Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar tertarik bahan berciri visual, interaktif; waris hargai pembelajaran berteras nilai

Jan 10, 2026 | 5:30 AM
Pengurus di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Darul Andalus, Cik Raudha Abdullah (kiri), dan Pengarah Eksekutif Darul Andalus, yang juga ahli Pasukan Petugas Transformasi Digital (DTT) Darul Andalus, Cik Khaafizah Md Hanif, memastikan kandungan buku teks, buku kerja dan wadah dalam talian e-pendidikan yang dihasilkan Darul Andalus sesuai dengan pelajar Singapura yang mengikuti kelas agama secara sambilan di pusat pengajian Islam Andalus dan Cordova.
Pengurus di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Darul Andalus, Cik Raudha Abdullah (kiri), dan Pengarah Eksekutif Darul Andalus, yang juga ahli Pasukan Petugas Transformasi Digital (DTT) Darul Andalus, Cik Khaafizah Md Hanif, memastikan kandungan buku teks, buku kerja dan wadah dalam talian e-pendidikan yang dihasilkan Darul Andalus sesuai dengan pelajar Singapura yang mengikuti kelas agama secara sambilan di pusat pengajian Islam Andalus dan Cordova. - Foto ihsan CIK KHAAFIZAH MD HANIF

Bahan pengajian bukan sekadar produk penerbitan. Ia juga merupakan satu amanah pendidikan dan komitmen jangka panjang untuk membina generasi Muslim berilmu dan berakhlak mulia.

Ini dilaksanakan demi memastikan pendidikan Islam kekal relevan dalam dunia moden dan menyokong guru, waris serta pelajar dalam satu ekosistem pembelajaran seimbang.

Justeru, syarikat penerbitan Darul Andalus memastikan kandungan buku teks, buku kerja dan wadah dalam talian e-pendidikan yang dihasilkannya sesuai dengan pelajar Singapura yang mengikuti kelas agama secara separuh masa di pusat pengajian Islam Andalus dan Cordova.

Di dua pusat pengajian Islam itu, pembelajaran disusun agar seimbang antara ilmu, amalan harian dan nilai yang dipegang dan mudah difahami dan dapat membentuk sahsiah pelajar. Bahasa yang mudah, sokongan visual dan contoh relevan digunakan bagi memudahkan kefahaman. 

Dengan masa pembelajaran yang terhad, kandungan bahan pembelajaran Darul Andalus difokuskan pada perkara asas yang penting. Justeru, bahan buku dan digital itu diselaraskan agar pengalaman pembelajaran kekal konsisten. 

Ini dijelaskan Pengarah Eksekutif Darul Andalus yang juga ahli Pasukan Petugas Transformasi Digital (DTT) syarikat itu, Cik Khaafizah Md Hanif, semasa menerangkan tentang perkara yang dipertimbangkan dalam menghasilkan kandungan bagi bahan pengajian terbitan Darul Andalus.

Darul Andalus telah menerbitkan bahan pengajian dalam bentuk buku teks, buku kerja dan e-pendidikan selama lebih 20 tahun, dengan saetiap satunta telah melalui penambahbaikan secara berperingkat. 

Bagi bahan pembelajaran berbentuk buku, kandungannya telah dikemas kini bagi memastikan kesahihan dan kejelasan fakta. Ia juga telah menjalani penambahbaikan dari segi reka bentuk, reka letak dan ilustrasi serta penyesuaian latihan dan contoh agar lebih dekat dengan realiti pelajar hari ini. Darul Andalus juga akur perubahan demografi, bahasa dan gaya pembelajaran pelajar menuntut semakan kurikulum lebih menyeluruh dan ia kini sedang melaksanakan semakan tersebut secara berfasa.

Bahan e-pendidikan pula telah melalui beberapa fasa penambahbaikan, termasuk penambahan video animasi dan kuiz interaktif; penyesuaian kandungan dari segi fakta, bahasa dan struktur; dan penyesuaian berdasarkan maklum balas guru, pelajar dan waris. 

Setiap penambahbaikan bahan e-pendidikan melalui semakan dan bimbingan pakar kurikulum serta pedagogi bagi memastikan kandungannya kekal tepat, sesuai dan berkesan untuk pembelajaran pelajar.

Bagi memastikan bahan pengajian menarik buat pelajar, ia telah diterapkan dengan ciri-ciri interaktif. Antaranya, ia merangkumi teks ringkas dan gambar rajah dalam buku, latihan berperingkat dan soalan refleksi, aktiviti praktikal melibatkan waris dan pelajar serta video animasi dan kuiz interaktif. 

Ciri-ciri tersebut bertujuan mengaktifkan pelajar secara kognitif dan emosi, daripada sekadar membaca, mendengar dan menghafal.

Usaha Darul Andalus dalam menghasilkan bahan pengajian kreatif dan inovatif disambut baik oleh waris dan pelajar. 

Cik Khaafizah berkata: “Secara umum, maklum balas yang diterima menunjukkan bahawa waris menghargai struktur pembelajaran jelas dan berteraskan nilai. Pelajar juga lebih responsif apabila bahan disampaikan secara visual dan interaktif. 

“Namun, ada permintaan agar bahasanya dipermudah dan kandungannya diringkaskan, dan maklum balas itu menjadi input penting dalam semakan kurikulum dan pembangunan bahan baru.

“Selain itu, waris mendapati bahawa pelajar lebih tertarik apabila kandungan dikaitkan dengan kehidupan harian mereka; ada elemen cerita, contoh situasi dan watak; pembelajaran tidak terlalu panjang dan bersifat sehala; dan mereka diberi ruang untuk berfikir, bertanya dan berinteraksi.”

Beliau menambah bahawa dalam dunia yang sarat dengan rangsangan digital sekarang, pembelajaran statik mudah kehilangan perhatian pelajar. 

Justeru, Darul Andalus akur bahan pengajian mesti kekal kreatif bagi membantu pelajar kekal fokus dan bermotivasi. 

Bahan pengajian kreatif juga boleh menjadikan pembelajaran agama lebih bermakna, menyokong pelbagai gaya pembelajaran dan menggalak penghayatan nilai, dan bukan sekadar pengetahuan. 

“Bahan pengajian Darul Andalus telah digunakan secara meluas serta diterima baik oleh guru dan waris selama bertahun-tahun. Selain digunakan pada peringkat tempatan, sebahagian buku teks kami turut mendapat sambutan baik daripada beberapa pengedar buku dan sekolah antarabangsa di luar negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Kemboja, Thailand, Jepun dan Maldives. 

“Pengiktirafan utama ialah kepercayaan berterusan masyarakat, serta penggunaan bahan ini sebagai rujukan utama dalam pendidikan Islam pada peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata Cik Khaafizah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg