Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelabur dapati tidak susah kira, bayar zakat

Guna platform Zakat.SG, tidak pernah rasa rugi atau harta berkurang sejak tunaikan kewajipan
Nov 29, 2025 | 5:30 AM
Encik Muhammad Ghazalie Md Yaakop, 31 tahun, menyatakan zakat akan lebih mudah ditunaikan jika orang ramai memahami tujuan wang itu disalurkan dan kesannya kepada masyarakat.
Encik Muhammad Ghazalie Md Yaakop, 31 tahun, menyatakan zakat akan lebih mudah ditunaikan jika orang ramai memahami tujuan wang itu disalurkan dan kesannya kepada masyarakat. - Foto ihsan MUHAMMAD IZWAN RAHIM

Selepas beberapa tahun terlibat aktif dalam pelaburan mata wang kripto patuh syariah, Encik Muhammad Ghazalie Md Yaakop, 31 tahun, akhirnya mampu menunaikan zakat ke atas aset pelaburannya yang berkembang melebihi nisab.

Semasa tempoh Covid-19, Encik Ghazalie mula mendalami dunia kewangan melalui saluran media sosial YouTube, dan melakukan kajian sendiri, khususnya tentang saham dan mata wang kripto patuh syariah.

Berbekalkan ilmu yang diperolehi, pemilik syarikat Infidow Pictures itu mula menceburi pasaran saham pada 2020.

Berbekalkan modal permulaan antara $20,000 hingga $30,000, beliau menumpukan perhatian terhadap saham syarikat teknologi gergasi, sambil menambah pelaburannya sebanyak $300 hingga $500 sebulan.

TEMUI PLATFORM ZAKAT.SG

Setelah berkongsi mengenai pelaburannya dengan ibu beliau pada akhir 2021, Encik Ghazalie menerima nasihat daripada ibunya supaya menunaikan zakat.

Menyusuli itu, beliau gigih mencari panduan mengenai pengiraan zakat, dan kemudiannya menemui platform Zakat.SG.

Encik Ghazalie berkata beliau amat bersyukur kerana platform Zakat.SG memudahkan urusan pengiraan serta pembayaran zakatnya.

Sejak itu, beliau menunaikan zakat secara konsisten bermula 2022.

Perjalanan beliau menunjukkan bahawa kejayaan pelaburan dan tanggungjawab agama boleh berjalan seiring, sekali gus dapat menjadi contoh kepada golongan muda yang ingin berjinak-jinak dalam dunia pelaburan.

TUNAI ZAKAT BUKAN KERUGIAN

Ketika ditemui, Encik Ghazalie berkata beliau melihat zakat sebagai satu kewajipan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam kalangan masyarakat.

“Saya sedar bahawa harta yang dimiliki kita bukanlah milik kita sepenuhnya. Sebaliknya, ia satu amanah yang wajar dikongsi bersama golongan yang kurang berkemampuan.

“Zakat akan lebih mudah ditunaikan jika orang ramai memahami tentang tujuan wang zakat serta kesannya kepada masyarakat.

“Apabila anda nampak sendiri manfaatnya, anda akan lebih ikhlas ketika menunaikan zakat,” kata Encik Ghazalie.

JANGAN KELIRU TENTANG ZAKAT PELABURAN

Dalam perkongsiannya, beliau turut berkata bahawa masih ramai salah faham tentang zakat pelaburan.

Menurutnya, ramai orang tidak menyedari bahawa zakat perlu dikeluarkan ke atas pelaburan seperti saham sekiranya ia memenuhi syarat-syarat, antaranya tempohnya cukup haul (setahun) dan jumlahnya mencapai nisab (jumlah minimum yang dikenakan zakat).

Sebahagian individu beranggapan zakat tidak perlu dibayar sekiranya saham belum dijual atau tidak menghasilkan keuntungan.

Ada juga tanggapan zakat tidak wajib dikeluarkan disebabkan keadaan pasaran yang tidak menentu.

Encik Ghazalie mengatakan salah faham ini menyebabkan ramai terlepas pandang tanggungjawab sebenar dalam pengurusan harta.

Sebagai panduan, beliau mencadangkan orang ramai mendapatkan pandangan pakar untuk memahami keperluan membayar zakat dan mengurus harta secara patuh syariah, antaranya menerusi laman zakat.sg.

“Alhamdulillah, sepanjang menunaikan zakat, saya tidak pernah berasa rugi atau kurang harta, malah yakin bahawa keberkatan akan datang bersama amalan tersebut,” ujarnya.

PELABURAN HALAL, ZAKAT BERKAT

Bagi mereka yang ingin menunaikan zakat, Encik Ghazalie menekankan bahawa pelaburan perlu dibuat secara halal agar zakat yang dibayar mendapat keberkatan.

“Melaburlah dalam bidang atau instrumen halal. Sebelum membuat pelaburan, pastikan anda membuat kajian terlebih dahulu.

“Dengan itu, anda yakin bahawa wang anda dilaburkan di tempat yang betul,” pesannya.

Orang ramai juga digalak berbincang dengan ejen insurans atau penasihat kewangan mereka untuk memastikan pelaburan mereka benar-benar selamat dan patuh syariah.

SEKILAS

Ketahui jenis zakat di https://www.zakat.sg/ms/utama/ dan tunaikan tanggungjawab zakat anda di https://pay.zakat.sg

Kunjungi mana-mana pusat kutipan zakat yang sah di masjid berdekatan untuk tunaikan zakat. Dapatkan senarai pusat di https://www.zakat.sg/ms/lokasi.

Untuk sebarang pertanyaan, e-mel kepada info@muis.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg