menangani kesan perubahan iklim.

Ayuh Hijau SG merupakan gerakan tahunan yang diterajui Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) untuk menggembleng rakyat, perniagaan dan masyarakat bagi mengambil tindakan bersama ke arah Singapura yang lebih mampan dan berdaya tahan terhadap iklim.

Berlangsung dari 11 Mei hingga 28 Jun, gerakan hijau edisi 2026 ini menampilkan lebih daripada 1,000 kegiatan yang dianjurkan oleh sekitar 500 rakan kerjasama, dengan beberapa daya usaha yang menyasarkan kesedaran mengenai adaptasi iklim.

“Ketahanan iklim memerlukan masa untuk dibina. Ia menuntut perancangan jangka panjang, pelaburan yang mampan, serta perubahan tabiat dalam kalangan masyarakat,” kata Encik Gan.

Pelan Adaptasi Kebangsaan yang pertama oleh pemerintah dijangka dilancarkan pada 2027. 

Ia bakal berfungsi sebagai rangka kerja jangka panjang yang dinamik untuk bersiap sedia menghadapi risiko iklim – daripada cuaca panas dan banjir hingga masalah kekurangan sumber air dan kenaikan paras laut, tambah beliau.

“Pelan Adaptasi Kebangsaan ini akan membantu kita meneliti bagaimana kediaman, tempat kerja, sekolah, prasarana dan masyarakat kita boleh membuat persiapan lebih baik,” katanya.

Beliau menambah, pemerintah juga telah menetapkan 2026 sebagai Tahun Adaptasi Iklim. 

MSE sebelum ini telah mengumumkan siri daya usaha baru bagi menangani ancaman seperti cuaca panas melampau dan kenaikan paras laut semasa perbahasan Belanjawan pada 3 Mac.

Menurut Encik Gan, perniagaan perlu menilai risiko iklim masing-masing, merangka pelan kesinambungan perniagaan dan melabur dalam strategi adaptasi yang sesuai. 

Ini kerana kesan perubahan iklim boleh membawa cabaran serius seperti gangguan rantaian bekalan atau menjejaskan operasi.

Syarikat yang lebih berdaya tahan, cekap sumber dan peka terhadap iklim akan menjadi lebih berdaya saing serta berada pada kedudukan lebih baik untuk beroperasi dalam dunia yang semakin tidak menentu, katanya.

Masyarakat dan sekolah juga memainkan peranan penting dalam membina ketahanan iklim.

“Sokongan kuat masyarakat akan membantu kita bertindak lebih baik terhadap cuaca panas, banjir, jerebu, denggi, dan risiko berkaitan iklim yang lain,” kata Encik Gan.

Beliau menambah bahawa sekolah membantu pelajar memahami bahawa perubahan iklim bukan satu konsep abstrak, tetapi sesuatu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian serta mencorak masa depan mereka.