SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pekerja sosial sahut cabaran berbakti kepada golongan demensia

Pekerja sosial sahut cabaran berbakti kepada golongan demensia

Cipta program penjagaan guna pendekatan psikosial, antara penerima Anugerah Kerja Sosial Cemerlang (OSWA) 2026
Mar 27, 2026 | 4:30 PM

Pekerja sosial sahut cabaran berbakti kepada golongan demensia

Anugerah Kerja Sosial Cemerlang (OSWA), pekerja sosial,  Re²Ignite
Pekerja sosial kanan perubatan, Cik Nur Sahara Kamsani (tengah), bersama pekerja sosial perubatan, Cik Siti Aisyah Ismail (kanan) dan Cik Louisa Bielig dari Hospital Ren Ci, antara lima kumpulan pekerja sosial yang menerima Anugerah Kerja Sosial Cemerlang (OSWA) 2026 pada 27 Mac, di Dewan Flower Field, Gardens by the Bay. - Foto ZAOBAO

Membantu warga emas yang bergelut dengan demensia untuk berkomunikasi dan kembali berhubung dengan keluarga mereka, kekal sebagai satu cabaran besar bagi pekerja sosial.

Namun, pekerja sosial kanan perubatan, Cik Nur Sahara Kamsani, bersama pekerja sosial perubatan, Cik Siti Aisyah Ismail dan Cik Louisa Bielig dari Hospital Ren Ci, berjaya mengatasi cabaran itu setelah mencipta program penjagaan yang lebih menyeluruh.

Dinamakan Re²Ignite, program tersebut mengamalkan pendekatan psikososial dengan memberi tumpuan kepada rawatan melalui hubungan sosial dan emosi, di samping melibatkan penjaga secara aktif serta menggabungkan intervensi berasaskan deria.

Keberkesanan Re²Ignite sejak ia dilancarkan pada 2019, melayakkan kumpulan itu menjadi antara lima penerima Anugerah Kerja Sosial Cemerlang (OSWA) 2026 pada 27 Mac.

Majlis pengiktirafan anjuran Persatuan Pekerja Sosial Singapura (SASW) itu diadakan sempena dengan edisi ke-10 Hari Kerja Sosial 2026, di Dewan Flower Field, Gardens by the Bay.

Hadir sebagai tetamu istimewa ialah Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Turut hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di samping Presiden SASW, Encik Chan Whee Peng.

Antara perkara yang diketengahkan oleh Encik Zhulkarnain, adalah menekankan kepentingan usaha berterusan pekerja sosial dalam menepati keperluan golongan rentan yang lebih kompleks.

Beliau berkata:

“Kekuatan sebenar terletak pada cara pekerja sosial kita bekerjasama, termasuk dengan karyawan lain.

“Pasukan pelbagai disiplin ini menunjukkan kemampuan kolektif dalam membawa perubahan.

“Bersama-sama, mereka memastikan setiap intervensi dan kerjasama menyumbang kepada usaha memutuskan rantaian ketidakadilan dan membuka peluang baharu.”

Beliau juga mengalu-alukan lebih ramai pekerja sosial, termasuk agensi perkhidmatan sosial (SSA), untuk memanfaatkan geran oleh pemerintah, serta teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk memperkukuhkan bantuan masing-masing.

Encik Zhulkarnain turut meraihkan pembaharuan anugerah itu, yang kini merangkumi kategori OSWA (Amalan) dan OSWA (Amalan dan Penyelidikan).

Menurutnya, fokus baharu itu akan meningkatkan kesedaran khalayak ramai mengenai inisiatif kerja sosial cemerlang yang telah membawa banyak manfaat.

Re²Ignite antara tiga kumpulan yang menerima anugerah OSWA (Amalan), dengan dua lagi kumpulan daripada Khidmat Sosial Fei Yue dan Khidmat Kanak-kanak dan Belia SHINE, yang masing-masing menangani isu kenakalan dan pengasingan antara golongan remaja.

Sementara itu, OSWA (Amalan dan Penyelidikan) menghargai dua kajian cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan remaja serta pemulihan wanita yang meninggalkan pasangan yang bersikap ganas.

Semua pemenang menerima sijil dan plak, serta geran wang sebanyak $5,000 yang ditaja oleh ExxonMobil Asia Pacific Pte. Ltd, yang telah menyokong SASW selama 25 tahun.

Cik Sahara, yang aktif dalam melestarikan Re²Ignite dari 2017 hingga 2019, berkata program mereka menangani isu pendekatan penjagaan demensia yang berlainan serta kurang penglibatan penjaga.

“Dalam kalangan pesakit demensia, sesetengah individu masih boleh bercakap, manakala ramai lagi tidak boleh lagi bertutur.

“Ia mencabar bagi golongan ini (untuk berinteraksi) bersama keluarga mereka,” tambahnya.

Lantas, Re²Ignite memberi rawatan yang lebih tuntas. Mereka menawarkan pelbagai program bersesuaian dengan tahap demensia berbeza, termasuk Spark of Life untuk tahap lanjut, terapi seni untuk tahap sederhana, program memulihkan hubungan OASIS 2R untuk peringkat awal hingga sederhana, dan Sentuhan Kasih Sayang (Loving Touch) untuk tahap lanjut atau akhir hayat.

Sejak diperkenalkan, Re²Ignite telah menyokong 238 individu yang bergelut dengan demensia, 95 penjaga dan 247 kakitangan penjagaan.

Hasil program menunjukkan peningkatan purata sebanyak 12 peratus dalam skor kesejahteraan serta kadar kepuasan penjaga mencecah 98 peratus.

Para peserta juga menunjukkan peningkatan berterusan dalam pengawalan emosi, kestabilan mood, respons sosial, tujuan hidup serta penglibatan dalam aktiviti harian.

Pendekatan Re²Ignite turut telah dikongsi di pelbagai platform lain di Singapura dan peringkat antarabangsa.

Cik Louisa mengimbau kembali peristiwa baru-baru ini dalam membantu pesakit yang tidak boleh bertutur mengingat kembali masa lalunya sebagai guru piano.

“Kami meletakkan jari beliau ke atas piano dan membimbingnya membuat bunyi.

“Sekitar 30 saat kemudian, beliau mula tersenyum dan mula memainkan lagu-lagu ringkas secara sendiri,” kongsi Cik Louisa.

Namun, mereka mengakui tidak semua sesi membuahkan hasil.

Dalam keadaan sedemikian, pasukan itu tidak menganggapnya sebagai kegagalan, sebaliknya sebagai dorongan.

“Kenangan sentiasa di situ dan bukan terhilang. Kami tidak akan berputus asa untuk menghidupkan semula kenangan itu,” tegas Cik Sahara.

Mereka juga bersyukur kepada kepimpinan Hospital Ren Ci, yang sabar dan bersifat terbuka kepada pendekatan rawatan baru Re²Ignite.

“Program ini memerlukan masa untuk menunjukkan hasil, seperti pesakit dan keluarga yang lebih gembira. Kami bersyukur pihak kepimpinan terbuka menyokong pendekatan ini, termasuk menghantar kami ke Australia untuk mempelajari asasnya,” tambahnya.

Susulan menerima anugerah OSWA, kumpulan itu berharap pendekatan Re²Ignite akan diperluaskan dan diterapkan oleh lebih institusi penjagaan demensia.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg