SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pekerja migran jadi imam, semarak Ramadan di dormitori Westlite Woodlands

Pekerja migran jadi imam, semarak Ramadan di dormitori Westlite Woodlands

Muis: 230 penghuni dormitori dibenarkan jadi imam sehingga Februari 2026, lalui proses pemilihan ketat
Mar 2, 2026 | 5:30 AM

Pekerja migran jadi imam, semarak Ramadan di dormitori Westlite Woodlands

Singapore, Westlite Woodlands, migrant workers, Ramadan
Encik Yeasin Muhammad (kanan) dan Encik Muhammad Shahadat (kiri) antara empat imam di dormitori Westlite Woodlands, yang menjalankan solat jemaah serta kegiatan keagamaan lain. Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), terdapat sekitar 230 imam dormitori setakat Februari 2026. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

Menjelang Ramadan saban tahun, masjid dan beberapa ruang awam di Singapura dipenuhi jemaah yang menunaikan solat tarawih.

Di dormitori seperti Westlite Woodlands pula, yang menempatkan kira-kira 1,500 penduduk Muslim, beberapa penduduk tampil melaksanakan ibadah itu.

Antara mereka yang berbuat demikian ialah Encik Yeasin Muhammad, 28 tahun, salah seorang daripada empat imam di Westlite Woodlands.

Setiap malam, beliau, yang bekerja sebagai penyelia kerja mekanikal, memimpin sehingga 180 anggota jemaah tarawih di dewan serba guna dormitori itu.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Encik Yeasin berkata beliau berasa berbesar hati memimpin masyarakat di ‘rumah keduanya’, malah peranan itu juga melegakan tekanan.

Rasa gembira turut menenangkan kerinduan terhadap anak lelakinya, yang kini berusia sembilan bulan.

“Kadangkala, tekanan kerja dan urusan lain membebankan. Saya menanti peluang beribadah dan menjalankan tugas ini kerana ia melegakan saya,” ujar Encik Yeasin.

“Dormitori ini ibarat rumah kedua dan saya terharu diberi peluang istimewa membimbing rakan-rakan di sini,” tambahnya.

Encik Yeasin mula bekerja di Singapura sejak 2021 dan mendapat kelulusan menjadi imam dormitori itu pada 2024.

Sebelum itu, beliau melalui sesi temu duga untuk pengesahan kelayakan, termasuk membaca surah dan menyampaikan khutbah.

Di Bangladesh, Encik Yeasin pernah mengambil kursus keagamaan selama sekitar dua tahun, yang setaraf dengan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’.

Encik Yeasin melaungkan azan sempena majlis iftar anjuran perusahaan sosial yang menawarkan makanan halal kepada pekerja migran berpendapatan rendah, F-fry pada 22 Februari di dormitori Westlite Woodlands.
Encik Yeasin melaungkan azan sempena majlis iftar anjuran perusahaan sosial yang menawarkan makanan halal kepada pekerja migran berpendapatan rendah, F-fry pada 22 Februari di dormitori Westlite Woodlands. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

Mengulas lebih lanjut pertanyaan BH, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata imam dormitori melalui proses pemilihan yang teliti dan ketat sebelum dilantik.

Muis berkata:

“Pengendali dormitori yang mendapat permintaan untuk mengadakan solat berjemaah akan mengenal pasti penduduk yang sesuai (sebagai calon imam) untuk dirujukkan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

“Seterusnya, MOM akan menjadualkan sesi temu duga antara calon dan Pegawai Dakwah Masjid (MRO). Calon yang dinilai layak oleh MRO akan disyorkan kepada Pejabat Mufti untuk pengesahan.

“Setelah itu, MOM akan memaklumkan pengendali dormitori mengenai penduduk yang berjaya dilantik sebagai imam.”

Terdapat sekitar 230 imam dormitori di setakat Februari 2026, tambah Muis.

Tanggungjawab utama imam tersebut adalah menjalankan solat jemaah untuk penduduk di dormitori dan pusat rekreasi.

Semasa Ramadan, Encik Yeasin dan imam lain di Westlite Woodlands menjalankan dua sesi solat tarawih.

Sesi pertama pada 8 45 malam merangkumi sekitar 180 anggota jemaah, manakala sesi kedua pada 10 malam pula buat 120 anggota jemaah.

Mereka juga menjalankan pelbagai kegiatan keagamaan dan kesejahteraan.

“Setiap malam, kami mengadakan kelas membaca Al-Quran selama 30 minit. Setiap imam membimbing tiga hingga empat orang,” katanya.

Encik Yeasin turut meluangkan masa berbual bersama para penduduk di situ pada waktu malam.

“Kami berkongsi perasaan, seperti rasa rindu atau masalah keluarga. Kami saling menenangkan diri, serta memberi nasihat,” katanya.

Setakat ini, pengalaman Encik Yeasin sebagai imam berjalan lancar berkat kerjasama dan bersikap tolak ansur jemaah.

Beliau juga bersyukur atas sokongan berterusan oleh jawatankuasa Westlite Woodlands.

“Saya terharu mereka menyediakan kemudahan untuk menunaikan ibadah serta menghias kawasan untuk pelbagai musim perayaan, termasuk Hari Raya,” tambahnya.

Jurucakap Dormitori Westlite menekankan komitmen mereka terhadap menyediakan ruang yang selesa dan mesra untuk penduduk beragama Islam, terutama semasa Ramadan.

“Kami menyediakan ruang khas untuk solat tarawih di semua 10 dormitori kami di Singapura, melantik imam bertauliah serta menghias ruang dormitori untuk menghidupkan suasana meriah.

“Dormitori Westlite juga bekerjasama dengan pelbagai badan tanpa untung bagi menyokong keperluan penduduk kami.

“Kami ingin memastikan penduduk dapat beribadah semasa Ramadan dengan selesa,” katanya.

Encik Muhammad Shahadat, 46 tahun dan bekerja dalam bidang pengubahsuaian, merupakan seorang lagi imam di sana, berkata:

“Saya sangat gembira kerana layak memimpin masyarakat Islam di dormitori bersama-sama.”

Dalam pada itu, Muis menambah bahawa mereka sedang membangunkan program untuk terus melibatkan diri dengan imam dormitori.

Antaranya ialah Program Peningkatan Kemahiran Imam Dormitori yang sedang dirancang bersama Masjid Assyakirin.

Lebih maklumat akan dikongsi oleh Muis pada masa depan.

Encik Muhammad Shahadat (kanan) semasa menjadi imam semasa solat tarawih di dormitori Westlite Woodlands pada 22 Februari.
Encik Muhammad Shahadat (kanan) semasa menjadi imam semasa solat tarawih di dormitori Westlite Woodlands pada 22 Februari. -
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg