SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pasangan bapa, anak jadi relawan badan berkait tentera Israel tidak sertai pertempuran

Pasangan bapa, anak jadi relawan badan berkait tentera Israel tidak sertai pertempuran

MHA, Mindef berkata 2 warga S’pura jadi relawan Sar-El Volunteer Corps pada 2016; anak lelaki turunkan blog galak jadi sukarela selepas dihubungi ISD pada 2025
Mar 24, 2026 | 3:10 PM

Pasangan bapa, anak jadi relawan badan berkait tentera Israel tidak sertai pertempuran

Singapore, volunteer, Sar-El, MHA, Mindef, Israel, Holderness School, ISD
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata pada Disember 2016, pasangan itu telah menjadi sukarelawan bersama Sar-El selama sekitar dua minggu. - Foto fail

Dua warga Singapura yang menyertai Sar-El Volunteer Corps sebagai relawan pada 2016 dengan salah seorang daripada mereka kemudiannya menerbitkan catatan blog yang menggalakkan orang ramai untuk menjadi sukarelawan bersama organisasi Israel itu.

Namun kedua-duanya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan ketenteraan bersama Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Selepas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berurusan dengan pasangan anak dan bapa itu pada 2025, anak lelaki tersebut memadamkan catatan blog itu pada tahun yang sama, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan pada 24 Mac.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pengguna media sosial menyiarkan semula catatan blog tersebut pada awal Mac.

Tiada tindakan diambil bagi kegiatan mereka pada 2016 selepas ISD membuat kesimpulan bahawa mereka tidak terlibat dalam kegiatan ketenteraan bersama IDF, kata kedua-dua kementerian itu, yang tidak menyebut nama anak dan bapa tersebut.

MHA dan Mindef berkata pada Disember 2016, selama sekitar dua minggu, kededua mereka telah menjadi sukarelawan bersama Sar-El.

Pada pertengahan tempoh khidmat sukarela itu, bapa tersebut menulis kepada pihak berkuasa Singapura untuk bertanya sama ada anaknya boleh mengambil bahagian dalam kegiatan sukarela bersama Sar-El sebagai sebahagian daripada program sukarela sekolah anaknya.

Semakan oleh The Straits Times (ST) menunjukkan bahawa anak lelaki itu sedang belajar di Holderness School di New Hampshire, Amerika Syarikat, pada waktu itu.

Bapa itu telah memberitahu pihak berkuasa Singapura bahawa sebagai sebahagian daripada program sukarela sekolah anaknya, beliau akan mengambil bahagian dalam program sukarela Sar-El yang dianjurkan oleh sukarelawan Israel dan IDF Logistics Corps.

Mereka memahami bahawa di bawah undang-undang Singapura, warga Singapura tidak boleh berkhidmat dalam pertubuhan ketenteraan asing, kata kedua-dua kementerian itu.

Mereka juga memberitahu pihak berkuasa bahawa peserta Sar-El tidak mengangkat sumpah taat setia kepada IDF atau Israel dan tidak berkhidmat dalam peranan pertempuran atau mengangkat senjata.

Sukarelawan menjalankan kerja-kerja seperti membungkus, mengecat, menyusun, membersihkan, membasuh dan memasak.

Pada dasarnya, mereka tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang peranan pertempuran.

Berdasarkan itu, bapa itu meminta sama ada anaknya boleh menjadi sukarelawan bersama Sar-El.

Laman web Sar-El sekitar waktu itu, pada 2016, menyatakan bahawa Sar-El membantu IDF dan sukarelawan Sar-El akan bekerja di gudang-gudang IDF serta diberi lawatan berpandu ke beberapa lokasi di Israel, serta ceramah mengenai topik-topik berkaitan Yahudi dan Israel.

Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh bapa itu dan maklumat yang tersedia di laman web Sar-El pada 2016, pihak berkuasa memberitahu bapa itu bahawa penyertaan dalam program sukarela Sar-El nampaknya bukan merupakan perkhidmatan dalam ketenteraan asing.

Pihak berkuasa juga menyatakan bahawa penyertaan anak itu dalam program tersebut tidak disokong atau diluluskan, dan penyertaannya adalah atas kehendaknya sendiri, dengan kesedaran penuh tentang risiko yang terlibat.

Pada masa pihak berkuasa membalas e-mel bapa itu, kedua-dua anak dan bapa itu telah pun menamatkan program sukarela dua minggu mereka bersama Sar-El.

Berikutan penglibatan ISD dengan pasangan itu pada 2025 selepas mengetahui tentang catatan blog tersebut, tiada tindakan diambil terhadap mereka bagi kegiatan mereka pada 2016, berdasarkan fakta-fakta yang diketahui pada waktu itu.

Sejak 2016, Mindef tidak menilai sebarang permintaan yang serupa berkenaan Sar-El, kata kedua-dua kementerian itu.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg