Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar madrasah tawan kelemahan Sains, catat keputusan cemerlang PSLE

Muncul antara 10 murid terbaik kohortnya di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah
Nov 25, 2025 | 9:19 PM
Eshal Nimerah Muhd Yasin, psle, madrasah wak tanjong
Bagi Eshal Nimerah Muhd Yasin, keputusan baiknya dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) membuktikan kegigihan serta dorongan untuk terus belajar dapat mengubah kelemahan menjadi kekuatan. - Foto ihsan NUR SYAFIQAH IBRAHIM

Bagi Eshal Nimerah Muhd Yasin, menghadapi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2025 bukanlah laluan yang mudah, terutama dengan kelemahan dalam mata pelajaran Sains.

Ini kerana Sains ialah subjek asas yang perlu dikuasai untuk ke peringkat menengah.

Namun bagi Eshal, 12 tahun, ia merupakan mata pelajaran paling mencabar buatnya.

Eshal yang diwawancara Berita Harian (BH), menyifatkan dirinya sebagai seorang yang “pemalu tetapi berdaya saing”.

“Saya memang seorang pelajar yang pemalu, tetapi saya bertekad ingin cuba cari jalan bila berdepan dengan cabaran,” kata Eshal.

Justeru, penglibatannya dalam pelbagai kegiatan seperti Pertandingan Drama Sains Antarabangsa, anjuran Pusat Sains Singapura, pada 2025 telah memaksanya keluar dari zon selesa dan mendalami pembelajaran menerusi kegiatan amali.

Kerja kerasnya membuahkan hasil apabila dia tersenyum lebar menerima keputusan PSLE di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah pada 25 November.

Malah, dia tersenarai antara 10 murid terbaik dalam kohortnya, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan hanya beberapa bulan lalu.

Menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), sebanyak 99.1 peratus murid madrasah dinilai layak untuk ke sekolah menengah.

Empat madrasah itu ialah Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

Keempat-empat madrasah yang menawarkan pendidikan sekolah rendah akan mengekalkan status “sekolah yang ditetapkan” di bawah Akta Pendidikan Wajib (CE) bagi 2026, tambah kenyataan itu.

Bagi Eshal, kejayaan itu membuktikan kegigihan serta dorongan untuk terus belajar dan mengubah kelemahan menjadi kekuatan.

Malah, dia berkata persiapan menghadapi peperiksaan menjadi satu pengalaman penting yang menjadikan dirinya lebih yakin dan berani mencuba perkara baru.

“Dulu saya cepat panik bila belajar Sains sebab banyak konsep yang saya tak faham,” ujarnya.

Namun, dia bersyukur kerana menerima sokongan padu daripada keluarga, khususnya ibunya, Cik Nur Syafiqah Ibrahim, 39 tahun, yang sentiasa berada di sisi setiap kali dia berasa buntu atau tertekan.

“Walaupun saya pemalu, ibu selalu yakinkan saya boleh cuba lagi dan cari jalan sendiri,” kata Eshal, sambil menambah sokongan ibu bapanya menjadi pendorong terbesar sepanjang persiapan PSLE.

Cik Syafiqah, seorang suri rumah sepenuh masa berkata, beliau telah melihat perkembangan baik dalam anak sulung empat beradik itu.

“Tahun ini (2025), dia lebih berdikari, bertanggungjawab dalam pelajarannya dan berani mencuba,” kata Cik Syafiqah.

Ayah Eshal, Encik Muhammad Yasin Tahir, 40 tahun, membantu membimbingnya dalam Matematik di rumah.

“Kami sekeluarga hanya mahu dia tahu usaha itu lebih penting daripada keputusan dan kami ingin dorong dia dari segi itu,” kata Pegawai Teknikal di SP Group itu.

Kini, selepas menerima keputusan PSLE yang memberangsangkan, Eshal bersedia memulakan perjalanan baru di sekolah menengah.

“Saya amat menghargai segala sokongan yang telah diberikan. Saya kini lebih berani untuk keluar dari zon selesa demi mencapai matlamat saya,” kata Eshal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg