SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pasukan bertindak baru tumpu pada peralihan hidup golongan kurang upaya

Pasukan bertindak baru tumpu pada peralihan hidup golongan kurang upaya

Bidang tumpuan termasuk latihan pekerjaan, sokongan kewangan bagi keluarga
Mar 25, 2026 | 8:17 PM

Pasukan bertindak baru tumpu pada peralihan hidup golongan kurang upaya

orang kurang upaya, peralihan hidup, latihan pekerjaan
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, bersama pelajar di Minds Regional Hub pada 25 Mac. - Foto ST

Kebimbangan terhadap peralihan daripada alam persekolahan ke alam pekerjaan, perkhidmatan masyarakat, atau antara satu pekerjaan dengan pekerjaan lain, merupakan antara kebimbangan utama bagi orang kurang upaya (PWD) serta penjaga mereka.

Pasukan Bertindak Jaminan bagi Keluarga dengan Orang Kurang Upaya berharap dapat memberi lebih banyak jaminan dan sokongan dalam aspek ini, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, pada 25 Mac.

Dalam kemas kini pertamanya sejak pasukan bertindak itu ditubuhkan pada Disember 2025, Encik Goh, yang merupakan pengerusi pasukan bertindak itu, menggariskan secara umum bidang tumpuan utama mereka.

Ia termasuk latihan pekerjaan, pembelajaran sepanjang hayat dan sokongan kewangan bagi keluarga dengan PWD.

Usulan pasukan bertindak itu akan didedahkan kepada orang ramai pada separuh kedua 2026, kata Encik Goh kepada wartawan pada sesi penglibatan di Minds Regional Hub di Woodlands.

Dalam beberapa bulan awal penubuhan pasukan bertindak ini, mereka telah bertemu dengan pihak berkepentingan, seperti sekolah pendidikan khas (Sped), perkhidmatan bagi PWD, dan agensi penempatan kerja.

Encik Goh berkata maklum balas yang sering diterimanya daripada PWD, ibu bapa mereka dan pendidik adalah kebimbangan terhadap peralihan.

Ini termasuk peralihan daripada alam persekolahan ke alam pekerjaan, atau daripada satu pekerjaan ke pekerjaan lain.

“Bagi ramai antara kita, pasti akan berasa bimbang apabila terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain… dan lebih-lebih lagi bagi PWD serta keluarga mereka, terutama memandangkan mereka berdepan beberapa kerentanan,” jelasnya.

Salah satu bidang tumpuan pasukan bertindak tersebut adalah memperkukuh latihan pekerjaan peringkat awal bagi PWD, supaya pelajar dilatih dalam kemahiran vokasional dan bersedia untuk bekerja dalam bidang berkaitan.

Pasukan bertindak itu juga akan mempertimbangkan sama ada lebih banyak perkara perlu dilaksanakan terhadap pusat kegiatan siang hari (DAC) dan bengkel terlindung (SW), kata Encik Goh.

Beliau turut menyatakan tentang kemas kini Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bahawa mereka sedang menuju sasaran untuk meningkatkan keupayaan kemudahan tersebut.

DAC adalah kemudahan berasaskan masyarakat bagi PWD yang berumur 18 tahun dan ke atas dan tidak mampu bekerja.

Manakala SW pula menyediakan latihan kemahiran kerja dan sokongan pekerjaan bagi PWD yang mampu bekerja, namun belum bersedia atau tidak dapat menceburi pasaran pekerjaan terbuka.

Bagi memenuhi permintaan semakin meningkat, 100 tempat baru telah disediakan di SW pada 2024, dengan tambahan 880 lagi tempat di SW dan DAC dari 2026 hingga 2027.

Antara lain, pasukan bertindak itu sedang mempertimbangkan untuk meluaskan Program Pendayaan Kemahiran untuk Kehidupan (Enabling Skills for Life) ke serata negara, kata Encik Goh.

Program tersebut yang melalui fasa percubaan pada 2025 di enam pusat terpilih bagi PWD, membekalkan golongan dewasa berkenaan dengan kemahiran hidup berdikari, komunikasi, sosial emosi dan kemahiran vokasional.

Program itu turut mewujudkan kurikulum dan pelan latihan peribadi bersama PWD serta penjaga mereka.

Pasukan bertindak antara agensi ditubuhkan oleh MSF untuk memperkukuh sokongan terhadap golongan kurang upaya serta keluarga mereka merentasi pelbagai peringkat kehidupan.

Anggota lain pasukan bertindak termasuk: Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua; Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang; serta Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg