Parlimen akan mengadakan perbahasan sama ada Encik Pritam Singh masih sesuai untuk meneruskan peranannya sebagai Ketua Pembangkang susulan sabitannya berbohong kepada sebuah jawatankuasa Parlimen.
Satu usul telah dibentangkan oleh Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, bagi sesi Parlimen akan datang yang dijadualkan bersidang pada 12 Januari.
Menurut satu kenyataan oleh Pejabat Ketua Dewan pada 9 Januari, usul tersebut akan dibentangkan pada 13 Januari atau lewat pada minggu berkenaan.
Usul itu meminta Dewan mempertimbangkan sama ada “sabitan dan kelakuan Encik Pritam membuatkan beliau tidak layak untuk terus menjadi Ketua Pembangkang”, serta menyatakan rasa kesal terhadap tindakan beliau yang dianggap “tidak wajar” bagi seorang Anggota Parlimen (AP).
Usul tersebut menyatakan bahawa Encik Pritam, ketua Parti Pekerja (WP), disabitkan oleh mahkamah kerana berbohong di bawah sumpah semasa memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP), dan keputusan itu telah dikekalkan Mahkamah Tinggi.
Selain itu, beliau didapati telah membimbing bekas AP partinya, Cik Raeesah Khan, untuk terus berbohong di Parlimen.
Ia turut menyatakan bahawa jawatan Ketua Pembangkang merupakan “satu jawatan kepimpinan parlimen yang membawa tanggungjawab, kewajipan dan keistimewaan yang penting, dan penerusan beliau dalam peranan itu akan menjejas kedudukan Parlimen serta keyakinan awam terhadap kewibawaan sistem politik Singapura”.
Usul tersebut juga menyeru semua AP untuk menegaskan bahawa “kejujuran dan kewibawaan adalah asas sistem parlimen dan politik Singapura”, serta untuk “mematuhi tanggungjawab mereka untuk menghormati dan mematuhi undang-undang, bertindak dengan kewibawaan sepanjang masa, dan menghormati kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Singapura.”
Perkembangan itu menyusuli kenyataan awal Cik Indranee pada Disember 2025 bahawa Parlimen perlu membincangkan “tindak balas yang wajar” terhadap sabitan Encik Pritam atas dua tuduhan berbohong di bawah sumpah di bawah Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa).
Encik Pritam telah disabitkan pada 17 Februari 2025 dan dikenakan denda maksimum sebanyak $7,000 bagi setiap tuduhan.
Keputusan tersebut telah dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Disember selepas rayuan.
Kes tersebut, yang bermula di mahkamah pada 2024, timbul berhubung cara Encik Pritam mengendalikan kes pembohongan Cik Raeesah di Parlimen pada 2021.
Cik Indranee berkata adalah perlu bagi Parlimen mengambil perhatian terhadap tindakan dan sabitan Ketua Pembangkang.
Beliau berkata: “Di sesetengah negara, pemimpin yang telah berbohong, menipu atau secara terang-terangan melanggar undang-undang masih terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang atau politik. Kita tidak boleh menerima standard sedemikian di Singapura.”
Beliau menambah bahawa adalah hak WP untuk memutuskan tindakan yang akan diambil selepas penghakiman mahkamah tersebut, serta penerimaan penuh Encik Pritam terhadap keputusan itu tanpa sebarang keraguan.
Pada 3 Januari, WP mengumumkan bahawa satu panel disiplin akan ditubuhkan untuk menilai sama ada Encik Pritam telah melanggar Perlembagaan parti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg